Popular Posts

Friday, 30 September 2022

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes.


Singapura adalah destinasi terakhir yang dilawati Charles Wilkes (1798-1877) semasa menjalankan ekspedisi dari tahun 1838 sehingga 1842. 'Ekspedisi Wilkes' ini adalah bertujuan komersial dan kajian saintifik; dan juga untuk mengembangkan pengaruh dan kepentingan Amerika ke rantau barat laut Pasifik.  

Charles Wilkes (1798-1877).

Antara lakaran yang dihasilkan semasa di Singapura adalah lakaran bertajuk 'Chinese Temple, Singapore'. Ia diukir-cetak oleh J.A. Rolph berdasarkan lukisan Alfred T. Agate yang dibuat pada 21 Februari 1842. Ia adalah lakaran kuil Thian Hock Keng di Chinatown, Singapura. Kuil di Jalan Teluk Ayer ini adalah kuil Hokkien tertua di Singapura yang dibina pada tahun 1839. 

'Chinese Temple, Singapore' (1842).


Ekspedisi 6 buah kapal ini berjaya meninjau 280 buah pulau di Pasifik, dan menghasilkan 180 carta navigasi. Ini termasuk pemetaan 1,287 km kawasan pantai barat lautan Pasifik, dan 2,414 km kawasan pantai benua Antartika di Kutub Selatan.

Apa yang menarik, ekspedisi ini juga membawa pulang 40 tan koleksi artifak dari negeri-negeri yang dilawati. Ini termasuk penulisan dan manuskrip Melayu dan Bugis yang diperoleh dari Singapura.  Dengan bantuan mubaligh Amerika bernama Alfred North, kuota muatan artifak ini dipenuhi pada saat-saat akhir di Singapura. Selain artifak persenjataan dan replika kapal Melayu, antara yang diperoleh Wilkes adalah 3 pucuk warkah Sultan Terengganu iaitu Sultan Ahmad Muazzam Shah I ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Shah II kepada William Farquhar.


Warkah Sultan Terengganu iaitu Sultan Ahmad Muazzam Shah I ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Shah II kepada William Farquhar, 19 Muharram 1234 (18 November 1818).



Selain itu, koleksi warkah yang ditujukan kepada William Farquhar adalah 7 pucuk warkah dari Tun Ali, Raja Bendahara Johor-Pahang (1819–22), 3 pucuk warkah dari Pangeran Dipati Palembang (1819–22), warkah dari Sultanah Siti Fatimah binti Jamaluddin Abdul Rahman dari Pamanah (1822), warkah dari Sultan Hussein Muhammad Shah dari Singapura, warkah dari Yang DiPertuan Kelantan dan Tengku Syed Abdul Rahman bin al-Habib Hussein Aidid (1822), dan warkah Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei (1822). Juga terdapat warkah dari Kesultanan, pembesar dan pemerintah dari Siak, Riau, Lingga, Naning, Kampar Pulau Daun, dan juga Kemboja. 

Warkah Raja Bendahara Johor-Pahang kepada William Farquhar, 1 Zulkaedah 1234 (22 Ogos 1819).

Warkah Pangeran Dipati Palembang kepada William Farquhar, 7 Jamadilakhir 1234 (3 April 1819).


Warkah dari Sultanah Siti Fatimah binti Jamaluddin Abdul Rahman dari Pamanah kepada William Farquhar (1822).


Warkah dari Sultan Hussein Muhammad Shah dari Singapura kepada William Farquhar (tarikh tidak dapat dipastikan).


Warkah Yang DiPertuan Kelantan dan Tengku Syed Abdul Rahman bin al-Habib Hussein Aidid kepada William Farquhar, 3 Syaaban 1237 (25 April 1822).


Warkah Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei kepada William Farquhar, 6 Syaaban 1237 (28 April 1822).


Antara manuskrip dalam koleksi Wilkes pula adalah Sejarah Melayu oleh Munshi Abdullah (cetakan jawi 1840), Hikayat Abdullah (1843), Hikayat Amir Hamzah (1838), Hikayat Johor (1838), Hikayat Panca Tanderan (1835), Hikayat Patani (1839), Hikayat Syah Mardan (1837), Hikayat Isma Yatim (1837), [4 Hikayat] Singapura (1837), Kitab Adat segala Raja-Raja Melayu dalam segala Negeri (1837), 7 buah Kitab Injil (1820-1831), dan Kitab Tib tulisan tangan Munshi Abdullah (1837).


Sejarah Melayu oleh Munshi Abdullah dalam cetakan Jawi (1840).


Koleksi persuratan dan manuskrip ini dikatakan koleksi manuskrip Nusantara terbesar dan setanding koleksi manuskrip Stamford Raffles yang musnah dalam kebakaran kapal Fame pada tahun 1824. Koleksi ini pada mulanya di simpan di National Institute for the Promotion of Science, USA. Ia kemudian menjadi koleksi pertama Smithsonian Institution, USA apabila dipindahkan ke sana pada tahun 1858. Khazanah Nusantara yang menjadi sebahagian dari "Smithsonian Deposit" ini juga telah melalui proses digitasi dan boleh dimuat turun dari laman sesawang Library of Congress, USA.

Smithsonian Institution c. 1860.


Kontroversi melanda Wilkes setibanya beliau di New York. Atas aduan anak kapalnya, Wilkes telah dibicarakan di Mahkamah Tentera atas insiden kematian 40 orang anak kapal, dan juga 2 buah kapal yang karam semasa ekspedisi tersebut. Walau bagaimanapun, Wilkes hanya didapati bersalah atas pertuduhan ringan iaitu mengenakan tindakan disiplin yang keterlaluan dan hanya diberi amaran atas kesalahan tersebut. Wilkes kemudian meneruskan kerja-kerja merekod dan menyimpan segala artifak yang diperoleh.

Kewujudan persuratan dan manuskrip Nusantara ini hanya dibawa ke perhatian umum pada tahun 1966 oleh Profesor A. Teeuw. Ia juga pernah diketengahkan oleh Dr. Harun Mat Piah pada tahun 1987. Manakala katalog terperinci diperoleh hasil kajian Puan Asma Ahmat dari Perpustakaan Negara Malaysia ketika menjalani latihan amali di Library of Congress dari tahun 1989 hingga 1990.



