Popular Posts

Wednesday 27 November 2019

Tentera Melayu Abad Ke-19

Catatan Inggeris dalam 'The Illustrated London News' keluaran 26.2.1876 ini menunjukkan jenis-jenis senjata yang digunakan oleh orang-orang Melayu yang menentang Inggeris semasa Perang Inggeris-Perak (1875-1876). Apa yang akhbar Inggeris ini ingin sorok dari pembacanya adalah fakta bahawa tentera Melayu ketika itu adalah tentera terlatih yang mempunyai senjatapi seperti rifal dan musket.







Akhbar propaganda Inggeris ini tidak menjelaskan perkara sebenar iaitu tentera Melayu dengan kekuatan 800 orang telah bertempur dengan 2,000 orang tentera Inggeris dari Pulau Pinang, India dan Hong Kong. Malah serangan pertama oleh pihak Inggeris berjaya digagalkan oleh tentera Melayu dan menyebabkan Kapten Innes dan beberapa orang tentera Inggeris dari rejimen ke-10 terbunuh.

Setelah beberapa kali serangan ke atas kubu Pasir Salak gagal akhirnya tentera Inggeris berjaya mengalahkan tentera Melayu yang bertahan di kubu tersebut pada 12.12.1875. Kubu Pasir Salak, masjid dan beberapa kampung sekitar kubu tersebut dibakar oleh tentera Inggeris melalui arahan William Jervois. Datuk Maharaja Lela dan pengikutnya berundur ke Sayong. Lihat video:


Sekiranya kita amati definasi istilah subjektif "tentera moden", ianya merangkumi persenjataan era moden dan juga suatu organisasi ketenteraan yang terlatih (organized modern military). Jadi sekiranya diaplikasikan definasi tersebut saya berpendapat bahawa Negeri-Negeri Tanah Melayu sudah mempunyai "tentera moden" sekitar pertengahan abad ke-19. Malah tentera moden terlatih telah wujud dalam pergolakan yang lebih awal dari Perang Inggeris-Perak iaitu dalam perang saudara Terengganu (1831-1839), perang saudara Kelantan (1835), perang saudara Pahang (1857-1863), dan perang saudara Selangor (1867-1874).

Persenjataan dan kelengkapan tentera Negeri-Negeri Tanah Melayu adalah bukan seperti perubahan drastik era Tokugawa kepada era Meiji di Jepun iaitu dari pedang dan panah terus naiktaraf ke senjata moden. Juga perlu diketengahkan bahawa pertahanan dan ketenteraan moden Negeri-Negeri di Tanah Melayu bukannya bermula dengan penubuhan Johor Military Force (JMF) pada tahun 1885 dengan 60 orang laskar Melayu, atau Pasukan Askar Melayu DiRaja pada tahun 1933 dengan 25 orang laskar Melayu. Kedua-dua pasukan tentera ini mendapat persetujuan dan kebenaran Inggeris dan dengan itu diiktiraf umum sebagai asal usul sejarah ketenteraan moden Tanah Melayu.

Seperti yang kita maklum, selain dari JMF, perkhidmatan ketenteraan dan kelengkapan senjata Negeri-Negeri Tanah Melayu dibawah Sultan-Sultannya telah dibubarkan selepas mereka dipaksa untuk menerima Sistem Residen. Ketika itu elemen penjajahan sebenar dapat dilihat apabila kuasa mutlak Raja-Raja Melayu telah dihadkan kepada isu Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Dengan itu, sejarah ketenteraan dan persenjataan moden Negeri-Negeri Tanah Melayu tidak seharusnya dilihat dari pengiktirafan dan kacamata Inggeris sahaja. Ianya juga perlu dilihat dari aspek kewujudan barisan pertahanan dan persenjataan yang disediakan oleh Sultan yang memerintah setiap negeri. Apa yang pasti adalah ianya sudah lama wujud iaitu sebelum kedatangan Inggeris lagi.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Perak_War

2. http://www.kaiserscross.com/304501/471964.html

3. 'Weapons used by the Malays of Perak', Illustration for The Illustrated London News, 26 February 1876.


Tuesday 26 November 2019

Pemangkin Ekspedisi Magellan




Ekspedisi Ferdinand Magellan mengelilingi dunia tidak akan berhasil tanpa kepakaran pelayaran dan kebolehan penterjemahan Enrique Melaka (Enrique de Malaca / Henry the Black). Menurut Antonio Pigafetta, Enrique adalah berbangsa Melayu yang berasal dari Sumatera dan menetap di Melaka. Wasiat Magellan bertarikh 24.8.1519 pula mencatat Enrique adalah hamba abdi yang ditangkap (captured slave).

