Popular Posts

Showing posts with label Belanda. Show all posts
Showing posts with label Belanda. Show all posts

Thursday, 7 October 2021

Warkah Sultan Mahmud III

 


Ada beberapa warkah abad ke-18 dari Nusantara yang disimpan di arkib Belanda. Antara yang menarik adalah warkah dari Sultan Mahmud Riayat Syah ibni al-Marhum Sultan Abdul Jalil Syah (Sultan Mahmud III) (1756-1811) yang bertarikh 11 Ramadan 1210H iaitu 20 Mac 1796. Baginda adalah merupakan Sultan yang memerintah jajahan takluk Riau-Lingga (1761-1811), Pahang (1761-1811), dan Johor (1770-1811) (Gambar 1).

Gambar 1: Sultan Mahmud Riayat Syah ibni al-Marhum Sultan Abdul Jalil Syah (Sultan Mahmud III) (1756-1811).
Sumber: Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Direktorat Jenderal Kebudayaan, Indonesia.

Gambar 2: Bahagian atas dalam warkah Sultan Mahmud III.
Sumber: Leiden University Libraries.


Gambar 3: Cap Mohor Sultan Mahmud III.
Sumber: Leiden University Libraries.


Gambar 4: Kandungan Warkah Sultan Mahmud III.
 Sumber: Leiden University Libraries.


Ketika warkah ini dimaktub, Inggeris yang mentadbir Melaka bagi pihak Belanda semasa Perang Napoleon baru sahaja mengembalikan semula wilayah takluk Sultan Mahmud III kepada baginda (Gambar 2-4).  Warkah ini diutus kepada Gabenor Jeneral Belanda iaitu Pieter Gerardus van Overstraten (1755-1801) (Gambar 5) dan tiba di Betawi (Jakarta) pada 25 April 1796. Secara ringkasnya, ia mengandungi kenyataan Sultan Mahmud III bahawa baginda baru sahaja dimaklumkan oleh pihak Inggeris bahawa baginda dan kerajaan baginda telah diserahkan kepada Belanda; di mana baginda memohon bekalan senjata dan peluru dari Belanda untuk dihantar ke Riau.

Gambar 5: Gabenor Jeneral Belanda, Pieter Gerardus van Overstraten (1755-1801).
Sumber: Wikipedia.


Seperti yang kita maklum Sultan Mahmud III telah membuka Lingga dan menjadikannya pusat pemerintahan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Pada 1782 Sultan Mahmud III dan Yang Dipertuan Muda IV Raja Haji Fisabillilah memerangi Belanda di Riau-Lingga. Perang Riau I tersebut berlangsung dari 1782 sehingga 1784. Tentera Riau-Lingga berhasil mengalahkan Belanda di Tanjungpinang dan sekitarnya dalam suatu peperangan yang sangat dahsyat sehingga mengorbankan ramai tentera Belanda. Dalam peperangan tersebut tentera Riau-Lingga berjaya meletupkan kapal-kapal milik Belanda.

Seperti yang dibuktikan dalam warkah ini, dengan campur tangan penjajah dan musuh-musuh politik dalaman maka akhirnya jajahan takluk Sultan Mahmud III mengecil hanya untuk berkuasa di Riau-Lingga sahaja; di mana baginda akhirnya akur di bawah naungan kuasa Belanda. Manakala jajahan Johor-Pahang bernaung pula di bawah kuasa Inggeris. Akibat daripada perpecahan itu juga, pentadbiran kerajaan Sultan Mahmud III dibahagi kepada tiga negeri dan diperintah oleh pemerintah yang berlainan, iaitu Singapura diperintah Bendahara, Riau diperintah Yamtuan Muda dan Lingga diperintah Sultan. 

