Gambar 1: Sutera laut dari pulau Sardinia, Itali. Sumber: Pinterest.com |
Menurut rekod harian Kerajaan Ming iaitu Ming Shi-lu yang diterjemahkan oleh Geoffrey Wade (1994), cindai atau tenunan sutera dari Itali ini adalah sebahagian dari hadiah perpisahan yang dikurniakan oleh Sultan Melaka kepada timbalan duta Kerajaan Ming bernama Zuo Fu pada sekitar tahun 1486. Peristiwa yang berlaku di Melaka ini juga selari dengan kronologi perjalanan delegasi Kesultanan Melaka ke Rum yang singgah ke Mekah sebelum pulang untuk berperang dengan Annam seperti yang pernah diketengahkan sebelum ini. (Lihat Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji).
Tentangan utama yang mungkin timbul terhadap hipotesis ini adalah konflik yang ketika itu berlaku antara Turki Uthmaniyah dengan Eropah, dan khususnya Itali sekitar 1480an. Ketika itu, peperangan Oranto di selatan Itali baru sahaja berlaku antara Turki Uthmaniyah dengan Kingdom of Naples. Jadi mungkin boleh dipersoalkan lojik disebalik perjalanan rombongan pembesar Melaka dari Turki yang dibenarkan ke Itali di zaman Perang Uthmaniyah tersebut.
Pada saya perjalanan ke Itali ini tidak mustahil sekiranya rombongan Melaka tersebut menggunakan statusnya sebagai negeri-negeri dibawah naungan Kerajaan Ming yang ketika itu mempunyai jalinan diplomatik dengan Papal States, Republik Venice dan Kerajaan-Kerajaan lain di semenanjung Itali secara amnya. Berbekal dengan suratcara bersama persalinan khas yang menunjukkan pangkat taraf Menteri Ming yang diperoleh Laksamana Melaka pada tahun 1481, saya rasa tidak mustahil Kerajaan-Kerajaan Itali menerima baik rombongan pembesar Melaka sepertimana rombongan diplomatik mereka diterima baik oleh Kerajaan Ming. (Lihat Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam).
Ritual pertabalan Ming diterjemah Geoffrey Wade (1994) sebagai "enfeoffment" iaitu suatu upacara adat istiadat zaman pertengahan di mana pemerintah negeri-negeri feudal yang berikrar taat setia kepada Maharaja Ming akan melalui istiadat pengiktirafan. Penyempurnaan upacara istiadat ini mendatangkan manfaat dari segi penerimaan naungan dan legitimasi pemerintahan. Boleh dikatakan agak bermasalah juga proses pertabalan Sultan Melaka ke-7 ini. Pada asasnya, Maharaja Ming iaitu Maharaja Chenghua (1447-1487) dicatat bersungguh-sungguh ingin menyempurnakan proses pertabalan walaupun pelbagai aral yang datang menimpa.
Menurut MSL, pada Ogos 1481 Maharaja Chenghua menghantar perutusan pertabalan Sultan "Ma-ha-mu Sha" yang diketuai duta bernama Lin Rong. Malangnya, kapal Lin Rong karam dalam pelayaran ke Melaka. Perutusan pertabalan yang dihantar pada Jun 1484 juga gagal akibat kematian duta Zhang Sheng setibanya di Ganzhou, selatan Cina. Tugas duta Zhang Sheng untuk misi tersebut telah diambil alih oleh timbalannya bernama Zuo Fu yang bertolak ke Melaka pada Oktober 1485. Zuo Fu dicatat mengambil risiko tinggi dalam meneruskan perjalanan dihujung musim pelayaran demi untuk segera sampai ke Melaka tanpa menunggu duta pengganti dari Kota Larangan.
Setelah lebih dari setahun menetap di Melaka dan dalam menghargai khidmat Zuo Fu, Sultan "Ma-ha-mu Sha" telah menghadiahkan Zuo Fu barang-barang berharga termasuk cindai iaitu kain lepas yang diperbuat dari sutera Itali.
Saya merumuskan bahawa ianya berasal dari Itali kerana MSL mencatat bahawa ianya adalah "Western Ocean cloth" (MSL: 16.4.1487). Menurut catatan dalam The Chinese Repository (1849), "western ocean cloth", "western sea cloth" atau "water sheep" adalah nama gelaran yang diberikan orang Cina bagi "sea silk" atau sutera laut. Bahan asas tenunan sutera laut ini iaitu filamen dari cengkerang jenis Pinna nobilis hanya dihasilkan di Laut Mediterranean dan hanya ditenun di Itali iaitu di wilayah Sardinia, Taranto, dan Apulia (Lihat Gambar 2). Lokasi penemuan fosil dan sisa cengkerang Pinna nobilis juga didapati hanya wujud sekitar perairan utara Laut Mediterranean. (Lihat Gambar 3).