Ini bermakna beliau adalah sebahagian dari penduduk Melaka atau seorang hambaraja kepada Sultan Mahmud Shah. Fakta bahawa Enrique Melaka dibayar gaji 1,500 Maravedis sebulan (RM2,949 dalam nilai semasa), iaitu lebih dari gaji pelaut mahir dan pelaut perintis menunjukkan bahawa beliau memainkan peranan penting dalam ekspedisi tersebut.

Selain dari itu, dari aspek pembiayaan pula, ekspedisi ini yang menelan belanja sebanyak 8,751,125 Maravedis (RM17,203,078 dalam nilai semasa) adalah mustahil dilaksanakan tanpa kewujudan modal permulaan dari harta rampasan perang yang diperoleh Magellan dari Kesultanan Melaka.

Adalah direkodkan bahawa Magellan yang merupakan salah seorang kapten kapal tentera Portugis semasa kejatuhan Melaka menjadi kaya raya apabila menerima habuan bernilai 30,000 Venetian Gold Ducat (RM22,119,300 dalam nilai semasa). Wang ini adalah hasil dari pembahagian harta rampasan Kesultanan Melaka yang diagihkan oleh Alfonso de Albuquerque sekitar Ogos 1511.

Nota: 1 Venetian Gold Ducat = 375 Maravedis = 3.54 gram Emas.

Rujukan:

1. Lord Stanley of Alderley, (1874) 'The First Voyage Around the World by Magellan, Translated from Accounts by Pigafetta and Other Contemporary Writers', London, The Hakluyt Society.

2. Joyner, Tim (1992), 'Magellan', Camden, Me.: International Marine Publishing.

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Ferdinand_Magellan

4. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Enrique_of_Malacca

Gambar hiasan:

Illustrasi dalam 'Crónica de Dom Afonso Henriques' oleh Duarte Galvão (1500-1510), yang menggambarkan keadaan bandar dan pelabuhan Lisbon sekitar awal abad ke-16. Suasana kesibukan pelabuhan ini mungkin sama seperti apa yang dapat disaksikan sendiri oleh Enrique Melaka ketika beliau tiba di Portugal sekitar Jun 1512.


Monday 25 November 2019

Istana Kesultanan Melayu Melaka

Gambar hiasan: Muzium Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka).

Menurut Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), Sultan Mansur Shah dikatakan pernah bersemayam di tiga buah istana. Istana pertama ditinggalkan akibat tragedi pemberontakan Hang Kasturi. (Dalam Hikayat Hang Tuah, pemberontakan dilakukan Hang Jebat). Istana kedua pula musnah dalam kebakaran. Manakala istana ketiga pula difahami sebagai istana yang wujud sehingga jatuhnya Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Apa yang menarik istana ketiga ini dikatakan dikerah Sultan Mansur Shah untuk disiapkan dalam masa satu bulan. Persoalan samada tempoh satu bulan tersebut adalah sekadar perintah, ataupun benar-benar dilaksanakan tidaklah dapat dibuktikan. Akan tetapi saya percaya suatu tempoh yang singkat bagi jangkamasa siap adalah tidak mustahil berdasarkan tatacara pengurusan projek, pemilihan bahan binaan, konsep susunatur dan teknologi yang digunakan.

Dari segi tatacara pengurusan projek, Sulalatus Salatin mencatatkan istana Melaka didirikan oleh tukang-tukang yang datang dari 15 sub-etnik Melayu dari seluruh pelosok Nusantara. Setiap struktur bangunan dalam kawasan istana Melaka tersebut dibina secara pengkhususan (specialization) di mana setiap sub-etnik Melayu yang terlibat diberi kerja membina struktur bangunan yang berbeza.

Dari segi pengawasan projek, Sulalatus Salatin mencatatkan bahawa tugas perlaksanaan pembinaan diserah kepada Bendahara. Walaupun begitu, semasa pembinaan istana kedua, Sultan Mansur Shah sendiri telah membuat lawatan tapak dan mengarahkan variasi dibuat kepada kawasan Penanggahan (dapur) di mana rasuk (beam) yang kecil telah ditukar kepada saiz yang lebih besar iaitu sehasta lebar dan sejengkal tebalnya. Dengan itu semestinya telah wujud pelan bangunan, pelan susunatur, dan juga perintah-perintah variasi semasa projek dijalankan.

Jadi, secara amnya, masa dapat dijimatkan kerana wujudnya pembahagian tugas, di mana setiap kumpulan tukang dibahagikan mengikut  bidang kemahiran masing-masing. Produktiviti juga meningkat ababila setiap kumpulan bekerja dalam kelompok masing-masing di mana terdapat pesaingan sihat antara setiap kumpulan untuk mencapai tempoh siap yang ditetapkan.