Kemangkatan Sultan Mahmud III pada 12 Januari 1811 pula mengakibatkan perebutan kuasa antara Tengku Hussein (1776-1835) dengan adinda tirinya, Tengku Abdul Rahman (1780-1832).  Ini memberi peluang kepada Stamford Raffles untuk mengambil kesempatan memihak kepada Tengku Hussein yang ketika itu disokong Temenggong Abdul Rahman (1755-1825). Percaturan ini membolehkan pusat perdagangan Inggeris didirikan di Singapura pada tahun 1819. Ini disusuli dua perjanjian pada tahun 1823 dan 1824, di mana Singapura akhirnya diserahkan secara rasmi kepada Inggeris.

Sumber:

  1. Abdul Hamid, Ahmad Sarji, 2011. The Encyclopedia of Malaysia, 16 - The Rulers of Malaysia. Kuala Lumpur: Editions Didier Millet.
  2. Leiden University Libraries, Amsterdam.
  3. Trcocki, Carl A., 2007. Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore. Singapura: NUS Press.



Friday, 16 April 2021

Kerajaan Melaka bermula 1160M?

 

Gambar 1: Illustrasi Kota Melaka di bawah jajahan Belanda.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).

Berdasarkan catatan Belanda dalam 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India) (1724) oleh François Valentijn (1666-1727), penubuhan Melaka sebagai sebuah kerajaan maritim 'thalassocracy' dikatakan bermula pada tahun 1160 dan berpusat di Singapura (Gambar 2). Ini adalah 242 tahun lebih awal dari tarikh penubuhan kerajaan Melaka yang diketahui umum.  Valentijn menyatakan bahawa kerajaan ini kemudian berpindah ke kota Melaka pada tahun 1252, dan kemudian ke Johor bermula tahun 1511 iaitu setelah kota Melaka jatuh ke tangan Portugis. 

Gambar 2: Catatan senarai 22 Raja dan Sultan Melaka dari 1160 sehingga 1708.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Seperti kerajaan-kerajaan maritim sebelumnya, pusat pentadbiran dan ibu negerinya sentiasa berpindah-pindah. Jadi, setakat tahun 1708 iaitu semasa catatan tersebut dibuat, Valentjin (Gambar 3) merumuskan bahawa usia kumulatif kerajaan berdaulat dibawah pemerintahan Raja-Raja Kesultanan Melaka adalah 547 tahun 11 bulan (dan berterusan). 

 

Gambar 3: Lakaran François Valentijn (1666-1727).
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Mungkin berdasarkan lojik ini sesetengah negara barat seperti Belanda, Perancis dan Turki menggelar Semenanjung Tanah Melayu sebagai "Melaka" sehingga abad ke-19 (Lihat Peta Semenanjung Tanah Melayu tahun 1803 oleh Turki dalam Gambar 4). Pada mereka, entiti Melaka sebagai sebuah kerajaan berdaulat adalah berterusan selagi ianya diperintah kerajaan yang berkesinambungan pemerintahannya dengan Raja-Raja dari Kesultanan Melaka.

Gambar 4: Cedid Atlas (1803) iaitu Peta Kerajaan Turki Uthmaniyyah dibawah Sultan Selim III, yang dibuat dan diterjemah oleh Mahmud Raif Efendi berasaskan peta William Faden.


Bagi Belanda, walaupun mereka menjajah dan menjarah hasil bumi di Semenanjung Tanah Melayu, serangan awal ke atas kapal Portugis dan penaklukan yang dilakukan terhadap Portugis di kota Melaka adalah di atas justifikasi mengembalikan kota Melaka tersebut kepada waris sebenar Kesultanan Melaka (Lihat Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden). Bagi British pula, walaupun mereka mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu melalui sistem residen, ianya dilakukan atas "persetujuan" yang diberikan oleh Raja-Raja Melayu itu sendiri. Pada kesemua masa yang material, walaupun kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu dihadkan, ianya tidak pernah terbatal secara keseluruhan.

Gambar 4: Tajuk bagi catatan berkenaan Melaka.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Sekiranya dikaji, catatan Belanda ini lebih kurang sama dengan tarikh dalam 29 versi Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang menyatakan Melaka diasaskan pada 1262. Catatan Belanda ini mempunyai dua fakta tambahan iaitu ianya menyatakan perpindahan dari Singapura ke Melaka berlaku pada 1252, dan Raja-nya memeluk Islam pada 1276.

