Popular Posts

Friday, 7 February 2020

Jejak Perang Salib di Melaka

Terdapat dua buah lukisan yang menggambarkan serangan Kesultanan Aceh Darrusalam terhadap Portugis di Melaka. Kedua-dua lukisan ini kini berada di Museu de São Roque, Lisbon, Portugal. Ianya dilukis sekitar 1619 oleh André Reinoso.

Lukisan pertama bertajuk 'St. Francis Xavier blesses Portugueses soldiers' menggambarkan St Francis Xavier (1506-1552) yang sedang memberi restu kepada tentera Portugis berhampiran pelabuhan Melaka sebelum mereka menaiki kapal untuk menangkis serangan armada Aceh pada 4.12.1547.

Title: St. Francis Xavier blesses Portugueses soldiers
Creator: André Reinoso and Collaborator
Date created: c. 1619
Physical Dimensions: 90 x 103cm
Source: Museu de São Roque

Lukisan kedua pula bertajuk 'St. Francis Xavier tries to halt the invasion of Achenese pirates in Malacca' yang menggambarkan Xavier mengarahkan tentera Portugis untuk memberhentikan serangan gabungan tentera Islam yang menyerang Portugis Melaka pada 1547.

Title: St. Francis Xavier tries to halt the invasion of Achenese pirates in Malacca
Creator: André Reinoso and Collaborator
Date created: c.1619
Physical Dimensions: 104x158cm
Source: Museu de São Roque

Xavier diutuskan ke istana Portugal oleh Paderi Ignitius bagi memenuhi hasrat Raja Portugal yang inginkan mubaligh-mubaligh Jesuit dihantar ke wilayah-wilayah jajahannya di Hindia Timur kerana Raja Portugal mempercayai bahawa nilai-nilai Agama Kristian di kalangan askar Portugis semakin terhakis di wilayah-wilayah tersebut.

Kesultanan Aceh Darussalam dengan bantuan Empayar Turki Uthmaniyyah telah menyerang Portugis Melaka sebanyak lebih kurang 14 kali iaitu dari tahun 1537 sehingga 1629. Akan tetapi serangan-serangan tersebut gagal menembusi kota Melaka. Jadi lukisan-lukisan yang dibuat sekitar 1619 ini adalah bertujuan menunjukkan pengaruh Jesuit disebalik kejayaan askar Portugis dalam menangkis serangan Aceh tersebut. Lantas mengambarkan betapa pentingnya naungan Jesuit dalam menentukan kejayaan Portugis di Hindia Timur. Walhal dalam keadaan sebenar, usaha ketua-ketua tentera Portugis di Goa dan Melaka adalah untuk mengejar kekayaan dan meluaskan takluk jajahan. Malah, semasa di Melaka, Xavier telah mengutuskan surat kepada Raja Portugal dan menceritakan kehampaannya terhadap golongan elit di Goa dan meminta supaya Pasitan (BI: Inquisition) dimulakan untuk menghukum golongan elit tersebut yang dikatakan telah hilang nilai-nilai keagamaan mereka.

Di dalam tajuk gambar dan juga penerangan Museu de São Roque, Aceh tidak dikategorikan sebagai sebuah Kerajaan berdaulat, tetapi digelar sebagai "Achenese pirates" dan "Muslim pirates".  Sehingga kini, iaitu selepas berlalunya tempoh hampir lima abad, fakta dangkal dan prejudis ini masih gagal diperbetulkan pihak Muzium.


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...