Selain penulisan tentang Ekspedisi Wilkes ini, tingkah laku obsesif dan sikap berdisiplin yang keterlaluan pada sosok Charles Wilkes diabadikan dalam karekter fiksyen Captain Ahab dalam novel Moby-Dick (1851) hasil karya Herman Melville. Ia juga dikisahkan dalam pelbagai filem termasuk In the Heart of The Sea (2015).


Sumber:

  1. A. Kohar Rony (1991). Malay Manuscripts and Early Printed Books at the Library of Congress. Indonesia. No. 52 (Oct., 1991), pp. 123-134.
  2. A. Teeuw (1967). Korte Mededelingen: Malay Manuscripts in the Library of Congress. Bijdragen tot de taal-, land-, en volkenkunde 123,4 (1967): 517-20.
  3. Asma Ahmat (1993). Katalog Manuskrip Melayu di Library of Congress, USA. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Melaysia.
  4. Harun Mat Piah (1987). Manuskrip-Manuskrip Melayu dalam Koleksi Library of Congress Amerika Syarikat. Sari 5 (1987).
  5. Narrative of the United States exploring expedition during the years 1838, 1839, 1840, 1841, 1842. Vol. 5, Philadelphia : Lea & Blanchard, 1845.
  6. US Ex Ex: An Expedition for the Ages. 31 July 2019. Biblioasia Jul-Sep 2019. Singapore National Library.




Wednesday, 31 August 2022

Malaya Merdeka 1957



Pada 8.2.1956, satu persidangan telah diadakan di London bagi memperoleh kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Malaya Merdeka berakhir dengan upacara menandatangani perjanjian yang dihasilkan.  Perjanjian tersebut digelar Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (yang juga dikenali sebagai Perjanjian London). 




Perjanjian ini ditandatangani di antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903-1990), Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Alan Lennox-Boyd (1904-1983), Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

Antara perkara penting yang dipersetujui di dalam perjanjian tersebut adalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31.8.1957, pengekalan institusi Raja Berperlembagaan, pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan, dan pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal Perlembagaan. Turut dipersetujui adalah bahawa Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingannya di Tanah Melayu, di mana satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.

Rombongan Merdeka ini selamat pulang ke tanah air pada 20.2.1956. Ini diikuti dengan satu perhimpunan besar-besaran di Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Ketika itu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.



Susulan daripada itu juga pada 21.3.1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan.

Pada 5.8.1957 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di antara Raja-Raja Melayu dengan pihak Kerajaan British. Upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tersebut telah diadakan di King’s House, Kuala Lumpur.





Perjanjian yang digelar 'Federation of Malaya Agreement 1957' ini ditandatangani di antara 8 Raja-Raja Melayu, Tunku Mahkota Johor, 5 pembesar dari Negeri Sembilan, dengan Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu iaitu Sir Donald MacGillivray. 

Perjanjian 1957 ini juga telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Berdasarkan Artikel 3 Perjanjian 1957 ini, tarikh penguatkuasaan terma-terma di dalamnya adalah pada 31.8.1957 di mana pada tarikh itu berakhirlah segala naungan dan bidangkuasa Inggeris ke atas 9 Negeri-Negeri Melayu di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Dengan termeterainya Perjanjian ini juga kuasa dan kedaulatan Kerajaan Inggeris ke atas Melaka dan Pulau Pinang turut berakhir.



Sumber: Arkib Negara Malaysia, National Film Development Corporation Malaysia (FINAS), British Movietone Pictures, & British Paramount News.



Wednesday, 6 July 2022

Misteri 'Tamil Bell' New Zealand

 

Gambar 1: Tamil Bell yang dijumpai di utara New Zealand.
Sumber: Museum of New Zealand Te Papa Tongarewa.

Pada tahun 1836, mubaligh bernama William Colenso telah menjumpai sebuah loceng yang di panggil ‘Tamil Bell’ yang ketika itu digunakan sebagai periuk merebus kentang oleh seorang wanita Maori di Whangarei, utara New Zealand. Dari segi dimensi, ianya adalah berukuran 13 cm x 9 cm, dan mempunyai ukiran yang dianggap suatu tulisan kuno.


Gambar 2: Gambar terawal 'Tamil Bell'
Sumber: Wikipedia.


Pada tahun 1870, seorang ahli etnografi bernama J. T. Thompson menghantar gambar loceng tersebut ke India. Dua bulan kemudian beliau mendapat jawapan dari Ceylon dan juga Pulau Pinang bahawa ianya adalah tulisan Tamil yang diterjemah sebagai "loceng kapal Mohoyiden Buks".  Mohoyiden / Mohideen /  'محيي الدین' (Muḥyī al-Dīn) adalah perkataan Arab yang membawa maksud 'yang menghidupkan agama'.



Gambar 3: Maklumbalas berkenaan Tamil Bell dari pihak India & Pulau Pinang.
Sumber: Wikipedia.


Terdapat pelbagai teori tentang asal usul loceng ini termasuk teori bahawa orang Tamil Muslim dari Ceylon telah tiba di New Zealand  500 tahun sebelum ia 'dijumpai' Captain Cook.  Ini adalah kerana tulisan yang tertera di atas loceng tersebut dikatakan era Pandya Akhir (abad ke-14). Ada yang mencadangkan kapal dhow Tamil Muslim adalah sebahagian dari armada Laksamana Cheng Ho di mana kapal yang membawanya telah hanyut dari Lautan Hindi dan tersadai di New Zealand (Gambar 4).  Ada yang menyatakan kemungkinan dibawa kapal Portugis kerana pelayarannya termasuk beberapa jajahan Portugis di India hingga ke pelabuhan Melaka dan kepulauan rempah di Nusantara.

Gambar 4: Hipotesis Brett Hilder (1975) bahawa Kapal yang membawa Tamil Bell telah hanyut sekitar Lautan Hindi dan kemudian mengikut arus dan terdampar di utara New Zealand.
Sumber: The Journal of the Polynesian Society.

