Popular Posts

Sunday 24 November 2019

Mohor Besar Raja-Raja Melayu

Terdapat dua jenis Mohor Besar Raja-Raja yang berada dalam simpanan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Mohor Besar pertama berukuran 51 cm panjang, 22 cm lebar, 52 cm tinggi, dan seberat 93 kilogram (Gambar 1).


Gambar 1

Manakala Mohor Besar kedua pula berukuran 51 cm panjang, 14 cm lebar, 35.5. cm tinggi, dan seberat 38 kg. Mohor Besar kedua ini lebih ringan dan mudah untuk dibawa ke luar pejabat apabila diperlukan (Gambar 2).

Gambar 2

Kedua-dua Mohor Besar ini dibuat di England pada 1949 dengan kos GBP 211.10 setelah ianya diluluskan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali keempat pada 31.8.1948. Sistem mekanikal untuk menekap Mohor pada surat cara adalah agak unik kerana ia menggunakan kaedah 'fly press stamping' iaitu dengan pemusingan tombol di bahagian atas mesin tersebut. Permukaan Mohor Besar Raja-Raja ini mengandungi jata sembilan negeri Melayu Beraja dan tertulis perkataan '' MOHOR BESAR RAJA-RAJA NEGERI MELAYU" dalam huruf jawi (Gambar 3, 4 & 5).

Gambar 3
Gambar 4
Gambar 5

Dari segi fungsi, Mohor Besar ini melambangkan kekuasaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Surat cara yang dimeterai oleh Mohor Besar melambangkan kepercayaan dan kuasa yang diberikan. Mohor Besar juga membuktikan kesahihan dan kebenaran sesuatu surat cara.  Antara surat cara yang memerlukan penurunan Mohor Besar ini ialah:
  1. Surat cara yang memuatkan keputusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja yang dihantar kepada Yang Di-Pertua Dewan Negara, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. 
  2. Surat cara lantikan Raja sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
  3. Surat cara bagi pelantikan-pelantikan seperti termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan. Contoh pelantikan yang memerlukan rundingan dengan Majlis Raja-Raja ialah pelantikan Hakim-Hakim, Ketua Polis Negara, Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Ketua Audit Negara.
Mohor Besar Raja-Raja ini disimpan dan diselenggara oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang ditadbir urus 15 orang anggota dan bertempat di 482, Jalan Bukit Petaling, 50682 Kuala Lumpur. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja juga adalah merupakan setiausaha Majlis Raja-Raja yang juga bertindak sebagai jurucakap Majlis Raja-Raja.

Rujukan:

1. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Penyimpan_Mohor_Besar_Raja-Raja


2. Jabatan Penerangan Malaysia


Keris Gergasi Perlis



Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) ada menceritakan tentang kaum gergasi yang diketuai Penghulu Pra’ Chisim di mana beliau dan kaum kerabatnya menjadi pengikut cucu Merong Mahawangsa (anak pertama Raja Merong Mahapudisat) di mana mereka bersama-sama membuka Siam Lanchang. Saya rujuk kandungan HMM yang menyebut seperti berikut :

"Setelah didengarnya oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu,"Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil penghulu Pra Chisim dan penghulu Nang Sutaman itu ke mari,kita beri ia pergi bersama-sama anak kita dan orang kita Melayu,setengah kita suroh pergi bersama anak kita yang tua ini kita hantarkan ka hulu di sebelah utara barat laut.Maka tanah bumi itu lanjut jauh jua perjalanannya"

Hikayat Merong Mahawangsa dalam tulisan jawi


Juga pernah diceritakan bahawa tidak lama dahulu sebilah keris gergasi berkaitan HMM pernah menjadi salah satu dari alat kebesaran DiRaja Perlis. Tidak diketahui bilakah ia digunakan dan juga tentang saiz dan dimensi keris tersebut sehingga timbulnya klip filem dari arkib British Pathé ini:



Keris yang dicatat British sebagai "Sword of State" ini dibawa biduanda Istana semasa perarakan pertabalan Raja Perlis iaitu Tuanku Syed Putra ibni al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada tahun 1949. Baginda menaiki takhta kerajaan negeri Perlis pada 4.12.1945 tetapi disebabkan oleh Perang Dunia Kedua, baginda tidak ditabalkan sehingga 12.3.1949.

