Terdapat sebuah lukisan Belanda tahun 1733 yang menggambarkan runtuhan lama sebuah kuil Buddha yang terletak di Nagapattinam, Tamil Nadu, India (Gambar 1). Pengkaji Belanda menyatakan bahawa lukisan tersebut adalah imej kuil Chudamani Vihara yang kemudiannya telah dimusnahkan mubaligh Jesuits sekitar tahun 1867 (Gambar 2).
Gambar 2: Lakaran menara kuil Chudamani Vihara yang hanya tinggal 3 tingkat sekitar tahun 1846, 21 tahun sebelum ianya dirobohkan mubaligh Jesuits. |
Apa yang menarik, sekiranya diteliti bahagian kiri lukisan kuil tahun 1733 tersebut, terdapat sebilah keris yang digenggam tangan kiri patung tersebut (Gambar 3). Keris tersebut kononnya digunakan untuk memenggal kepala dua orang musuh. Siapakah identiti disebalik patung tersebut? Apakah kaitan kuil purba ini dengan keris? Mungkinkah ia dibina pedagang dari Nusantara?
Gambar 3: Kewujudan sebilah keris digenggaman tangan patung di kuil Chudamani Vihara. |
Saya berpendapat prasasti diRaja Rajendra Chola I atau dikenali sebagai 'Leiden Plates' yang kini disimpan di Belanda mungkin dapat memberikan jawapan terhadap persoalan tersebut. (Gambar 4 & 5).
Gambar 4: Prasasti diRaja Rajendra Chola I atau dikenali sebagai Leiden Plates. Sumber: Leiden University Library, Amsterdam. |
Gambar 5: Dua kepingan plat terakhir Prasasti diraja Rajendra Chola I (Leiden Plates). |
Prasasti ini diperbuat dari tembaga dan ianya tahan karat. Kepingan plat tembaga diikat dengan lingkaran gangsa yang mempunyai meterai diRaja (Royal Seal). Plat tembaga-nya terbahagi kepada dua bahagian, satu dalam bahasa Sanskrit, satu dalam bahasa Tamil. Bahagian Sanskrit (5 keping plat) menceritakan salasilah dinasti Chola, dimulai dengan pujian-pujian berunsur ketuhanan. Bahagian Tamil (16 keping plat) pula menceritakan pemerintahan Rajaraja Chola I (r. 985-1012), iaitu ayahanda kepada Rajendra Chola I (r. 1012-1044).
Secara khususnya, prasasti seberat 30 kilogram tersebut mencatatkan bahawa pada tahun 1006, Rajaraja Chola I telah memerintahkan supaya keseluruhan kutipan cukai 26 buah kampung bersempadan daerah Anaimangalam disumbangkan kepada seorang raja Melayu dari Srivijaya bernama Sri Maravijayottunggavarman (r. 1008-c.1025). Ianya diberikan khusus kepada raja Melayu dinasti Sailendra tersebut supaya dapat dibangunkan sebuah kuil Buddha (vihara) di Nagapattinam dan dinamakan sempana nama ayahandanya Sri Chulamanivarman (r. 988–1008). Tujuan utama ianya didirikan adalah sebagai tempat ibadat para pedagang Srivijaya yang umumnya beragama Buddha Mahayana & Vajrayana. Mereka terdiri dari pandai besi dan pedagang "Kadaraththu Irumbu" [Eng: Iron from Kadaram / BM: Besi Kadaram]. Selain dari besi Kadaram, pedagang Srivijaya yang ke Chola juga mengekspot "Kidaravan" [Eng: Teakwood from Kidaram / BM: Kayu jati dari Kidaram] yang digunakan kerajaan Chola untuk membina bangunan dan kapal. Prasasti tersebut juga menerangkan tentang pra-syarat pemilikan tanah kuil, sistem kebersihan kawasan dan perairan yang perlu dipatuhi, dan juga arahan supaya keluarga dan penganut agama Buddha di kawasan tersebut diterima dan dilindungi oleh penduduk tempatan yang beragama Hindu.
Walaubagaimanapun, hubungan baik Srivijaya dengan kerajaan Chola tidak kekal lama. Pada tahun 1025, Rajendra Chola I telah melancarkan perang ke atas Srivijaya dan menakluk hampir kesemua kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. (Gambar 6).