Teori terkini adalah ianya diperbuat berdasar teknik acuan loceng admiralti Inggeris sekitar abad ke-18 (Gambar 5); dan merupakan bahagian atas (1/3) loceng kapal pedagang Arab-India (Marakkar/Maricar) sekitar Tamil Nadu dan Nagapattinam. Juga loceng-loceng yang sama bentuknya masih lagi dihasilkan di Tamil Nadu (Gambar 6).


Gambar 5: Loceng Kapal 'The London' yang diperbuat sekitar abad ke-18. Sumber: Worthpoint.com


Gambar 6: Pembuatan loceng yang masih dijalankan di Thanjavur, Tamil Nadu, India.
Sumber: Alamy.com


Sekiranya ini benar, maka satu lagi hipotesis yang boleh dikemukakan adalah ianya milik Cauder Mohideen (Kapitan Keling Pulau Pinang) (1759-1834) yang berdagang di pelabuhan-pelabuhan sekitar Semenanjung Koromandel hingga ke Semenanjung Tanah Melayu dari akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-19. Selain dari nama pemiliknya yang sama, hipotesis ini mungkin dapat menjelaskan mengapa terdapat maklumbalas spesifik dari Pulau Pinang se awal tahun 1870-an lagi (Gambar 3).  

Seterusnya, menurut akhbar 'Singapore Chronicle and Commercial Register', pada tahun tahun 1828 terdapat kapal milik Cauder Mohideen bernama 'Nasar' yang bertolak dari Singapura ke Palembang pada 13.11.1828. Dari rekod maritim yang berusia hampir 200 tahun ini, adalah didapati bahawa syarikat beliau menggunakan kapal yang berdaftar dibawah bendera Belanda. Jadi kemungkinan besar perkataan 'Buks' yang tertera secara transliterasi pada Tamil Bell tersebut adalah perkataan Belanda yang bermaksud senapang (rifle) iaitu deskripsi kepada kapal bersenjata. Justeru itu, nama Inggeris bagi kapal Cauder Mohideen yang mungkin hanyut dibawa arus ke New Zealand tersebut adalah 'Mohideen Rifle' atau 'Mohideen Gun Ship'.

Kerana kekurangan bukti, kesemua teori adalah merupakan andaian dan spekulasi semata-mata; di mana kehadiran loceng tersebut di utara New Zealand masih menjadi misteri yang belum dapat dirungkai sehingga kini.

Sumber: 

  1. Brett Hilder (1975). The Story of the Tamil Bell. The Journal of the Polynesian Society. Vol. 84, No. 4 (December 1975), pp. 477-483.
  2. Jake Leigh-Howarth (2022). The Age-Old Mystery of New Zealand’s Tamil Bell. Ancient Origins. 13.3.2022. Diekatrak dari https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/tamil-bell-0016522
  3. Tamil Bell. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Tamil_bell
  4. The many mysteries behind a Tamil Bell. Historic Alleys. 9.5.2021. Diekstrak dari https://historicalleys.blogspot.com/2021/05/the-many-mysteries-behind-tamil-bell.html
  5. Singapore Chronicle and Commercial Register, 20.11.1828. National Library of Singapore.




Saturday, 25 June 2022

Kemunculan Mat Kilau



Dalam arkib di London terdapat sebuah klip filem yang menjadi perhatian kerajaan Inggeris ketika ia diterbitkan sekitar awal 1970. Ini adalah kerana pada mereka pahlawan Pahang yang bernama Mat Kilau tersebut telah mati dibunuh. Menurut laporan akhbar, Mat Kilau telah melawan ketika diburu Inggeris. Akibatnya beliau cedera parah di bahagian muka dan di kepalanya. Mat Kilau dilaporkan telah meninggal dunia pada sekitar Oktober 1895 semasa di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah.

Akhbar 'Straits Budget' bertarikh 22.10.1895. Sumber: National Library of Singapore.


Klip filem bertarikh 2.1.1970 tersebut merakamkan seorang lelaki tua yang mengaku dirinya Mat Kilau. Sekiranya benar, maka Inggeris boleh membuka semula kes dan pertuduhan mereka terhadapnya. Ini adalah kerana kes jenayah tidak mempunyai tempoh luput dari segi hadmasa tindakan.  Walaupun kita sudah merdeka, pengaruh Inggeris melalui penjajahan dalaman (internal colonialism) masih berterusan selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, dan juga berterusan selepas penubuhan Malaysia sehingga sekitar Majlis Privi Inggeris (English Privy Council) dibubarkan pada tahun 1985. Sebagai negara Komanwel, proses ekstradiksi juga mudah dilakukan tanpa banyak halangan.



Dalam klip 1970 tersebut kelihatan lelaki tua yang bergelar Mat Siam tersebut dibawa anak dan cucunya untuk mandi embun. Turut dirakam di bahagian akhir klip tersebut adalah isterinya yang berumur 65 tahun bersama anak cucu Mat Siam.

Menurut sosok yang bergelar Mat Siam tersebut, dengan bantuan Sultan Kelantan iaitu Sultan Mansur (r.1890-1899) (disilap rujuk Mat Siam sebagai Sultan Muhammad Mulut Merah (1836–1886)), kematian beliau pada Oktober 1895 sebenarnya dipalsukan di mana beliau hidup sebagai pelarian di Siam selama 30 tahun. Sejurus kembali ke Pahang pada tahun 1926 beliau telah berikrar dihadapan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah (r. 1917-1932) bahawa untuk terus menetap di Pahang, beliau tidak akan mendedahkan identitinya.

Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah (r. 1917-1932). Sumber: Wikipedia.


Pada tahun 1948, penyamaran beliau diteruskan dengan menggunakan nama lain pada kad pengenalannya. Nama yang digunakan adalah Muhammad Bin Ibrahim (K/P No. 2044778) tanpa memberikan tarikh lahir kepada Jabatan Pendaftaran.