Walaubagaimanpun, seperti kita maklum rekod Portugis menyatakan tarikh-tarikh yang berbeza. Melaka dikatakan ditubuhkan putera Srivijaya iaitu Parameswara pada tahun 1402. Rekod Portugis ini adalah lebih probatif kerana ianya selari dengan rekod Cina. Melalui rekod hal ehwal Dinasti Ming (Ming Shi-lu), lawatan terakhir Srivijaya (San Fo Qi) ke Cina adalah pada 30.11.1377.  Manakala lawatan terakhir Majapahit (Java) adalah pada 3.10.1402. Terbukti bahawa tiada catatan berkenaan Melaka sebelum itu. 

Rekod berkenaan Melaka di Cina hanya wujud bermula pada 28.10.1403 iaitu rekod tentang Yi Qing yang dihantar sebagai utusan ke Melaka. Apa yang menarik adalah rekod Cina ada mencatat nama-nama Raja dan Sultan Melaka dan juga tarikh lawatan yang dibuat. Secara ringkasnya, rekod Ming Shi-lu tersebut mencatat bahawa terdapat 4 Raja-Raja Melaka berikut telah tiba di Kota Larangan:-

  1. Bai-li-mi-su-la (拜里迷蘇剌) (Parameswara) pada tahun 1405 dan 1411;
  2. Mu-wo Sa-yu-di-er Sha / Mu-gan Sa-yu(gan)-di-er Sha (Megat Iskandar Shah) pada tahun 1414;
  3. Xi-li Ma-ha-la-zhe (西哩麻哈剌者) (Sri Maharaja / Sultan Muhammad Shah) pada tahun 1424, 1433 & 1434; dan
  4. Su-dan Mang-su Sha (蘇丹茫速沙)(Sultan Mansur Shah) pada tahun 1459.

Tarikh-tarikh lawatan Raja-Raja Melaka ke Cina ini selari dengan rekod dan susunan tarikh pemerintahan rasmi Raja-Raja Melaka tersebut yang diketahui umum. Ianya juga ternyata bercanggah dengan tarikh pemerintahan dalam catatan Belanda dan Sejarah Melayu.  Dengan itu, boleh dirumuskan bahawa catatan Belanda tersebut adalah tidak berapa tepat dan mungkin dibuat oleh Valentijn berdasarkan teks-teks awal Sejarah Melayu.


Rujukan: 

  1. 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India), Vol. 5, oleh François Valentijn (1724).
  2. Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden. 10 Mei 2020. History Buff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/05/peranan-johor-dalam-membentuk-undang.html
  3. Sejarah Melayu versi Raja Bongsu (MS18 Stamford Raffles).
  4. Suma Oriental que trata do Mar Roxo até aos Chins (Summa of the East, from the Red Sea up to the Chinese), Tome Pires, 1512-1515.
  5. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).



Sunday, 10 May 2020

Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden

Gambar 1: Santa Catarina (Sumber: Peace Palace Library, The Hague, Netherlands)


Pada tahun 1604, seorang peguam Belanda bernama Hugo Grotius menulis 'Mare Liberum' (The Free Sea) yang mengandungi prinsip 'De Jure Praedae' (The Law of Prize and Booty), iaitu suatu kupasan terperinci mengenai undang-undang rampasan perang yang menjadi asas kepada undang-undang antarabangsa moden mengenai hak laluan di lautan antarabangsa, dan hak membela diri sesebuah negara.

Penulisan beliau adalah berdasarkan keperluan untuk menyokong dan menghalalkan tindakan Syarikat Hindia Timur Belanda atau Vereenigde Oostindische Compagnie ("VOC") dalam menyerang dan menahan sebuah kapal Portugis bernama Santa Catarina di muara sungai Johor pada 25.2.1603.  (Gambar 1 & 2).

