Ini adalah antara rakaman filem terawal markas udara Royal Air Force (RAF) di Seletar, Singapura, dan juga lawatan mereka ke air terjun Kota Tinggi. Ianya dibuat pada tahun 1938 iaitu 3 tahun sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu. Dari apa yang dirakam, bahagian pertama menunjukkan persekitaran sungai tempat kapal terbang mendarat di RAF Seletar. Diikuti dengan aktiviti riadah menaiki kapal layar sekitar Selat Tebrau dan muara sungai Johor. Bahagian seterusnya menunjukkan lawatan anggota RAF Seletar ke air terjun Kota Tinggi. Kemungkinan besar pendaratan pesawat dibuat di sungai berhampiran bandar Kota Tinggi di mana mereka dibantu perwakilan British untuk menggunakan jalan darat ke air terjun yang terletak lebih kurang 15 km dari kawasan bandar.
Kota Tinggi adalah antara penempatan penting bagi British kerana ianya mengeluarkan hasil getah dan bijih timah. Ketika itu juga hasil bumi Semenanjung Tanah Melayu menyumbang 30% kepada ekonomi British. Sekitar awal abad ke-20 sudah terdapat beberapa ladang getah milik warga Inggeris dan juga Jepun di Kota Tinggi. Sebelum wujudnya jalanraya, barangan dan penumpang diangkut dengan bot dan kapal secara terus dari Singapura ke Kota Tinggi.
Rujukan:
1. Imperial War Museums, London.
2. https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19320305-1.2.70
Muzik latar: ’Semalam Di Malaya’,Tuty Daulay & Orkes Saiful Bahri (1961).
No comments:
Post a Comment