Setelah mendedahkan namanya yang sebenar di Masjid kampung kelahirannya iaitu di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, identiti beliau kemudian disahkan sendiri oleh anak sulungnya bernama Inche Omar (78 tahun) yang mengenalpasti beberapa tanda lahir ayahnya tersebut. Rakan sepejuangan seperti Mat Saman bin Sulaiman (Mat Kelantan), Raja Ibrahim bin Tan Kechik (Pak Yim) dan Mek Munah binti Salleh turut mengesahkan identiti beliau.

Atas perkenan Sultan Pahang ketika itu iaitu Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah (r.1932-1974), "Jawatankuasa Menyiasat Munchul-nya Mat Kilau" telah ditubuhkan pada 8.1.1970 untuk menyiasat dakwaan yang dibuat.

Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah (r.1932-1974). Sumber: The National Archives, UK.


Pada 6.8.1970 setelah 20 kali perjumpaan dalam tempoh 7 bulan, Tan Sri Hj. Yahya Mohd Seth, Menteri Besar Pahang, mengisytiharkan bahawa Muhammad Bin Ibrahim @ Mat Siam tersebut adalah Mat Kilau, iaitu anak kepada Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah) dan Mahda binti Tok Kaut Burau; iaitu pahlawan Melayu yang menentang campur tangan Inggeris di Pahang pada akhir abad ke-19.

Selepas pengakuan dibuat, Mat Kilau semakin lemah dan dilaporkan sukar untuk bertutur kata. Ada yang berpendapat bahawa ianya kesan dari pelanggaran sumpah yang dilafaz. Apa yang jelas kemunculannya seolah-olah dirancang supaya pihak Inggeris tidak dapat membuat apa-apa keputusan lanjut terhadap pengakuan yang dibuat. Ini adalah kerana  kesahihan pengakuan Mat Kilau dianggap tidak jelas disebabkan terdapat beberapa pengkaji sejarah yang musykil dengan kewujudan percanggahan perkara asas seperti tarikh kelahiran yang dituntut Mat Kilau (iaitu pada 1847 dan bukan 1866), identiti Sultan Kelantan yang membantunya, dan juga kenyataan bercanggah beberapa orang saksi. Mungkinkah ketidakpastian ini disengajakan Mat Kilau demi dijadikan pembelaan sekiranya terdapat permohonan ekstradiksi dari pihak Inggeris?

Bak kata pepatah 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Mat Kilau telah meninggal dunia pada 16.8.1970 dalam usia 104 tahun, iaitu setelah 10 hari dakwaannya disahkan benar oleh Menteri Besar Pahang. Jenazah Mat Kilau telah disemadikan di Pulau Tawar yang kini dikenali sebagai Makam Pahlawan Mat Kilau. Mungkin itu yang dihasratkan oleh Mat Kilau di penghujung hayatnya; iaitu bukti yang memadai demi menuntut kembali nama dan identitinya, tetapi ditabur sedikit kemusykilan supaya tidak lagi diburu oleh musuhnya.

Sumber:-

  1. Capture of the Pahang Rebels. Straits Budget, 22 October 1895, Page 14. Diekstrak dari https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitsbudget18951022-1.2.111
  2. J. de Silva (1962). British Relations With Pahang, 1884-1895. JMBRAS, Vol. 35, No. 1 (197) (1962), pp. 1-50.
  3. Mat Kilau. Wikipedia. Diekstrak dari: https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Mat_Kilau
  4. Reuters, London.





Thursday, 26 May 2022

Kuil Buddha Chetawan


Wat Chetawan, Petaling Jaya.
Sumber: Selangor.travel


Kuil Buddha Chetawan (Wat Chetawan) ialah sebuah kuil Thai di Daerah Petaling, Selangor. Ianya terletak di Jalan Pantai, off Jalan Gasing di Seksyen 10, Petaling Jaya. Ia mula dibina pada tahun 1957 melalui sokongan Kedutaan Thailand, dan juga usaha Phra Kru Palat Vieng yang berjaya memohon kawasan seluas 2 ekar dari Kerajaan Negeri Selangor.

Dari segi dana, ianya dibiayai hasil kutipan derma dari penganut agama Buddha tempatan dan luar negara. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu turut memberi sumbangan yang disampaikan melalui Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903-1990).

Memandangkan struktur yang dirancang adalah untuk mencerminkan seni bina kuil Thai, Jabatan Seni Halus Thailand di Bangkok telah ditugaskan untuk merangka pelan seni bina dan menyelia pembinaan kuil. Dengan gabungan tenaga kerja buruh binaan tempatan dan tukang mahir dari Thailand, kuil utama bersama-sama struktur kuil telah siap pada bulan Jun 1962. Ianya telah dirasmikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej (Rama IX) (1927-2016) dengan diiringi oleh Permaisuri Sirikit pada 26.6.1962.  Seperti yang dirakam pihak Reuters, semasa upacara khas tersebut, Raja Bhumibol telah menaikkan elemen bumbung hiasan kuil iaitu chofa




Raja Bhumibol juga telah memberikan perkenan untuk jata diRaja dipasang pada hadapan bangunan kuil tersebut. Secara peribadi Raja Bhumipol mendermakan arca Phra Buddha Thammeen sebagai berhala utama kuil tersebut. Ianya adalah penghormatan yang jarang berlaku dibandingkan dengan kuil-kuil tajaan Raja Bhumipol di luar Thailand.

Antara kerabat diRaja Thailand yang pernah melawat Wat Chetawan adalah kakanda Raja Bhumibol iaitu Puteri Galyani Vadhana, anakanda Raja Bhumibol iaitu Putera Mahkota Vajiralongkorn (kini Rama X), dan Puteri Sirindhorn. 

Pada Jun 2012, sempena ulangtahun ke-2600 agama Buddha, ulangtahun ke-50 Wat Chetawan, ulangtahun ke-85 Raja Bhumipol, dan ulangtahun ke-80 Permaisuri Sirikit, kuil ini juga merupakan satu-satunya kuil yang telah dipilih Raja Bhumibol sebagai penjaga sebahagian dari artifak peninggalan Buddha. Artifak yang dianggap suci tersebut ditemui pada tahun 1898 oleh William Claxton Peppé di sebuah runtuhan kuil Buddha di Kapilavatthu, Piprahwa, Uttar Pradesh di India berhampiran sempadan Nepal. 