Serangan terhadap Santa Catarina tersebut diketuai oleh Admiral Jacob van Heemskerck (1567-1607) (Gambar 2) dengan bantuan pemerintah de facto Johor iaitu Raja Abdullah (1571-1623). Raja Abdullah tersebut, yang juga dikenali sebagai Raja Bongsu, Raja Seberang, Raja Di Hilir dan Yang DiPertuan Hilir, kemudian diangkat Aceh sebagai Sultan Johor Ke-7 dengan gelaran Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (r. 1615-1623). Beliau yang lebih popular dengan nama gelaran Raja Bongsu juga dikatakan telah menitahkan dan menjadi penaung penulisan karya agung Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Semasa serangan 1603 tersebut, Raja Bongsu dan beberapa pembesar Johor yang lain berada di atas kapal van Heemskerck bernama 'Witte Leeuw' (White Lion).

Gambar 2: Admiral Jacob van Heemskerck (Sumber: Historiek.net)

Santa Catarina adalah sebuah kapal kerakah (carrack) 1,500 tan milik Portugis. Ianya sedang dalam pelayaran dari Macau ke Melaka dan membawa muatan yang terdiri dari sutera, porselin, kasturi, dan barangan lain. Setelah bertahan selama 10 jam dengan kematian 70 orang anak kapal, Sebastian Serrão dan anak kapal Portugis yang lain telah menyerah diri. Mereka kemudian dibebaskan dengan syarat kapal mereka dirampas. Hasil lelongan muatan Santa Catarina di Amsterdam menjangkau jumlah 3.3 juta guilders (120 juta guilders atau RM300 juta dalam nilai semasa). Nilai hasil rampasan yang amat tinggi ini membuka mata pedagang Eropah tentang kadar keuntungan sebenar yang selama ini dirahsiakan Portugis.

Portugis menuntut harta yang ditahan; manakala pemegang saham VOC mula risau tentang kedudukan undang-undang dan moraliti serangan dan penahanan yang telah dibuat. VOC percaya bahawa insiden tersebut, sekiranya tidak dibendung, akan beransur menjadi suatu skandal antarabangsa.

Secara amnya, kerajaan Belanda ingin melemahkan pengaruh Portugis di Asia. Ini selari dengan usaha mereka untuk mengalahkan Hasburg Sepanyol yang ketika itu memerintah Portugal.  Akan tetapi, ini bercanggah dengan misi utama VOC ke Asia. Sebagai sebuah syarikat, tujuan VOC adalah untuk berdagang dan bukannya untuk menyerang kapal-kapal Portugis. Dengan itu, sekiranya tidak diberi justifikasi dan alasan munasabah, serangan terhadap Santa Catarina boleh dianggap suatu tindakan pelanunan ("act of piracy").

Dengan itu VOC mengupah Hugo Grotius (1583-1645) (Gambar 3), yang ketika itu berusia 21 tahun, untuk menderaf suatu justifikasi dalam membela serangan dan penahanan yang dibuat terhadap Santa Catarina. Pandangan dan justifikasi undang-undang adalah penting untuk menjaga imej VOC di mata dunia, dan juga menjaga kedudukan pemegang saham VOC yang kebanyakannya terdiri dari komuniti Kristian Mennonite yang pasifis dan anti-keganasan. Pada masa yang sama, sekiranya Mahkamah Admiralti membenarkan hak rampasan, ianya akan meningkatkan modal VOC pada kadar dua kali ganda. Apabila prosiding Mahkamah dimulakan terdapat 3 pihak yang menuntut hasil muatan Santa Catarina. Mereka terdiri dari Kerajaan Belanda, VOC, dan van Heemskerck bersama anak kapalnya.


Gambar 3: Lukisan potret Hugo Grotius pada 1608 oleh Michiel Jansz van Mierevelt. (Sumber: Wikipedia)

Dalam penulisannya, Grotius memberi justifikasi terhadap insiden tersebut dengan menyatakan bahawa tindakan VOC melalui van Heemskerck adalah suatu tindakan sah kerana beliau berhak mencabar monopoli perdagangan Portugis di Asia (Gambar 4).