Perlis adalah asalnya sebuah daerah jajahan Kedah di mana HMM juga adalah relevan dalam konteks dan legasi sejarahnya. Keris tersebut yang dikenali sebagai Keris Kuasa Raja Pemerintah kini telah digantikan dengan keris panjang yang bersaiz biasa. Akan tetapi, tidak diketahui dimanakah keris asal iaitu keris gergasi tersebut kini berada.

Rujukan:


1. Siti Hawa Hj. Salleh (1991). Hikayat Merong Mahawangsa. Universiti Malaya.

2. Arkib British Pathé


Friday 22 November 2019

Kapal-Kapal Tradisional Terengganu


Menurut Paul Johnstone dalam 'The Seacraft of Prehistory' (1980), pada kurun ke-3 sebelum masihi perahu-perahu dari Semenanjung Tanah Melayu mula berdagang dengan penduduk pesisir pantai di Cina. Layar jenis 'batten sail' atau 'junk rig' orang-orang Melayu diadaptasi oleh orang-orang Cina dan kemudian menjadi sinonim dengan rekabentuk layar bagi jong-jong Cina. Sekitar kurun ke-10, orang-orang Cina yang mempelajari teknik pembuatan kapal dari pelayar-pelayar Nusantara mula mempunyai kapal-kapal besar untuk mengharungi laut dalam. Dipercayai bahawa Terengganu adalah salah sebuah pelabuhan Melayu yang membekalkan tukang-tukang perahu laut dalam tersebut.

Sekitar abad ke-17, saiz kapal Melayu yang ingin berdagang dengan pelabuhan-pelabuhan dibawah kekuasaan dan naungan Belanda perlu mematuhi undang-undang Belanda tentang saiz maksima yang ditetapkan. Maka kapal-kapal Melayu termasuk di Terengganu mula dibuat dalam saiz yang lebih kecil. Sekitar abad ke-18 hingga ke-19, pengangkutan barang dagangan di Teluk Siam dimonopoli kapal layar kargo dari Terengganu. Malah semasa penjajahan British, salah satu sebab jalan kereta api tidak dibina melalui Terengganu adalah kerana dibimbangi ia akan menggugat perdagangan kapal layar Terengganu. Semasa perang dunia Ke-2 malang menimpa pemilik perahu-perahu dan kapal layar Terengganu kerana perahu dan anak kapal mereka digunakan tentera Jepun untuk meledak periuk api British yang bertaburan di sekitar perairan pantai timur. Jumlah kapal layar Terengganu merosot selepas peristiwa tersebut.

Perahu dan kapal layar Terengganu ini kini lebih dikenali oleh orang-orang luar berbanding orang-orang tempatan yang kurang berminat mempelajari warisan zaman-berzaman ini. Sehingga kini, pembuatan bot kayu buatan tangan yang terkenal di seluruh dunia berada di Pulau Duyong, Terengganu. Pelbagai bentuk perahu telah dihasilkan, tetapi kebanyakannya hanya kita dapat lihat di Muzium Terengganu. 

Gambar Hiasan : Diagram perahu dan kapal layar tradisional Terengganu, cetakan digital di atas kanvas berasaskan lukisan Taib Aur. (Saiz: 21.25in (53.6cm) x 15in (38.1cm)). 

Usaha-usaha mengekalkan pembuatan kapal tradisional Terengganu kini masih dijalankan walau di skala lebih kecil. Pembuat-pembuat perahu tradisional ada yang telah beralih ke pembuatan bot nelayan moden dan juga perahu dan bot replika. Seperti dalam gambar-gambar ini, ada juga usaha untuk menjadikan perahu-perahu tradisional ini sebagai sumber inspirasi bagi menghasilkan lukisan dan cetakan.

Sesiapa yang berminat boleh Whatsapp tuan pelukis di Pulau Duyong ini di: +60177193599



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...