Artifak Buddha dari kuil di Piprahwa.
Sumber: Nalanda Buddhist Society Malaysia.


Ketika dijumpai, artifak tersebut berada di dalam sebuah bekas batu pasir yang ditanam 20 kaki dibawah stupa kuil Buddha tersebut. Di dalamnya terdapat pelbagai objek termasuk emas, batu permata, cebisan tulang, dan 5 buah bekas simpanan yang dipercayai mengandungi abu Sidharta Gautama (563 SM - 483 SM) iaitu pengasas agama Buddha yang bermula di India sekitar abad ke-6 SM.

Stupa dan kesan runtuhan kuil Buddha di Piprahwa. 
Sumber: Wikipedia.


Tapak kuil di Piprahwa.
Sumber: Google Maps.


Terjemahan bahasa Inggeris inskripsi pada bahagian dalam bekas batu pasir tersebut adalah seperti berikut:-

“These Relics of the Lord Buddha have been presented by the Supreme Sakya Lord together with his grandchildren, son and wife.”
Kamar simpanan artifak Buddha di Wat Saket (Temple of the Golden Mount), Bangkok.


Artifak dari Piprahwa tersebut dipercayai sebagai salah satu dari lapan bahagian artifak Buddha yang dibahagi-bahagikan oleh Brahmin Dona kepada raja-raja di seluruh India setelah mayat Sidharta Gautama dibakar di Kusinara sekitar 483 SM. Ianya telah dipersembahkan oleh Lord Curzon (Viceroy India) kepada Raja Chulalongkorn (Rama V) dan ditempatkan di Wat Saket (Temple of the Golden Mount), Bangkok semenjak tahun 1899. 

Pembinaan Wat Chetawan dan juga pemberian sebahagaian dari objek yang dianggap suci oleh penganut agama Buddha ini membuktikan kepercayaan dan persahabatan yang erat antara kedua-dua buah negara, khususnya antara masyarakat Thai dan penganut agama Buddha di Malaysia.

Sumber: Reuters, London; & Wikipedia.






Sunday, 3 April 2022

Batu Bersurat Bukit Melaka


Lakaran yang menggambarkan Portugis Melaka sedang diserang Aceh dan Turki Uthmaniyah pada tahun 1568. Sumber: Biblioteca Nacional do Brasil. Menurut Tomé Pires, Bukit Melaka digelar Portugis sebagai 'Monte Dalimaria’ (Hill of Animal). 


Menurut catatan Kerajaan Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL), pada 11.11.1405 sebuah bukit di Melaka telah diberi gelaran 'Mount Zhen-guo' dan diiktiraf sebagai bukit pelindung negeri Melaka ("protector mountain of the country"). Marie-Sybille de Vienne (2015) berpendapat bahawa bukit yang ditabalkan ini adalah Bukit Cina.  Menurut Noor Aisyah Binti Mokhtar, Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, & Kamarul Afizi Bin Kosman (2013) pula, ianya adalah Bukit Melaka.  Bagaimanapun, kedua-duanya hanyalah terkaan semata-mata tanpa disokong oleh apa-apa bukti. Selagi batu bersurat ini tidak dijumpai, lokasi bukit yang ditabal sebagai pelindung negeri Melaka ini hanya akan menjadi suatu teka teki.  

Akan tetapi dari segi isi kandungan, jika dikaji catatan MSL itu sendiri kita boleh dapati apa yang sebenarnya tertera di atas batu bersurat tersebut. Direkodkan bahawa Maharaja Yong-le (Yung Lo) (1360-1424) telah secara peribadi menulis pesanan dan mengubah puisi untuk diukir ke atas batu bersurat tersebut. Ianya dikatakan sebahagian dari permintaan Melaka yang ketika itu dibawah pemerintahan Bai-li-mi-su-la iaitu Parameswara atau Raja Iskandar Shah (1344-1414). Ianya juga adalah sebahagian dari proses 'enfeoffment' iaitu upacara feudal bagi mengiktiraf perlindungan Kerajaan Ming terhadap Melaka. Menurut terjemahan Bahasa Inggeris MSL oleh Geoff Wade (1994), kandungan pesanan Maharaja Yung Lo yang tercatat pada batu bersurat tersebut adalah seperti berikut:-

“I hold that a ruler with the moral power of the Sage does great things for Heaven and Earth, counsels and assists, and aids in moulding all. Through him the Sun, Moon, stars and planets have their brightness and the seasons and years have their constancy. Heaven is Heaven through him and Earth is Earth through him. All things are in their place and at peace through him and all things are created and transformed by him. He moves all with one mind and arranges all things excellently. He is produced outside Heaven and Earth, is greater than Heaven and Earth and cannot be named. Previously, my Imperial father Tai-zu, Sage-like in his learning and might, initiator through Imperial perspicacity, perfect in his great moral power, ruler of Heaven and supreme in his filial respect, the Gao Emperor, occupied the position of the Sage and as the lord of the three powers [Heaven, Earth and man], he harmonized the Yin and the Yang, protected all of Creation, and pervaded the Universe, including all beyond Heaven and Earth. His knowledge encompassed all and he acted with divine understanding. Of all living things within Heaven and Earth, there is none on which his secretly-conferred benificence has not been bestowed, as they have been born and have grown. Yet they have remained unaware of this for 40 years. I have inherited the Great Undertaking, have respected and followed his glorious course, and have brought together the 10,000 states. In the ninth month of the third year of the Yong-le reign (Sep/Oct 1405), the envoy sent by you, king of the country of Melaka, came to Court and made known your sentiments. He said that your land is in harmony, the people are healthy, things are abundant, the customs are pure and splendid, that you cherish virtue and admire righteousness and wish to become like a division of China, so that you will be superior to the other border regions, and you would forever remain our subordinate state and annually carry out your tribute duties. Bowing your head and requesting our command, your perfect sincerity is to be commended. Truly, the plenitude of my Imperial father's righteousness and noble felicity have spread all the way to your land. They have extended even that far! The ancient Emperors enfeoffed mountains and fixed territories, allotted wealth and conferred protection, in order to show special favour to the 10,000 states. This was made known everywhere to indicate to all that there were no outsiders. As to the enfeoffment of the Western mountain of Melaka as the mountain protecting your state, and the poem conferred for inscription, it is to be engraved on pure white hard stone so that it will long serve as explanation to your endless line of descendants and to the people of your country, and like Heaven, will extend forever."