Gambar 4: Muka hadapan buku 'Mare Liberum' (Sumber: Wikipedia)

Grotius berhujah bahawa Portugis bukan sahaja menghalang VOC dari pelabuhan dan pasaran di Asia, tetapi juga telah menggunakan kekerasan tidak sah terhadap pedagang Eropah dan juga pedagang tempatan demi mendominasi perdagangan di rantau Asia. Jadi, dengan merampas Santa Catarina, van Heemskerck telah melakukan serangan adil ("just war") untuk menghukum perbuatan Portugis dan membela kebebasan pelayaran antara Eropah dan Asia melalui Selat Melaka.

Penulisan dan pandangan Grotius ini, yang juga dirujuk sebagai "Grotian Moment", menjadi asas kepada perkembangan prinsip undang-undang antarabangsa moden. Apa yang menarik, dalam usaha justifikasi ini, Johor bukan sahaja memainkan peranan dalam membantu serangan VOC terhadap Portugis, tetapi mereka juga telah menghantar rombongan perwakilan pertama ke Belanda pada tahun 1604 untuk mengukuhkan hujahan Grotius tersebut.

Ketua perwakilan Johor iaitu Megat Mansur telah meninggal dunia dalam perjalanan ke Belanda, di mana seorang lagi wakil bernama Enche' Kamar telah mengambil-alih tugas beliau dalam mengetuai rombongan perwakilan tersebut.

Dari catatan Grotius, nama-nama waris tahta kerajaan Johor iaitu "Ian de Patuan" (Yang DiPertuan), "Raia Siaca" (Raja Siak), "Raia Sabran" (Raja Seberang iaitu Raja Bongsu), dan "Raia Laud" (Raja Laut) jelas dicatat semasa persiapan deraf penulisan justifikasi beliau yang kini disimpan di The Hague, Belanda (Gambar 5). Tulisan ini boleh dibanding dengan tulisan Grotius yang mengandungi tandatangan beliau (Gambar 6).

Gambar 5: Nota catatan Hugo Grotius yang disimpan di The Hague.


Gambar 6: Nota tulisan Hugo Grotius yang juga mengandungi tandatangan beliau.

Kehadiran Enche' Kamar sebagai ketua perwakilan Johor yang tiba di Amsterdam pada 1.7.1604 telah membantu VOC dan Grotius dalam memberi pengesahan dan keterangan tentang latarbelakang konflik antara Johor dengan Portugis kepada Mahkamah Admiralti Amsterdam yang terletak berhampiran ibu pejabat VOC di Amsterdam (Gambar 7). Ini adalah kerana VOC perlu melepasi beban bukti asas untuk meyakinkan Mahkamah dan pihak-pihak yang menuntut tentang hak Johor sebagai pihak tempatan yang ditindas Portugis.  Kehadiran Enche' Kamar juga adalah dalam jangka waktu yang sama dengan perjalanan prosiding Mahkamah iaitu pada tahun 1604.

Gambar 7: Bangunan Ibu Pejabat VOC di Amsterdam sekitar pertengahan abad ke-17. (Sumber: Rijksmuseum)

Secara asasnya, VOC juga perlu membuktikan kewujudan faktor utama dalam justifikasi "just war" Grotius tersebut iaitu bahawa VOC berhak membantu Johor kerana Johor adalah pewaris yang sah dan tulen kepada Kesultanan Melaka yang telah kehilangan ibu negeri dan pelabuhannya ke tangan Portugis pada tahun 1511. Dengan membantu serangan Johor terhadap Portugis, van Heemskerck adalah bukan lanun tetapi agen atau wakil Johor.

Kerajaan Belanda telah menggugurkan tuntutan pada awal prosiding kes setelah mendapati tiada kausa tindakan dan juga setelah mengetahui bahawa tiada pemfailan tuntutan rasmi oleh Portugis atau agennya di Mahkamah Admiralti tersebut.