Gambar 2: Cengkerang jenis "Pinna nobilis". Sumber: 2000sub.org |
Gambar 3: Lokasi fosil dan sisa cengkerang Pinna nobilis. Sumber: Soriga E. & Carannante A. (2017) |
Gambar 4: Penutup kepala (skull cap) abad ke-14 yang diperbuat dari tekstil sutera laut. Sumber: Musée d'Art et d'Histoire, Unité d'Archéologie. |
Gambar 5: Chiara Vigo iaitu wanita terakhir yang menenun sutera laut. Sumber: BBC News Magazine. Kredit FB Parang Kraf. |
Gambar 6: Tenunan sutera laut dari Itali yang berbentuk chain mille iaitu pakaian perisai yang selalunya diperbuat dari rantai besi. Sumber: Muséum d'Histoire naturelle de Neuchâtel, Switzerland. |
Peribahasa Melayu ada menyebut "Biar mati berkapankan kain cindai, jangan kain kadut." iaitu bermaksud lebih baik mati daripada merosakkan nama baik. Banyak juga pantun Melayu yang menggambarkan nilai estetika cindai, contohnya:-
Perahu belayar menyusur arus,
Patah kemudi susur di pantai;
Baik cari cindai yang halus,
Alah beli menang dipakai.
Kapal kecil kemudi kayu,
Hendak belayar tanah seberang;
Kain sekodi pilih sekayu,
Boleh dapat cindai terbilang.
"Zuo Fu has crossed the oceans and experienced great difficulties. He is pardoned and is not to be punished. The valuables are to be retained, while the Western Ocean cloth is to be given to Fu."
Hipotesis saya bahawa hadiah cindai ini berkait dengan Laksamana Hang Tuah pula adalah berasaskan rujukan silang MSL dan RH dengan mahakarya-mahakarya Melayu iaitu Sejarah Melayu (SM) dan juga Hikayat Hang Tuah (HHT). Seperti yang diketengahkan sutera laut tersebut mungkin diperoleh semasa lawatan pembesar Melaka tersebut ke Timur Tengah dan Eropah. Saya percaya kerana harganya yang amat tinggi ia dibeli secara terus dari sumbernya dan bukannya diekspot pedagang Turki atau Timur Tengah.
Menurut RH, surat-surat Laksamana Melaka yang diutus kepada Raja Shō Shin (1465–1527) pada 1480 dan 1481 juga mencatat identiti Sultan Melaka yang berbeza iaitu Sultan "Ma-an Shan". Ketika itu segala kuasa mohor perwakilan dan hak diplomasi diamanahkan kepada Laksamana Melaka kerana Sultan "Ma-an Shan" dikatakan masih belum dewasa. Jadi, dirujuk silang SM dan HHT, Laksamana Melaka yang berkhidmat di era pemerintahan Sultan Mansur Shah tersebut adalah dikenali sebagai Laksamana Hang Tuah. Ketika itu, di mata kerajaan Ming dan Ryukyu, Laksamana Melaka tersebut adalah dianggap "Regent" iaitu wakil rasmi atau de facto Raja kerana Sultannya masih belum dewasa.
- Geoffrey Wade (1994). The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries.
- Kain Cindai. Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Kain_Cindai
- Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji. 20.10.2019. Historybuff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/kisah-hang-tuah-menunaikan-haji_20.html
- Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969). Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan.
- Max Paradiso (2015). Chiara Vigo: The last woman who makes sea silk. BBC News Magazine. 2.9.2015. Diekstrak dari https://www.bbc.com/news/magazine-33691781.amp
- Nara (Tengku Nara Paduka). Facebook comment on 16.6.2021. Diekstrak dari https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10218331113573617&id=1365243090
- Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam. 20.10.2019. Historybuff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/peranan-hang-tuah-dalam-kes-pertikaian.html
- Sea Silk, Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Sea_silk
- Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
- Soriga E., Carannante A., 2017. Tangled threads. Byssus and sea silk in the Bronze Age: an interdisciplinary approach. In H. Landenius Enegren, F. Meo (eds.) Treasures from the Sea. Sea Silk and Shellfish Purple Dye in Antiquity. Oxbow, Oxford, pp. 29-45
- Traces of Primative Christianity in Eastern Asia, The Chinese Repository, Vol XVIII, pp. 485-503, January-December 1849. Canton.