Manakala terjemahan Bahasa Inggeris bahagian puisi yang digubah oleh Maharaja Yung Lo adalah seperti berikut:-

"To the vast seas in the south-west, China reaches out, Pervading Heaven and encompassing Earth, as always for 100 million years, Washed by the Sun and bathed by the Moon, a gleaming scene revealed, With rain-washed cliffs and dewy rocks amidst the lush vegetation, The people wear golden ornaments and precious filigree, and brightest reds and greens, A country there whose people all follow refined customs, And their king, devoted to all that is good and right, wishes to turn to our Court, He wants his country to become like the divisions within China and to follow Chinese ways, In coming and going to be increasingly guided by ceremony, And in manners and ritual to be reverent and respectful, Your loyalty is to be inscribed on pure white stone, And your Western mountain is to be enfeoffed in perpetuity, The lords of the mountains and the earls of the seas will all form a retinue, My Imperial father will ascend and descend in his loftiness, And together with Heaven will, in future, watch over your ever-increasing prosperity, While your many descendants enjoy great fortune and respect."

Terjemahan Bahasa Melayu puisi Maharaja Yung Lo ini tercatat di dalam karya Kong Yuanzhi & HM Hembing Wijayakusuma (2000) yang merekodkan seperti berikut:-

"Dari samudera barat daya sampai ke Tiongkok alam menyambung, berjuta tahun sama-sama dirahmati langit dan bumi dengan berkat dan untung. Bersebati mesra disinari suria dan candra dengan cahaya nan lembayung, bertumbuh subur rumput pokok disirami hujan dan embun yang melindung. Bersemarak kesuma kencana memancarkan warna-warni kilau nan membubung, nun, di situlah berdiri sebuah negeri dengan rakyatnya yang menjunjung adat agung. Rajanya bijak dan adil tiada lalai berdatang kunjung, berikhtiar lebih daripada jirannya mematuhi adab unggun yang dijunjung. Keluar masuk diarak pengiring dengan berapit payung mayung, adat resam daripada nenek-moyang dengan khidmat sentiasa dipanggung. Syahdan bersuratlah pada batu mulia memuji bakti setia nan tak pernah urung, di bukit barat negerimu bertegak megah selama peredaran dunia berlangsung. Penjaga gunung dan laut bagaikan pengawal selalu taat mendukung, nenek-moyang berkenan turun bermukim di alam nan bercakerawala lengkung. Dinaungi nujum mulia negerimu kian hari kian makmur beruntung, dan anak cucumu sekaliannya bertuah bahagia tiada berhujung."

Menurut rekod Kerajaan Ming, batu bersurat yang sama tujuannya pernah dianugerahkan kepada Bo-ni (Brunei) pada 20.12.1408, dan juga Xi-lan / Gampola (Sri Lanka) pada 15.2.1409.  Apa yang menarik, sekitar tahun 1911 sebuah batu bersurat Kerajaan Ming dalam 3 bahasa ditemui di Galle, Sri Lanka. Ianya dijumpai seorang jurutera Inggeris bernama H.F. Tomalin; di mana batu bersurat tersebut ketika itu digunakan sebagai penutup sebuah saliran air di Galle.
 

'Galle Trilingual Inscription' iaitu batu bersurat Kerajaan Ming di Galle, Sri Lanka. Sumber: Colombo National Museum.


Menurut catatan pada batu bersurat Galle tersebut, ianya diukir di Nanjing dan bertarikh 15.2.1409. Ianya telah dibawa ke Sri Lanka oleh Laksamana Cheng Ho (Zheng He). Kemungkinan besar terdapat persamaan antara batu bersurat di Galle ini dengan batu bersurat yang dianugerahkan kepada Melaka. Ini adalah kerana perbezaan tarikh pembuatannya adalah tidak jauh. Persamaan mungkin wujud dari segi gaya penulisan, terjemahan pelbagai bahasa, hiasan ukiran, rekabentuk, dimensi, dan jenis batu.  Cara penghantarannya juga mungkin sama iaitu melalui salah satu ekspedisi Laksamana Cheng Ho. 


Galle Fort (Kubu Galle), Sri Lanka.
Sumber: Wikipedia.


Secara amnya, sejarah penjajahan Galle adalah sama dengan Melaka. Galle pernah dijajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Cuma Galle Fort tidak dimusnahkan Inggeris seperti apa yang terjadi kepada Fortaleza atau kota A Famosa di Melaka. Raja Sri Lanka pula dicatat telah memberi kerjasama dengan Portugis dan dengan itu proses pembinaan kubu Portugis di Galle tidak diganggu serangan penduduk tempatan. Ini berbeza dengan proses pembinaan kubu Portugis di Melaka yang di buat dalam keadaan tergesa-gesa sambil mengalami kekerapan serangan yang tinggi. Menurut catatan Tomé Pires dalam Suma Oriental (1512-1515) bahagian terawal kubu batu Portugis dibina di tapak Masjid Agung Melaka. Dari segi bahan binaan, Giovanni da Empoli pula mencatat bahawa batu batan diperoleh dengan merobohkan rumah, masjid dan bangunan lain disekitar kawasan tersebut. Menurut Gaspar Correia pula, 300 orang tempatan terlibat dalam mendapatkan batu yang banyak dengan memusnahkan "great mosque of masonry", beberapa masjid yang lebih kecil, dan juga perkuburan orang Islam. Dengan itu sumber batuan bagi kubu Portugis di Melaka diambil dari sumber bangunan sedia ada dan ianya mungkin menjelaskan persoalan tentang mengapa batu bersurat Kerajaan Ming tersebut tidak pernah dijumpai.

