Popular Posts

Wednesday 26 February 2020

Skuadron 205 "Pertama Di-Malaya"



Seperti yang kita maklum kawasan lautan 120 batu nautika timur laut Kota Bharu adalah tempat di mana pesawat Malaysia Airlines MH370 mula terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8.3.2014. Tapi tahukah anda lebih kurang 72 tahun sebelum tragedi MH370 tersebut terdapat sebuah pesawat yang pernah terputus hubungan radio dan kemudian hilang di lokasi yang sama?




Peristiwa ini berlaku kepada sebuah pesawat dari Skuadron 205 British Royal Air Force (RAF) yang berpengkalan di RAF Seletar Airbase, Singapura. Skuadron 205 tersebut ditubuhkan pada tahun 1915 di Dover, England, dan kemudian ditugaskan untuk menjaga jajahan British di Semenanjung Tanah Melayu dari tahun 1929 hingga 1941, dan dari 1949 hingga 1971. Lihat Seletar Airbase dari sekitar 1920an (Gambar 1 & 2) dan sekitar 1930an (Gambar 3).

Gambar 1 : RAF Seletar Airbase, Singapura (1920an). Sumber: Imperial War Museums.

Gambar 2 : RAF Seletar Airbase, Singapura (1920an). Sumber: Imperial War Museums.


Gambar 3 : RAF Seletar Airbase, Singapura (1930an)

Memandangkan ianya skuadron udara RAF pertama bagi pentadbiran British di Tanah Melayu, slogan yang digunakan sekitar tahun 1929 adalah dalam Bahasa Melayu iaitu "Pertama Di-Malaya", dan logonya pula mengangungi imej keris yang melambangkan Tanah Melayu dan imej trident yang melambangkan dewa lautan Poseidon atau Neptune (Gambar 4).

Gambar 4 : Jata Skuadron 205 Royal Air Force.

Rujukan kepada dewa lautan mungkin dibuat kerana pesawat yang digunakan oleh Skuadron 205 terdiri dari pesawat-pesawat yang boleh mendarat di permukaan air iaitu jenis Supermarine Southamton (1929-35), Short Singapore (1935-41), Consolidated Catalina (1941-45), dan Short Sunderland (1945-59) (Gambar 5-8).

Gambar 5: Pesawat jenis Supermarine Southamton.

Gambar 6 : Pesawat jenis Short Singapore.

Gambar 7: Dua pesawat Skuadron 205 Royal Air Force jenis Consolidated Catalina di sekitar ruang udara Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1941.

Gambar 8 : Pesawat jenis Short Sunderland.

Berbalik kepada persamaanya dengan tragedi MH370, pada 7.12.1941, sebuah pesawat jenis Consolidated Catalina No. siri W8417 dengan panggilan "FY-W" telah terputus hubungan radio dengan menara kawalan mereka di Singapura. Pesawat yang sedang menjalankan tinjauan di perairan pantai timur tersebut kemudian tidak dapat dikesan kedudukannya. Nasib malang yang menimpa pesawat tersebut bersama 8 anak kapalnya hanya diketahui dari rekod dan arkib Jepun selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Menurut rekod Jepun, pesawat dari Skuadron 205 ini sebenarnya adalah pesawat tentera Kuasa Bersekutu pertama yang ditembak jatuh oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Pesawat FY-W tersebut sebenarnya dapat mengesan pergerakan dan lokasi kapal Jepun 'Kamikawa Maru' iaitu sekitar 100 batu nautika timur laut Kota Bharu. Untuk mengekalkan "element of surprise" mereka, beberapa pesawat tentera Jepun telah dikerah untuk menyerang. Pesawat FY-W tersebut direkodkan meletup 400 meter di ruang udara antarabangsa Laut Cina Selatan iaitu dalam kedudukan jarak sekitar 120 batu nautika arah timur laut Kota Bharu.  Bangkai pesawat FY-W yang jatuh di lautan berjaya dikesan oleh Jepun dan dilaporkan tiada yang terselamat. Kejayaan serangan tersebut dilaporkan kepada General Yamashita yang berada di kapal Ryujo Maru.

Jika dikaji, kejadian yang menimpa pesawat FY-W tersebut berlaku pada 7.12.1941 jam 8:20 pagi (waktu Tokyo) iaitu 18 jam sebelum tentera Jepun mendarat di Kota Bharu pada 8.12.1941 jam 2:00 pagi (waktu Tokyo), dan 19 jam sebelum serangan ke atas Pearl Harbour yang berlaku pada 8.12.1941 pada jam 3:23 pagi (waktu Tokyo). Secara amnya, "element of surprise" dalam serangan-serangan awal tentera Jepun berjaya dikekalkan kerana juruterbang RAF dalam pesawat FY-W tersebut tidak sempat menghubungi menara kawalan mereka walaupun 4 pesawat tentera Jepun mengambil masa 30 minit untuk mengejar dan menewaskan mereka. Dikatakan sistem radio pesawat FY-W mungkin tidak lagi berfungsi akibat terkena tembakan awal dari pesawat Jepun. Juga terdapat spekulasi bahawa mungkin juruterbang dan krew pesawat FY-W tersebut telah mati lebih awal akibat terkena tembakan dan/atau akibat kebakaran dalam kokpit di mana pesawat tersebut bergerak dengan sendiri hampir 30 minit sebelum meletup akibat tembakan susulan oleh pesawat tentera Jepun.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/No._205_Squadron_RAF

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Japanese_invasion_of_Malaya


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...