Popular Posts

Sunday 5 January 2020

Perahu Bedar 'Singa Betina'

Gambar 1

'Singa Betina' adalah sebuah kapal layar jenis Perahu Bedar (Gambar 1).  Berukuran 33 kaki, ianya dibina oleh tukang-tukang perahu di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, pada tahun 1966 (Gambar 2).

Gambar 2

Ianya ditempah oleh seorang juruterbang Perancis bernama Henri Bourdens di mana minat beliau terhadap perahu layar Melayu timbul apabila melihat perahu-perahu layar Terengganu semasa bercuti di Mersing.

Dalam percubaan untuk mengelilingi dunia, tiang layar Singa Betina patah akibat taufan 'Tracey' di sekitar Lautan Banda dan kapal tersebut hanyut dibawa arus ke Indonesia, kemudian ke Lautan Arafura dan akhirnya terdampar di Pulau Bathurst, utara Dawrin, Australia (Gambar 3 & 4).

Gambar 3

Gambar 4

Henri Bourdens dan isterinya Jose kemudian membina rakit (Gambar 5) untuk menyelamatkan diri dan telah dijumpai nelayan setelah 4 hari berada di Lautan Timor.

Gambar 5

Pengalaman Henri dan Jose Bourdens yang hanyut selama 2 bulan tersebut dibukukan dalam "Cruise To A Cruel Shore" (1969) (Gambar 6).

Gambar 6

Singa Betina yang terdampar di Pulau Bathurst telah diperbaiki oleh nelayan dari Selat Apsley dan digunakan sebagai bot untuk memancing dan mengangkut kargo sekitar perairan Darwin. Pada tahun 1977 ia dimiliki oleh Ted Whittaker. Beliau telah membawanya ke Indonesia, Singapura dan kemudian ke Kampung Mukut di Tioman, Malaysia. Ianya kemudian tiba di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 12.11.1981.

Ianya kemudian belayar semula ke Australia dan dijual kepada Tatooed Tony yang menggunakannya sebagai rumah air. Sekitar 2007, pemilik seterusnya iaitu Jamie Robertson membawa Singa Betina ke Timor Leste di mana ianya dibeli oleh sebuah NGO dibawah United Nations.

Rujukan:

1) Maritime Heritage Association Journal, Vol. 17, No. 4, December 2006.

2) Maritime Heritage Association Journal, Volume 28,  No. 3.  September 2017

3) "Cruise To A Cruel Shore", Henri & Jose Bourdens (1969)

4) Akhbar 'Sinar Harapan', Indonesia. 4.4.1967.


Tuesday 31 December 2019

Majlis Mesyuarat Negeri

Sejarah Perlembagaan Malaysia boleh dikatakan bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang dilaksanakan melalui Majlis Mesyuarat Negeri di Perak pada tahun 1877.

Majlis Mesyuarat Negeri ini dianggotai oleh Sultan sebagai ketua, Residen Inggeris, 12 orang pembesar Melayu, dan dua orang wakil masyarakat Cina. Mesyuarat ini dikendalikan dalam Bahasa Melayu dan dicatat dalam tulisan Jawi. Minit mesyuarat juga diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Semua usul dan cadangan dibahas dan diundi sebelum dijadikan undang-undang.

 

Dalam gambar ini dapat dilihat ahli-ahli utama Majlis Mesyuarat Negeri Perak. Duduk dari kiri ke kanan adalah Raja Idris Shah (Raja Bendahara), Raja Yusuf (Pemangku Sultan Perak) sebagai Yang Dipertua Majlis, Orang Kaya Temenggong, dan Hugh Low (Residen Inggeris) (berdiri). Menurut catatan pihak Muzium Belanda, gambar ini dirakam oleh Xavier Brau de Saint Pol Lias  sekitar 1880 hingga 1881.



Ketika itu Raja Yusuf masih memegang jawatan Pemangku Sultan dengan memakai gelaran ‘Regent’. Beliau dilantik pada 1877 bagi  mengisi kekosongan takhta Kesultanan Perak setelah Sultan Abdullah disingkirkan dan dibuang negeri oleh Inggeris kerana terlibat dalam rancangan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2.11.1875.

Pada mulanya Majlis Mesyuarat Negeri memainkan peranan penasihat. Lama-kelamaan fungsinya diperluaskan untuk merangkumi kedua-dua fungsi perundangan dan eksekutif. Ia merupakan satu bentuk sistem pemerintahan Inggeris secara tidak langsung di negeri-negeri Melayu. Residen Inggeris ditugaskan untuk menasihati Sultan dan nasihatnya itu mesti dipatuhi dalam semua perkara, kecuali melibatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Tindakan Inggeris amat licik malah sehingga hari ini ada yang membahaskan bahawa Negeri-Negeri Melayu tidak pernah dijajah kerana kuasa Sultan berterusan dan tidak pernah diambil alih Inggeris sepenuhnya. Apa yang jelas adalah Majlis Mesyuarat Negeri tersebut dilaksanakan tanpa garis panduan yang lengkap di mana ia telah dijalankan dengan terlalu bebas sehingga banyak kuasa Sultan terlepas ke tangan Inggeris. Sistem Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri ini diperkukuhkan dengan penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dan berterusan sehingga tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan.

