Popular Posts

Thursday 17 June 2021

Cindai Laksamana Hang Tuah

Gambar 1: Sutera laut dari pulau Sardinia, Itali.
Sumber: Pinterest.com


Sekiranya benar delegasi pembesar Kesultanan Melayu Melaka pernah membeli bedil di Rum (Turki Uthmaniyah) dan singgah ke Mekah menunaikan fardhu haji, mungkinkah mereka juga telah ke Itali? Pada pendapat saya kebarangkalian delegasi Melaka telah tiba di Itali adalah lebih tinggi setelah menemukan rekod kewujudan pemberian cindai sutera buatan Itali oleh Sultan Melaka kepada delegasi Cina pada abad ke-15.

Menurut rekod harian Kerajaan Ming iaitu Ming Shi-lu yang diterjemahkan oleh Geoffrey Wade (1994), cindai atau tenunan sutera dari Itali ini adalah sebahagian dari hadiah perpisahan yang dikurniakan oleh Sultan Melaka kepada timbalan duta Kerajaan Ming bernama Zuo Fu pada sekitar tahun 1486. Peristiwa yang berlaku di Melaka ini juga selari dengan kronologi perjalanan delegasi Kesultanan Melaka ke Rum yang singgah ke Mekah sebelum pulang untuk berperang dengan Annam seperti yang pernah diketengahkan sebelum ini. (Lihat Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji).

Tentangan utama yang mungkin timbul terhadap hipotesis ini adalah konflik yang ketika itu berlaku antara Turki Uthmaniyah dengan Eropah, dan khususnya Itali sekitar 1480an. Ketika itu, peperangan Oranto di selatan Itali baru sahaja berlaku antara Turki Uthmaniyah dengan Kingdom of Naples. Jadi mungkin boleh dipersoalkan lojik disebalik perjalanan rombongan pembesar Melaka dari Turki yang dibenarkan ke Itali di zaman Perang Uthmaniyah tersebut.

Pada saya perjalanan ke Itali ini tidak mustahil sekiranya rombongan Melaka tersebut menggunakan statusnya sebagai negeri-negeri dibawah naungan Kerajaan Ming yang ketika itu mempunyai jalinan diplomatik dengan Papal States, Republik Venice dan Kerajaan-Kerajaan lain di semenanjung Itali secara amnya. Berbekal dengan suratcara bersama persalinan khas yang menunjukkan pangkat taraf Menteri Ming yang diperoleh Laksamana Melaka pada tahun 1481, saya rasa tidak mustahil Kerajaan-Kerajaan Itali menerima baik rombongan pembesar Melaka sepertimana rombongan diplomatik mereka diterima baik oleh Kerajaan Ming. (Lihat Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam).

Untuk menjejak jalan cerita kewujudan cindai Laksamana Hang Tuah ini kita perlu meneliti catatan rekod kerajaan Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL) bermula dari 1475 hingga 1487, dan juga rekod kerajaan Ryukyu iaitu Rekidai Hōan (RH) dari 1480 hingga 1481. 

Ritual pertabalan Ming diterjemah Geoffrey Wade (1994) sebagai "enfeoffment" iaitu suatu upacara adat istiadat zaman pertengahan di mana pemerintah negeri-negeri feudal yang berikrar taat setia kepada Maharaja Ming akan melalui istiadat pengiktirafan. Penyempurnaan upacara istiadat ini mendatangkan manfaat dari segi penerimaan naungan dan legitimasi pemerintahan. Boleh dikatakan agak bermasalah juga proses pertabalan Sultan Melaka ke-7 ini. Pada asasnya, Maharaja Ming iaitu Maharaja Chenghua (1447-1487) dicatat bersungguh-sungguh ingin menyempurnakan proses pertabalan walaupun pelbagai aral yang datang menimpa. 