Dari segi bahan binaan, sebahagian besar struktur istana dibina mengunakan bahan binaan ringan dari sumber setempat seperti kayu-kayan, buluh, rotan, mengkuang, daun nipah dan lain-lain. Menurut Sulalatus Salatin, bumbung istana Melaka kedua dan ketiga diperbuat dari kepingan atap timah. Ini juga adalah dari sumber tempatan iaitu dari perusahaan bijih timah di Sungai Ujong, Selangor, dan Klang. Aksesori tambahan seperti cermin, cat & kepingan kertas emas, permaidani, dan peralatan hiasan dalaman diperoleh dari pedagang-pedagang Arab, Turki, Cina dan Ryukyu yang sentiasa berulang alik ke Melaka.

Dari segi teknologi, pembinaan istana Melaka tersebut adalah berasaskan teknologi pembinaan rumah Melayu tradisional yang telah melalui proses transformasi sejak ribuan tahun. Semasa perintah penggantian rasuk Penanggahan dibuat bagi istana kedua, ianya dijalankan dengan serta merta oleh Bendahara. Ini menunjukkan bahan binaan tersebut berada ditapak projek dan dapat dipasang segera. Dengan itu, teknologi pemasangan yang dijalankan boleh dikatakan sebagai suatu konsep ‘Sistem Binaan Berindustri’ (Industrialised Building System) di mana komponen bangunan diperbuat dan/atau dalam keadaan sedia-pasang di tapak projek.

Dari segi perancangan susunatur, Istana Melaka mempamirkan sosio budaya masyarakat Melayu tradisional. Sulalatus Salatin mencatatkan struktur bangunan dalam kawasan istana adalah seperti berikut:-

1) Penanggahan (dapur),
2) Istana Besar,
3) Masjid,
4) Balai Kendi & Pemandian,
5) Balairong,
6) Balai Nobat,
7) Balai Apit Kiri,
8) Balai Apit Kanan,
9) Balai Penghadapan (Mendapa),
10) 3 buah Istana Kecil,
11) Kota Wang (treasury vault).
12) Bangsal gajah,
13) Pagar.

Kedudukan Balai Penghadapan diletakkan di hadapan sekali sebagai ruang umum menyambut tetamu diikuti dengan Balai Apit dan Balairong sebagai ruang utama dan keraian. Manakala Istana Besar berada di bahagian selepas Balairong dan dihubungkan oleh pelantar atau jambatan penghubung. Ini menepati keperluan urusan rasmi dan menyambut tetamu dan dalam masa yang sama menjaga tahap keselamatan keluarga DiRaja yang menetap di perkarangan kompleks bangunan istana tersebut.

Dari segi kedudukan susunatur yang digambarkan oleh Sulalatus Salatin (versi Shellabear), istana Sultan Mansur Shah mempunyai susunatur jenis berkembang (expanded form). Perletakkan selang sebagai jambatan penghubung di antara Istana Besar dengan Penanggahan pula adalah berperanan sebagai pintu masuk bagi tukang masak ketika persiapan santapan dilakukan. Struktur Istana di dalam kawasan kompleks istana dibina dalam keadaan boleh ditambah di mana dicatatkan dalam Sulalatus Salatin bahawa selain dari Istana Besar, terdapat 3 buah istana kecil telah dibina pada waktu yang sama.

Tatacara dan susunatur pembinaan istana Melaka yang digambarkan dalam Sulalatus Salatin menjadi inspirasi kepada pembinaan Muzium Istana Kesultanan Melaka yang kini berada di sebelah timur kaki bukit Melaka (kini Bukit St Paul). Kalau ikut petunjuk kedudukan perigi DiRaja (Catatan Portugis: "Poco") yang wujud di pakir Muzium Sejarah & Etnografi (yang menandakan kawasan Pemandian dan tempat berwuduk Masjid DiRaja), maka kedudukan Istana adalah di lereng barat bukit St Paul dan bukannya di puncak bukit. Lebih-lebih lagi puncak bukit tidak sesuai dibina kediaman menurut kepercayaan orang lama. Juga menurut prinsip Tajul Muluk, kediaman sesuai dibelakangi bukit dan mengadap tanah yang lebih rendah. Spesifik kepada prinsip Tajul Muluk, tanah yang rendah di Barat dan tinggi di Timur dianggap membawa tuah. Kedudukan Istana dilereng bukit menepati ciri-ciri ini iaitu mengadap kawasan rendah di Barat. Juga dipercayai keseluruhan kompleks istana Melaka mengadap ke arah Kiblat.

Dapat disimpulkan dari jangkamasa, tatacara pembinaan dan kesenian istana Melaka ini, kerajinan, kegigihan dan ketekunan Melayu itu terserlah ketika bersatu dibawah kepimpinan Sultannya. Dipecah-perintah, dikuda dan dijajah, sifat-sifat tersebut tidak dizahirkan sepenuhnya sehingga difitnah sebagai pemalas oleh si penjajah dan pewarisnya.

Rujukan:

1.  Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

2.  https://www.quora.com/Where-was-the-original-Malacca-Palace-located/answer/Yusrin-Faidz-Yusoff




Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...