Berdasarkan pembuktian dan hujahan yang diberikan, pada 4.9.1604, Mahkamah Admiralti Amsterdam telah mengisytiharkan bahawa serangan terhadap Santa Catarina sebagai serangan yang yang sah, dan penahanan muatan barangannya adalah juga berasaskan suatu pemilikan dan rampasan yang sah.

Hasilnya, VOC berhak terhadap keseluruhan rampasan. Akan tetapi, hasil lelongan rampasan tersebut perlu ditolak untuk membayar segala kos tuntutan, membayar kadar 5% kepada Lembaga Admiralti, dan membayar kadar 13% kepada Putera Maurice.  Van Heemskerck dan anak kapalnya diisytiharkan berhak kepada kadar 4% dari hasil lelongan bersih. VOC meningkatkannya kepada kadar 5% setelah van Heemskerck membantah. Setelah ditolak kesemuanya, VOC menerima jumlah 1.3 juta guilders (nilai semasa: 47 juta guilders / RM114 juta)  iaitu 100% pulangan terhadap modal mereka. Malangnya tiada habuan diperuntukkan kepada Johor yang telah membantu VOC dalam menawan Santa Catarina dan menghantar perwakilan ke Belanda untuk mengesahkan konflik dan tuntutan mereka terhadap Portugis.

Jika dilihat dari sudut sejarah, Johor melalui usaha Raja Bongsu bukan sahaja telah memberi peluang peningkatan dana modal yang banyak kepada VOC, tetapi ia juga telah terlibat dalam situasi geo-politik yang melahirkan beberapa prinsip undang-undang antarabangsa yang penting. Seperti yang diketengahkan Grotius, VOC hanyalah agen Johor dalam menentang Portugis. Prinsip yang dipelopori Grotius berkenaan lautan lepas (high seas) sebagai kawasan laut antarabangsa dan bahawa ianya bebas diguna pedagang maritim adalah merupakan asas kepada undang-undang antarabangsa berkenaan akses laluan di lautan lepas. Prinsip ini kini termaktub di dalam Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 yang mentakrifkan hak dan tanggungjawab negara dalam penggunaan mereka terhadap lautan dunia, mengasaskan garis panduan untuk perniagaan, persekitaran, dan pengurusan sumber semula jadi laut.

Seterusnya, prinsip Grotius tentang teori peperangan menjadi sah apabila ia menegakkan hak keadilan (just war theory) menjadi panduan kepada undang-undang antarabangsa berkenaan penggunaan kekerasan dan hak membela diri. Hak ini kini tertera di dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Piagam tersebut membenarkan penggunaan kekerasan sekiranya ia bertujuan untuk membela diri atau sekiranya dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu demi kepentingan keselamatan dan keamanan antarabangsa.

Enche' Kamar kembali tiba ke Batu Sawar pada 30.4.1606 dengan diikuti 9 buah kapal VOC yang diketuai Admiral Cornelis Matelief de Jonge. Pada tahun yang sama, dengan berbekalkan justifikasi Grotius dan keputusan Mahkamah Admiralti Amsterdam 1604, VOC telah menandatangani 2 perjanjian kerjasama dengan Raja Bongsu di mana VOC bersetuju membantu Johor dalam menghalau Portugis dari Melaka. Sebagai balasan, sekiranya berjaya, VOC akan mendapat hak sepenuhnya terhadap Melaka dan juga berhak berdagang dengan Johor. Johor dan VOC juga bersetuju untuk saling menghormati agama masing-masing.

Justfikasi Grotius ini adalah alasan yang mengukuhkan penglibatan VOC dalam menyerang Portugis di Melaka sehingga Portugis tumpas pada tahun 1641. Juga, sehingga kini, justifikasi yang sama masih digunakan oleh kuasa-kuasa besar dunia dalam campurtangan politik di negara-negara yang mereka fikir tertindas.