Menurut MSL, pada Ogos 1481 Maharaja Chenghua menghantar perutusan pertabalan Sultan "Ma-ha-mu Sha" yang diketuai duta bernama Lin Rong. Malangnya, kapal Lin Rong karam dalam pelayaran ke Melaka. Perutusan pertabalan yang dihantar pada Jun 1484 juga gagal akibat kematian duta Zhang Sheng setibanya di Ganzhou, selatan Cina. Tugas duta Zhang Sheng untuk misi tersebut telah diambil alih oleh timbalannya bernama Zuo Fu yang bertolak ke Melaka pada Oktober 1485. Zuo Fu dicatat mengambil risiko tinggi dalam meneruskan perjalanan dihujung musim pelayaran demi untuk segera sampai ke Melaka tanpa menunggu duta pengganti dari Kota Larangan.

Setelah lebih dari setahun menetap di Melaka dan dalam menghargai khidmat Zuo Fu, Sultan "Ma-ha-mu Sha" telah menghadiahkan Zuo Fu barang-barang berharga termasuk cindai iaitu kain lepas yang diperbuat dari sutera Itali.

Saya merumuskan bahawa ianya berasal dari Itali kerana MSL mencatat bahawa ianya adalah "Western Ocean cloth" (MSL: 16.4.1487). Menurut catatan dalam The Chinese Repository (1849), "western ocean cloth", "western sea cloth" atau "water sheep" adalah nama gelaran yang diberikan orang Cina bagi "sea silk" atau sutera laut. Bahan asas tenunan sutera laut ini iaitu filamen dari cengkerang jenis Pinna nobilis hanya dihasilkan di Laut Mediterranean dan hanya ditenun di Itali iaitu di wilayah Sardinia, Taranto, dan Apulia (Lihat Gambar 2). Lokasi penemuan fosil dan sisa cengkerang Pinna nobilis juga didapati hanya wujud sekitar perairan utara Laut Mediterranean. (Lihat Gambar 3).

Gambar 2: Cengkerang jenis "Pinna nobilis". 
Sumber: 2000sub.org



Gambar 3: Lokasi fosil dan sisa cengkerang Pinna nobilis.
Sumber: Soriga E. & Carannante A. (2017)


Artifak tenunan sutera laut laut tertua yang masih ada dalam simpanan adalah sehelai penutup kepala (skull cap) abad ke-14 yang dijumpai di utara bandar Paris sekitar tahun 1970an. (Lihat Gambar 4). Pembuatan tekstil sutera laut ini kini hanya dijalankan oleh seorang wanita bernama Chiara Vigo yang menetap di pulau Sardinia. Beliau mempelajari teknik penenunan sutera laut Sardinia dari neneknya. (Lihat Gambar 5).

Gambar 4: Penutup kepala (skull cap) abad ke-14 yang diperbuat dari tekstil sutera laut.
Sumber: Musée d'Art et d'Histoire, Unité d'Archéologie.



Gambar 5: Chiara Vigo iaitu wanita terakhir yang menenun sutera laut.
Sumber: BBC News Magazine. Kredit FB Parang Kraf.


Sutera laut dari pulau Sardinia yang dihasilkan turun temurun oleh keluarga Chiara Vigo dikatakan akan bersinar dengan warna keemasan setelah direndam di dalam jus citrus lemon bercampur rempah. (Lihat Gambar 1). Tidak seperti sutera biasa, sutera laut bersifat kalis air, kalis bahan kimia, dan tidak mudah terbakar. Perkara ini selari dengan cerita yang banyak diperkatakan tentang kegunaan cindai di alam Melayu. Malah menurut pandangan Tengku Nara Paduka (2021), seorang pengkaji seni mempertahankan diri, terdapat contoh tenunan sutera laut Itali yang ditenun sekitar abad ke-18 menyerupai chain maille iaitu pakaian perisai yang selalunya diperbuat dari rantai besi (Lihat Gambar 6).

Gambar 6: Tenunan sutera laut dari Itali yang berbentuk chain mille iaitu pakaian perisai yang selalunya diperbuat dari rantai besi.
Sumber: Muséum d'Histoire naturelle de Neuchâtel, Switzerland.


