Lukisan pertama bertajuk 'St. Francis Xavier blesses Portugueses soldiers' menggambarkan St Francis Xavier (1506-1552) yang sedang memberi restu kepada tentera Portugis berhampiran pelabuhan Melaka sebelum mereka menaiki kapal untuk menangkis serangan armada Aceh pada 4.12.1547.
Title: St. Francis Xavier blesses Portugueses soldiers Creator: André Reinoso and Collaborator Date created: c. 1619 Physical Dimensions: 90 x 103cm Source: Museu de São Roque |
Xavier diutuskan ke istana Portugal oleh Paderi Ignitius bagi memenuhi hasrat Raja Portugal yang inginkan mubaligh-mubaligh Jesuit dihantar ke wilayah-wilayah jajahannya di Hindia Timur kerana Raja Portugal mempercayai bahawa nilai-nilai Agama Kristian di kalangan askar Portugis semakin terhakis di wilayah-wilayah tersebut.
Kesultanan Aceh Darussalam dengan bantuan Empayar Turki Uthmaniyyah telah menyerang Portugis Melaka sebanyak lebih kurang 14 kali iaitu dari tahun 1537 sehingga 1629. Akan tetapi serangan-serangan tersebut gagal menembusi kota Melaka. Jadi lukisan-lukisan yang dibuat sekitar 1619 ini adalah bertujuan menunjukkan pengaruh Jesuit disebalik kejayaan askar Portugis dalam menangkis serangan Aceh tersebut. Lantas mengambarkan betapa pentingnya naungan Jesuit dalam menentukan kejayaan Portugis di Hindia Timur. Walhal dalam keadaan sebenar, usaha ketua-ketua tentera Portugis di Goa dan Melaka adalah untuk mengejar kekayaan dan meluaskan takluk jajahan. Malah, semasa di Melaka, Xavier telah mengutuskan surat kepada Raja Portugal dan menceritakan kehampaannya terhadap golongan elit di Goa dan meminta supaya Pasitan (BI: Inquisition) dimulakan untuk menghukum golongan elit tersebut yang dikatakan telah hilang nilai-nilai keagamaan mereka.
Di dalam tajuk gambar dan juga penerangan Museu de São Roque, Aceh tidak dikategorikan sebagai sebuah Kerajaan berdaulat, tetapi digelar sebagai "Achenese pirates" dan "Muslim pirates". Sehingga kini, iaitu selepas berlalunya tempoh hampir lima abad, fakta dangkal dan prejudis ini masih gagal diperbetulkan pihak Muzium.
No comments:
Post a Comment