Rujukan:

1. Borschberg, Peter (2011). Hugo Grotius, the Portuguese and Free Trade in the East Indies. Singapore: NUS Press.

2. Boyajian, James C. (2008). Portuguese Trade in Asia under the Habsburgs, 1580–1640. JHU Press. p. 151

3. Heath, Byron (2005). Discovering the Great South Land. Rosenberg. p. 68.

4. Van Ittersum, Martine Julia (2006). Profit and Principle - Hugo Grotius, Natural Right Theories, and the Rise of Dutch Power in the East Indies. Brill, Leiden. Boston.



Wednesday, 1 April 2020

Lawatan Willem Schouten ke Pulau Pinang

Antara pedagang Eropah yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal beliau, Edward Bonaventure, adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Beliau telah dicatatkan tiba di Pulau Pinang pada bulan Jun 1593.  Catatan Lancaster adalah bukti utama pihak Inggeris yang menyatakan bahawa ketika itu Pulau Pinang tidak berpenghuni.

Terdapat seorang lagi pelayar Eropah bernama Willem Cornelisz Schouten (1567–1625) yang telah tiba di Pulau Pinang pada tahun 1616 (Lihat Gambar 1 & 2).  Schouten adalah pelayar berbangsa Belanda dan telah belayar dengan kapal Syarikat Hindia Timur Belanda ke Nusantara melalui Cape Horn dan lautan Pasifik.


Gambar 1: Lakaran ketibaan Schouten di Pulau Pinang yang direkod sebagai "Schouten at Penang ca.1616 Plague of flies" iaitu sebahagian dari "Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17"  (1619).

Gambar 2: Willem Cornelisz Schouten (1567-1625)

Schouten telah merekodkan pelayarannya dalam sebuah jurnal yang telah diterbitkan di Amsterdam pada tahun 1618. Selain dari Bahasa Belanda, ianya juga telah dicetak dalam versi Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, dan Latin.  Setelah dikaji, illustrasi dalam versi Belanda, Perancis, Jerman dan Latin mempunyai 9 lakaran tambahan yang tidak wujud dalam versi Bahasa Inggeris jurnal tersebut.  Salah satu dari lakaran tersebut (Gambar 1) menggambarkan ketibaan Schouten di Pulau Pinang. 

Dalam lakaran tersebut, kapal Schouten yang dinamakan Eendraght dan Hoorn berlabuh diperairan Pulau Pinang di mana Pulau Pinang direkodkan mempunyai penghuni. Malah seorang pahlawan yang memegang busur panah digambarkan dalam jurnal beliau (Lihat Gambar 3).

Gambar 3: Penduduk awal Pulau Pinang sekitar tahun 1616 dalam lakaran jurnal Schouten.

Juga terdapat sebuah perahu layar tempatan yang mempunyai lambang ayam pada layarnya (Lihat gambar 4). Perahu tersebut yang dinaiki wanita dan kanak-kanak sedang terbakar mungkin akibat sedang diserang oleh pelayar-pelayar Belanda tersebut. Juga direkodkan kehadiran serangga yang banyak, samada jenis lalat atau agas, yang mengerumuni salah sebuah kapal Belanda tersebut.

Gambar 4: Perahu layar penduduk tempatan sedang terbakar.

Selain dari lakaran, versi Bahasa Jerman jurnal tersebut memberi sedikit deskripsi tentang kejadian tersebut yang mungkin dapat dikaji lebih lanjut (Lihat Gambar 5).

Gambar 5: Teks dari "Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17"  (1619)

Jurnal Schouten ini adalah mungkin lakaran dan deskripsi terawal tentang kewujudan penduduk dan keadaan mukabumi di Pulau Pinang. Saya berpendapat terdapat usaha pihak Inggeris untuk menutup fakta yang ditemui Schouten tentang penduduk awal Pulau Pinang. Ini adalah kerana di dalam versi Inggeris, pelayaran Schouten hanya dicatat setakat ke kepulauan Jawa sahaja dan tidak pernah sampai ke Selat Melaka dan Pulau Pinang.


Rujukan:

1. Royal Museums Greenwich

2. Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17 (1619).

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Willem_Schouten



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...