Kain sutera khususnya dalam bentuk cindai sememangnya barang berharga yang menjadi koleksi bangsawan Melayu, apatah lagi sekiranya diperbuat dari sutera laut yang merupakan tekstil termahal di dunia. Dari segi nilai, catatan Abu Ishaq Ibrahim ibn Muhammad al-Farisi al-Istakhri, iaitu seorang pengembara Parsi abad ke-10 merekodkan bahawa sehelai jubah yang diperbuat dari sutera laut yang dipanggil ṣūf al-baḥr (sea wool) dikatakan berharga 1000 keping emas. Di zaman pemerintahan Rom sekitar abad ke-4 pula, undang-undang khusus digubal di mana hanya golongan bangsawan tertentu sahaja dibenarkan memakai jubah sutera laut. Juga direkodkan bahawa rujukan terhadap sutera laut wujud dalam prasasti Batu Rosetta, catatan Mesir purba, dan juga kitab Injil. Antara cerita yang popular tentang sutera laut termasuk mitos bahawa ianya adalah berkait dengan ikan duyong, dan pelbagai jenis mahluk mistik dan mahluk halus. Juga terdapat rekod yang menceritakan bahawa ianya digunakan sebagai kain membalut mumia firaun-firaun Mesir.

Peribahasa Melayu ada menyebut "Biar mati berkapankan kain cindai, jangan kain kadut." iaitu bermaksud lebih baik mati daripada merosakkan nama baik. Banyak juga pantun Melayu yang menggambarkan nilai estetika cindai, contohnya:-

Perahu belayar menyusur arus,
   Patah kemudi susur di pantai;
Baik cari cindai yang halus,
   Alah beli menang dipakai.

Kapal kecil kemudi kayu,
   Hendak belayar tanah seberang;
Kain sekodi pilih sekayu,
   Boleh dapat cindai terbilang.
Cindai juga digunakan sebagai senjata dalam seni mempertahankan diri. HHT ada mencatatkan Seni Cindai digunakan semasa pertarungan antara Hang Jebat dengan Hang Tuah. Malah Seni Cindai dalam Silat Seni Gayong dikatakan berasal turun temurun dari ilmu persilatan Laksamana Hang Tuah. Lihat sedutan dokumentari National Geographic Channel berkenaan Seni Cindai tersebut:-

Sumber: Youtube Corto Combate Eksrima.
https://youtu.be/c4_CmdqYZKk


Berbalik kepada kisah Zuo Fu tersebut. Penerimaan hadiah peribadi dari negeri yang ditabalkan pemerintahnya adalah bercanggah dengan undang-undang Kerajaan Ming. Akibatnya, Menteri Adat Istiadat (Minister of Rites) telah menyita hadiah-hadiah tersebut sejurus kepulangan Zuo Fu ke Kota Larangan. Setelah dirayu, perintah tentang rampasan barang-barang berharga dikekalkan. Manakala perintah berkenaan rampasan terhadap cindai sutera laut tersebut telah ditarik balik. Perintah Maharaja (Imperial Orders) telah dikeluarkan bagi mengampuni kesalahan Zuo Fu dan memelihara haknya terhadap cindai tersebut. Alasan yang diberikan adalah bahawa ianya bagi menghargai usaha dan jasa Zuo Fu dalam meredah lautan di hujung musim pelayaran demi melaksanakan tugasnya. Saya petik terjemahannya di sini:-

 "Zuo Fu has crossed the oceans and experienced great difficulties. He is pardoned and is not to be punished. The valuables are to be retained, while the Western Ocean cloth is to be given to Fu."

Hipotesis saya bahawa hadiah cindai ini berkait dengan Laksamana Hang Tuah pula adalah berasaskan rujukan silang MSL dan RH dengan mahakarya-mahakarya Melayu iaitu Sejarah Melayu (SM) dan juga Hikayat Hang Tuah (HHT). Seperti yang diketengahkan sutera laut tersebut mungkin diperoleh semasa lawatan pembesar Melaka tersebut ke Timur Tengah dan Eropah. Saya percaya kerana harganya yang amat tinggi ia dibeli secara terus dari sumbernya dan bukannya diekspot pedagang Turki atau Timur Tengah. 

