Popular Posts

Saturday, 15 February 2020

Melayu Pertama Memiliki Lesen Memandu

Gambar 1. Mr. & Mrs. G.M. Dare memandu "Ichiban" di Singapura sekitar tahun 1906.

Hassan bin Mohamed adalah orang Melayu pertama yang memperoleh lesen memandu. Beliau diajar oleh pemandu wanita pertama di Singapura iaitu Annie Dorothea Caroline Earnshaw (Mrs. G.M. Dare) pada tahun 1906 dengan kereta jenis Adams-Hewitt (Gambar 1 & 2). Kereta tersebut digelar "Ichiban" iaitu nombor satu dalam Bahasa Jepun.  Ini adalah kerana kereta tersebut adalah kereta pertama yang didaftarkan di Singapura dan mempunyai nombor pendaftaran "S-1". Walaupun kereta secara amnya mula dibawa ke Singapura sekitar tahun 1896, tetapi tiada sistem pendaftaran sehingga tahun 1906.

Gambar 2. Kenderaan jenis Adams-Hewitt buatan England yang dijual dengan harga GBP185 iaitu sekitar GBP22,000 dalam nilai semasa.

Mrs. G.M. Dare juga menggunakan kereta tersebut untuk menjelajah Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1907. Ianya mula-mula dihantar dari Singapura ke Pulau Pinang dengan menggunakan kapal. Pengembaraan Mrs. G.M. Dare disertai oleh Miss Hardman dan seorang lelaki Melayu yang dilaporkan akhbar sebagai "a native gardener (who knew nothing of mechanics)".  Tidak dapat dipastikan samada tukang kebun tersebut adalah Hassan bin Mohamed. Juga tidak dapat dipastikan samada lelaki Melayu dalam gambar-gambar ini adalah beliau. (Gambar 3).

Gambar 3. Adakah ini gambar Hassan bin Mohamed?

Dari segi lojik, kemungkinan besar Hassan bin Mohamed telah menyertai pengembaraan Mrs. G.M. Dare tersebut kerana beliau sudah pun mempunyai lesen memandu iaitu antara yang terawal dikeluarkan di Negeri-Negeri Selat. Seterusnya, jarak perjalanan sejauh 686 batu dan pengembaraan yang mengambil masa 1 bulan sudah tentu memerlukan sokongan teknikal dari segi penjagaan dan pembaikian kenderaan.  Ketika itu juga infrastruktur seperti jalanraya berturap, stesyen minyak, dan bengkel belum ada lagi. Jalan yang ada adalah jalan tanah dan jalan batu kerikil bagi kegunaan kereta kuda dan kereta lembu.

Gambar 4. Pandangan dari atas casis Adams-Hewitt

Direkodkan bahawa penduduk tempatan menamakan kenderaan Mrs. G.M. Dare tersebut sebagai 'devil wind carriage' kerana mereka hairan melihat ia boleh bergerak tanpa ditarik oleh kuda. Perjalanan mereka bermula dari Pulau Pinang pada 15.4.1907 dan berakhir di Singapura pada 13.5.1907. Direkodkan Mrs. G.M. Dare juga telah menjelajah sejauh 69,000 batu dengan kereta yang sama yang dipandu beliau di serata Singapura, Malaya, Pulau Jawa, England dan Scotland.

Rujukan:

1. One Hundred Years of Singapore (Vol. 2). Singapore: Oxford University Press.

2. http://www.nlb.gov.sg/biblioasia/2018/10/16/wheels-of-change-1896-1970/

3. http://www.nlb.gov.sg/biblioasia/2019/01/28/mrs-dare-and-her-magnificent-driving-machine/


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...