Popular Posts

Showing posts with label Jambatan Connaught. Show all posts
Showing posts with label Jambatan Connaught. Show all posts

Friday 5 June 2020

Pembukaan Semula Jambatan Connaught (1946)


Dalam klip rakaman ini kita dapat melihat pembukaan semula jambatan keretapi Connaught di Klang pada 6.7.1946. Jambatan yang dimusnahkan British ini dibina semula dengan menggunakan buruh dan jurutera dari kalangan tawanan Jepun. Walaupun perasmian tersebut dihadiri Sultan Selangor iaitu Sultan Hishamuddin Alam Shah ibni Sultan Alauddin Sulaiman Shah, taraf Gabenor Malayan Union iaitu Sir Edward Gent dianggap lebih tinggi dan dengan itu upacara perasmian dilakukan oleh Gabenor yang ketika itu mengetuai segala kuasa legislatif, kehakiman dan eksekutif di Tanah Melayu. Malah kehadiran Sultan Selangor langsung tidak dilaporkan di dalam liputan akhbar tentang upacara tersebut.






Seperti yang kita maklum, walaupun Sultan Selangor telah menandatangani perjanjian Malayan Union, seperti semua raja-raja Melayu yang lain, baginda kemudiannya telah menolak penubuhan Malayan Union dan telah memberikan sokongan secara terbuka kepada usaha kebangkitan semangat Melayu untuk menumbangkan rancangan Malayan Union. Ini terbukti apabila baginda hadir merasmikan Kongres Perpaduan Melayu Pertama (Kongres Melayu Se-Malaya) di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur pada 1.3.1946. Kongres yang dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor (PMS) ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11.5.1946.

Bantahan dan tindakan tegas terhadap kehilangan kuasa Raja-Raja dan hak-hak orang Melayu membuat British terpaksa berunding dengan UMNO dan Raja-Raja Melayu, dan akhirnya menyebabkan British membatalkan kerajaan Malayan Union yang hanya sempat memerintah selama 22 bulan iaitu dari 1.4.1946 hingga 1.2.1948. Sesuai dengan ungkapan "sejarah mengajar kita erti dewasa", peristiwa ini mengajar kita bahawa kejayaan sesuatu bangsa dalam menentang kuasa asing hanya akan tercapai apabila bangsa tersebut bersatu.

Sumber:

1. Imperial War Museums, London.
2. National Library Board, Singapore.


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...