Seterusnya, MSL mencatat setelah kemangkatan Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah (d. 1477), tahta Kesultanan Melaka diwarisi putera Sultan Mansur Shah yang bernama Sultan "Ma-ha-mu Sha" (MSL: 23.8.1481). Rekod MSL mencatat Sultan "Ma-ha-mu Sha" sebagai putera tunggal Sultan Mansur Shah. Ini bercanggah rekod sejarah yang diketahui umum yang menyatakan Sultan Mansur Shah ketika itu mempunyai putera-putera lain yang lebih dewasa iaitu Raja Muhammad (Sultan Pahang I - b. 1455 – d. 1475dan Raja Ahmad (Sultan Pahang II - b. ? - d. 1495), hasil perkahwinan dengan Puteri Onang Sari; dan Raja Husain @ Sultan Alauddin Riayat (b. ? - d. 1488) hasil perkahwinan dengan Raden Galoh Cendera Kirana. Jika dikaji, ketiga-tiga putera Sultan Mansur Shah ini lahir sekitar 1450an dan bukannya 1470an iaitu anggaran tarikh kelahiran Sultan "Ma-ha-mu Sha".

Menurut RH, surat-surat Laksamana Melaka yang diutus kepada Raja Shō Shin (1465–1527) pada 1480 dan 1481 juga mencatat identiti Sultan Melaka yang berbeza iaitu Sultan "Ma-an Shan". Ketika itu segala kuasa mohor perwakilan dan hak diplomasi diamanahkan kepada Laksamana Melaka kerana Sultan "Ma-an Shan" dikatakan masih belum dewasa. Jadi, dirujuk silang SM dan HHT, Laksamana Melaka yang berkhidmat di era pemerintahan Sultan Mansur Shah tersebut adalah dikenali sebagai Laksamana Hang Tuah. Ketika itu, di mata kerajaan Ming dan Ryukyu, Laksamana Melaka tersebut adalah dianggap "Regent" iaitu wakil rasmi atau de facto Raja kerana Sultannya masih belum dewasa. 

Jadi kesimpulannya, hadiah cindai sutera laut Itali kepada Zuo Fu tersebut adalah suatu pemberian diplomatik Laksamana Hang Tuah. Samada diniatkan ataupun tidak, pemberian diplomatik yang menimbulkan isu di Kota Larangan ini dapat membuktikan bahawa pertalian Kesultanan Melayu Melaka dengan Eropah telah terjalin lebih awal dari apa yang dicatat oleh rekod Portugis.

Rujukan:

  1. Geoffrey Wade (1994). The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries.
  2. Kain Cindai. Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Kain_Cindai
  3. Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji. 20.10.2019. Historybuff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/kisah-hang-tuah-menunaikan-haji_20.html
  4. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969). Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. 
  5. Max Paradiso (2015). Chiara Vigo: The last woman who makes sea silk. BBC News Magazine. 2.9.2015. Diekstrak dari https://www.bbc.com/news/magazine-33691781.amp
  6. Nara (Tengku Nara Paduka). Facebook comment on 16.6.2021. Diekstrak dari https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10218331113573617&id=1365243090
  7. Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam. 20.10.2019. Historybuff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/peranan-hang-tuah-dalam-kes-pertikaian.html
  8. Sea Silk, Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Sea_silk
  9. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
  10. Soriga E., Carannante A., 2017. Tangled threads. Byssus and sea silk in the Bronze Age: an interdisciplinary approach. In H. Landenius Enegren, F. Meo (eds.) Treasures from the Sea. Sea Silk and Shellfish Purple Dye in Antiquity. Oxbow, Oxford, pp. 29-45
  11. Traces of Primative Christianity in Eastern Asia, The Chinese Repository, Vol XVIII, pp. 485-503, January-December 1849. Canton.



No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...