Berbalik kepada bukit-bukit di sekitar kota Melaka, Tomé Pires menyatakan bahawa ianya terdiri dari ‘Boqua China’ (Bukit Cina), ‘Monte da Alacras’ (hill of scorpion), dan ‘Monte Dalimaria’ (hill of animal) (Bukit Melaka / Bukit St. Paul). Catatan Tomé Pires juga mengesahkan penggunaan kata nama khas 'Bukit Melaka' yang dirujuk seperti berikut:-

"As these Celates and robbers (who sometimes fished for their food, with their huts and their wives and children on the land) lived near the hill which is now called Malacca, where there is the famous fortress of Malacca, while Paramicura lived in Muar - these Celates had knowledge of the land as men who hoped to live peacefully there. They fished in the river, which runs at the foot of the fortress, for the space of four or five years, and they ate, and sought to make a living at it." (Suma Oriental : 233)
 
"The son was called Chaquem Daraxa, and when he was hunting one day in the said place of Bretam with dogs, as was his custom every day and most times, he was following the dogs and greyhounds, which are very good in these parts, and the said dogs were chasing an animal like a hare with feet like a little buck and a short tail animals of which the dogs used to kill ten or twelve every day chasing it until it reached the sea by the hill of Malacca (where the fortress of the King our lord is now) so that when the said animal went into the hill it turned on the dogs and they began to run away." (Suma Oriental : 236)

"Paramicura did not want to annoy his son and went there, his chief mandarin- his son’s father-in-law going as his guide to show the way, because of the thick grove of trees that extends from the said Bretao to the hill of Malacca  as it does today although it is not more than two leagues, and when the king arrived he saw three hills almost together, at [a distance of] three or four good shots of a crossbow, to wit, the hill of Boqua China with lovely waters and very fresh, and the hill of the Alacras which is on the side of Tuam Colaxcar, the Javanese Moor, and the hill of the animal ( monte Dalimaria ) where this famous fortress now is. Paramicura said to his son: ‘ Xaquem Daxa where do you want to settle ?’ and the son said on this hill of Malacca. The father said it should be so. And at the said time he built his houses on top of the hill where the kings of Malacca have had their dwelling and residence until the present time." (Suma Oriental : 237)

"At this time Paramicura fell ill and died. The kingdom descended to his son Xaquem Darxa, and he ordered the people of Bretam to come, and only left people like farmers there, and he sent all the Celate mandarins to live on the slopes of the Malacca hill to act as his guards; and the said places belonged to the said mandarins and knights who guarded his person, until the present day when Malacca was taken, and he strove to populate the land. He acted justly, wherefore people came from other places to live and settle there." (Suma Oriental : 238)

Kedudukan kawasan Bukit Melaka sekitar tahun 1610 dilakar oleh Manuel Godinho de Erédia dalam Plantas de praças das conquistas de Portugal (1610). Ketika itu, ianya dikelilingi oleh dinding kota Melaka atau Fortaleza. Akan tetapi Erédia tidak menamakan bukit tersebut dalam lakaran 1610 tersebut. Menurut Tomé Pires, ianya dikenali dengan nama Monte Dalimaria’ (hill of animal).

Peta bertajuk Malaca dalam Plantas de praças das conquistas de Portugal yang dilakar oleh Manuel Godinho de Erédia pada tahun 1610.
Sumber: Biblioteca Nacional do Brasil.


Dalam Declaracam de Malaca (1613) pula Erédia mencatatkan bahawa semasa di awal pemerintahan Permicuri (Parameswara), baginda telah membina kubu di puncak Bukit Melaka bagi tujuan pertahanan. Erédia juga melakar peta lama Melaka sebagai ilustrasi di dalam penulisannya tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Kata nama khas yang dicatat Erédia sebagai deskripsi bukit yang menjadi kubu Parameswara tersebut adalah "Buquet Malaca" (Bukit Melaka).

Kedudukan Bukit Melaka dalam peta "Malaca Antig" (Melaka Lama) yang dilakar oleh Manuel Godinho de Erédia dalam Declaracam de Malaca (1613).


'Panorama Malacca From The Sea' oleh Sachtler & Co. yang dirakam sekitar tahun 1869. Ketika itu Bukit Melaka dikenali sebagai St. Paul's Hill (Bukit St. Paul).
Sumber: Leiden University Libraries, Amsterdam.


Berdasarkan sumber tempatan, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) ada menceritakan tentang kewujudan bukit yang sama. Petikannya adalah seperti berikut:-

"Maka Sultan Alau'd-Din dengan Hang Isap pun pergilah mengikut pencuri lima orang itu, maka segala pencuri itu pun lari ke atas bukit Melaka, maka diikuti baginda ke atas bukit, bertemu di negara bukit itu; maka Sultan Alau'd-Din pun bertempik, lalu diparang baginda seorang, kena pinggangnya putus seperti mentimun, penggal dua. Maka yang empat orang itu lari ke jambatan, diperturut oleh baginda; datang ke bawah bodi, maka keempatnya berbalik menghadapi Sultan Alau'd-Din. Maka dibunuh baginda pula seorang lagi, maka yang tiga orang itu lari. Setelah datang ke hujung jambatan, dibunuh oleh Hang Isap seorang; yang dua orang itu lagi terjun ke air, lalu berenang ke seberang. Setelah itu maka Sultan Alau'd-Din pun berjalanlah kembali mendapatkan Hang Ishak. Maka titah baginda pada Hang Ishak dan Hang Isap, "Bawa peti ini ke rumahmu;" maka sembah Hang Isap, "Baiklah tuanku." Maka Sultan Alau'd-Din pun kembalilah ke istana baginda.” (Sulalatus Salatin : 174)