Sumber:

1. Xavier Brau de Saint Pol Lias  (1840–1914), Nationaal Museum van Wereldculturen.

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/History_of_the_Malaysian_Constitution

3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Persekutuan_Tanah_Melayu



Tuesday 24 December 2019

Lawatan Maharaja Jagatjit Singh ke Johor

Pada zaman kolonial, Kapurthala adalah sebuah Kerajaan beraja dan diperintah oleh keturunan Alhuwalia Sandhu. Pada 1877 putera raja bernama Jagatjit Singh Sahib Bahadur (1872-1949) telah dilantik sebagai Raja dan pemerintah Kapurthala di Punjab yang ketika itu adalah sebuah negeri dalam British India.

Maharaja Jagatjit Singh amat gemar mengembara. Beliau juga disifatkan sebagai seorang 'Francophile' di mana sehingga istana yang dibinanya di Kapurthala direka khas supaya menyerupai istana Versailles di Paris. Lihat Istana tersebut di Gambar 1.

Gambar 1. Istana Maharaja Jagatjit Singh, Kapurthala, Punjab.

Pada tahun 1903, dalam pengembaraan beliau ke Jepun, beliau telah singgah ke Singapura dan Johor. Beliau disambut sebagai tetamu Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1873-1959). Semasa lawatan tersebut, gambar potrait Sultan Ibrahim I (Gambar 2) telah diberikan kepada Maharaja Jagatjit Singh (Gambar 3).

Gambar 2. Sultan Ibrahim I.

Gambar 3. Maharaja Jagatjit Singh.

Penulisan Maharaja Jagatjit Singh berkenaan perjumpaan beliau dengan Sultan Ibrahim I pada tahun 1903 diabadikan dalam buku beliau bertajuk "My Travels in China, Japan and Java, 1903". Saya sertakan catatan tentang lawatan ke Johor  dalam Gambar 4 hingga 9.

Gambar 4

Gambar 5

Gambar 6

Gambar 7

Gambar 8

Gambar 9

Akhbar Perancis 'La Figaro' bertarikh 12.7.1906 juga ada mencatatkan Sultan Ibrahim dan Maharaja Jagajit Singh kedua-duanya hadir di satu majlis yang di adakan di Hotel Savoy, London sekitar Julai 1906.

Gambar 10: Sultan Ibrahim I, dirakam sekitar 1906.


Maharaja Jagatjit Singh telah berkahwin dengan Anita Delgado iaitu seorang penari berbangsa Sepanyol pada tahun 1908. Dikatakan terdapat watak "Don Pimpón" dalam Sesame Street versi Sepanyol yang suka mengembara ke seluruh dunia dan suka memberikan hadiah. Watak Don Pimpón tersebut dikatakan berkawan dengan Maharaja negeri Kapurthala, dan dengan itu dikaitkan umum dengan kisah perkahwinan Maharaja Jagatjit Singh dengan isteri Sepanyol-nya. Akan tetapi saya berpendapat bahawa watak tersebut adalah berkisar tentang persahabatan Maharaja Jagatjit Singh dengan Sultan Ibrahim I yang juga suka mengembara dan memberi hadiah. Saya juga percaya kisah kehidupan Sultan Ibrahim I dan Maharaja Jagatjit Singh yang sebaya umurnya ini ada banyak persamaannya.

Mungkin bukti yang paling sahih saya boleh kemukakan tentang persamaan antara keduanya adalah bentuk monogram yang digunakan.  Apabila diteliti persuratan yang dikeluarkan Maharaja Jagatjit Singh sekitar 1890an, adalah dipercayai bahawa kemungkinan besar monogram biru dan emas huruf "J", "A", "J" & "S" yang dihiasi imej mahkota dan pedang (Gambar 11) telah menjadi inspirasi kepada Sultan Ibrahim I untuk menggunakan monogram peribadi. Sekitar tahun 1920an, Sultan Ibrahim I telah menggunakan huruf "S" & "I", warna biru dan emas, dan juga imej mahkota negeri Johor sebagai monogram peribadi baginda (Gambar 12).

Gambar 11

Gambar 12


Monogram "S" & "I" dalam warna biru dan emas juga dapat dilihat digunakan lebih awal oleh pembesar Eropah iaitu Sigismondo Pandolfo Malatesta (1417-1468) yang memerintah provinsi Rimini di Itali. "S" adalah bagi nama Sigismondo, dan "I" bagi nama isterinya Isotta (1456-1469). (Gambar 13).

Gambar 13

Monogram "S" & "I" tersebut juga masih dipakai sehingga kini oleh kerana Sultan Johor yang berikutnya iaitu Sultan Ismail (1895-1981), Sultan Iskandar (1932-2010) dan Sultan Ibrahim (1958-kini) juga mempunyai singkatan nama yang sama. Waris-waris tahta Kesultanan Johor yang berikutnya iaitu Tunku Ismail & Tunku Iskandar juga akan mempunyai singkatan dan monogram yang sama.

Rujukan:

1. "My Travels in China, Japan and Java, 1903" oleh Maharaja Sir Jagatjit Singh Sahib Bahadur. Penerbit: Hutchinson & Co, 1905.

2. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sultan_Ibrahim_ibni_Almarhum_Sultan_Abu_Bakar

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Jagatjit_Singh

4. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Anita_Delgado

5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Don_Pimp%C3%B3n

6. https://www.livehistoryindia.com/amp/story/history-daily%2F2019%2F02%2F26%2Fkapurthalas-francophile-maharaja


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...