Apa yang menarik Sejarah Melayu mencatat bahawa puncak Bukit Melaka dirujuk sebagai "negara bukit itu". Menurut definasi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2007) (Kamus Dewan), maksud kedua bagi perkataan "negara" adalah puncak bukit yang agak rata. Rujukan juga dibuat Kamus Dewan tentang petikan Sejarah Melayu di atas sebagai contoh penggunaan perkataan "negara" tersebut. Peristiwa mengejar pencuri sehingga ke "negara" Bukit Melaka ini jelas mengambarkan bahawa Istana Sultan Melaka di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah (r. 1477-1488) bukan lagi terletak di puncak Bukit Melaka seperti di zaman pemerintahan Parameswara. Kemungkinan besar Istana Sultan Melaka telah dipindahkan dari puncak ke lereng barat Bukit Melaka sekitar 1430an. Ini adalah kerana Ma Huan dalam karyanya bertajuk Ying Yai Sheng Lan ("Overall Survey of the Ocean's Shores") (1433) mencatatkan bahawa sekitar 1430an, Istana Sultan Melaka didirikan mengadap muara sungai Melaka, berhampiran dengan pelabuhan dan juga jambatan yang mempunyai lebih dari 20 ruang perniagaan di atasnya. Ma Huan mencatatkan seperti berikut:-

"There is one large river (the Malacca River) whose waters flow down past the front of the king's residence to enter the sea. Over the river the king has constructed a wooden bridge, on which were built more than twenty bridge pavilions, [and] all trading in every article takes place on this [bridge]"

Dari segi etimologi pula terdapat kemungkinan bahawa maksud kedua perkataaan "negara" ini berasal dari lokasi sebenar batu bersurat Kerajaan Ming iaitu di puncak Bukit Melaka. Ini adalah kerana batu bersurat tersebut dianggap sebagai bukti pengiktirafan bukit tersebut sebagai tiang seri negara. Cerita-cerita rakyat tentang peristiwa pembunuhan pencuri di lokasi "negara" Bukit Melaka oleh Sultan Alauddin Riayat Shah ini kemudian menjadi sebahagian dari catatan dalam Sejarah Melayu yang disunting semula sekitar tahun 1612.

Walaupun tiada bukti dikemukakan tentang nama asal bukit yang dimaksudkan dalam MSL, berdasarkan lojik, batu bersurat Kerajaan Ming tersebut perlu mudah dilihat oleh musuh yang menyerang dan menawan kota.  Ianya tidak mempunyai kesan sebagai tanda atau amaran sekiranya diletakkan di Bukit Cina atau di Gunung Ledang. Lebih-lebih lagi ketika itu tujuan Parameswara menjalin hubungan diplomatik dengan Kerajaan Ming adalah untuk mendapat perlindungan dari ancaman Siam. Sebagai batu bersurat yang dipohon khas untuk sebuah bukit yang dijadikan tiang seri negara, ia seharusnya bertempat di mana terletaknya istana persemayaman Raja-Raja Melaka. Seperti yang telah diketengahkan, istana dan pusat pentadbiran Melaka terletak di Bukit Melaka.  

Seterusnya, menurut MSL bukit yang dipilih Parameswara untuk ditabalkan sebagai pelindung Melaka adalah bukit yang paling barat di antara bukit-bukit di Melaka. Jika dikaji, keluasan jajahan Melaka pada tahun 1405 adalah sekitar kota Melaka, Alor Gajah dan Jasin sahaja. Lebih-lebih lagi pengetahuan Kerajaan Ming tentang mukabumi dan jajahan takluk Kesultanan Melayu Melaka adalah terhad kepada lawatan Yin Qing pada tahun 1403, dan lawatan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1404. Kesemuanya bersekitar di pelabuhan Melaka di mana kawasan bukit yang menjadi rujukan visual utusan dan pembesar Kerajaan Ming ini adalah bukit-bukit yang ada di sekitar kota Melaka.

Dengan itu, kemungkinan besar maksud "the Western mountain of Melaka as the mountain protecting your state" yang diisytihar Maharaja Yung Lo sebagai “Mount Zhen-guo” sekitar tahun 1405 adalah Bukit Melaka. Ini adalah kerana ianya adalah bukit yang berkedudukan paling barat jika dibanding dengan bukit-bukit lain sekitar kota pelabuhan Melaka. Seterusnya, ianya juga adalah terletaknya istana dan pusat pentadbiran bagi Kesultanan Melayu Melaka. Selain diiktiraf sebagai kata nama khas semenjak wujudnya Kesultanan Melayu Melaka, Bukit Melaka juga adalah dianggap sebagai tiang seri negara bagi sebuah kerajaan berdaulat yang berpusat di Melaka.


Rujukan:

  1. Cardon, R.E. (1947). The Old Church On The Malacca Hill". JMBRAS. Vol. 20, No. 1 (141) (June, 1947), pp. 188-234). 
  2. Groenevelt, W. P. (1876), Notes on the Malay Archipelago and Malacca compiled from Chinese Sources (Batavia: Bruining, 1876).
  3. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Edisi Keempat (2007).
  4. Kong Yuanzhi & HM Hembing Wijayakusuma (2000). Cheng Ho Muslim Tionghoa: Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara. Pustaka Populer Obor.
  5. Lui Manuel Loureiro (2008). Historical Notes on the Portuguese Fortress of Malacca (1511-1641).
  6. Marie-Sybille de Vienne (2015) Brunei: From the Age of Commerce to the 21st Century. NUS Press.
  7. Mills J.V. 1930. Eredia's Description of Malacca, Meridional India, and Cathay Translated from the Portuguese, with Notes. JMBRAS, Vol VIII, 1930.
  8. Noor Aisyah Binti Mokhtar, Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, & Kamarul Afizi Bin Kosman (2013). Kewujudan Kota Melayu Melaka. ATMA, UKM.
  9. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
  10. The Fortress of Malacca by Antonio Boccaro (1635), in Decadas 13 da Historia da India (1876).
  11. Wade, G. (1994). The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries.
  12. Yusrin Faidz Yusoff (2019). The Real Location of Malacca Palace Found? Historybuff. 10.2.2019. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/02/the-real-location-of-malacca-palace.html.
  13. Yusrin Faidz Yusoff (2020). Pelabuhan Kesultanan Melayu Melaka. Historybuff. 12.1.2020. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/01/pelabuhan-kesultanan-melayu-melaka.html

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...