Gambar 6: Lukisan Siam yang menggambarkan serangan Chola terhadap Kadaram (Kedah Tua) pada tahun 1025. Sumber: Wikipedia. |
Serangan kerajaan Chola ini bagaimanapun tidak membawa kepada kelangsungan politik Chola ke atas wilayah-wilayah Nusantara yang diserang. Ini adalah kerana Srivijaya yang berpusat di Kadaram / Kidaram (Kedah Tua) ketika itu telah mempunyai pemerintah baru bernama Sri Deva. Baginda dilantik pada tahun 1028 bagi menggantikan Sri Sangrama Vijayatunggavarman (r. 1017-1025) yang ditawan semasa serangan terhadap Kedah Tua pada tahun 1025.
Selepas kejatuhan dinasti keluarga Sailendra, persahabatan kerajaan Chola dengan kerajaan Srivijaya di Kedah Tua kembali terjalin. Pada tahun 1091, Kedah Tua telah menghantar perutusan dan memulakan kembali aktiviti perdagangan dengan kerajaan Chola.
Dari kajian yang dijalankan sekitar Nagapattinam dan kawasan kuil Chudamani Vihara, sebanyak 350 buah patung Buddha yang diperbuat dari tembaga telah ditemui. Ianya adalah patung-patung tembaga yang dihasilkan sekitar abad ke-11 hingga ke-16. Sekitar pertengahan abad ke-19, salah sebuah patung Buddha yang dijumpai di kuil tersebut telah diberikan kepada Gabenor Madras iaitu Lord Napier sebagai hadiah. Menurut Ramachandran, TN (1954), terdapat lebih dari 80 patung Buddha tembaga dan gangsa dari sekitar kuil Chudamani Vihara yang kini disimpan di Muzium Chennai. Manakala satu lagi patung Buddha yang dijumpai kini berada dalam milikan koleksi John D. Rockefeller di Asia Society Museum, New York (Gambar 7).
Gambar 7: Patung Buddha berukuran 69.2cm yang dijumpai sekitar Nagapattinam (c.1090). Sumber: Koleksi John D. Rockefeller, Asia Society Museum, New York. |
Patung Buddha di New York tersebut dikatakan diperbuat pada tahun 1090-an. Tertera pada tapaknya bahawa ianya adalah hadiah daripada tukang-tukang besi dari gabungan 18 negeri. Saya petik terjemahan yang dibuat oleh Professor Vidya Dehejia terhadap catatan pada tapak patung tersebut:-
"Well-being [and] prosperity. The nayakar (Buddha), of all of the eighteen countries, of the metalworkers. The procession image, for the sacred festival of the alvar temple, which was caused to be taken in procession by the respected one (utaiyar) endowed of the four gunas from Cirutavur; [in] the perum-palli (great place of worship or great Vihara) of the metalworkers, [in] the perum-palli of Rajendra Chola."
Pada tahun 1936, sebuah patung Bodhisattva Avalokitesvara gangsa yang dianggar dibuat sekitar kurun ke-8 hingga ke-9 dijumpai di Bidor, Perak. Ianya kini disimpan di Muzium Negara (Gambar 8). Sekitar 2011 terdapat catatan beberapa artifak gangsa iaitu pancalogam tembaga dijumpai di Lembah Bujang, Kedah (Mokhtar et. al, 2011). Ini menunjukkan kehadiran logam tembaga dan kemahiran pandai besi mencampurkan timah untuk menghasilkan gangsa.
Gambar 8: Patung Bodhisattva Avalokitesvara gangsa yang dijumpai di Bidor, Perak pada tahun 1936. Sumber: Muzium Negara Malaysia. |
"The finest example of bronzes, however, were made during the Chola period in the South India, between the 9th and 13th century AD. The majority of South Indian metal images are made of copper with a small admixture of alloy and are therefore not "bronze". According to the Silpa Sastrás and tradition they should be made of pancháloha, an alloy of 5 metals (copper, silver, gold, tin and lead)."
Menurut Ramachandran lagi, cara membuat acuan dan melebur logam era kegemilangan Chola tersebut juga adalah berlainan iaitu mengikut cara yang dibuat oleh tukang besi dari Cina dan Yunani di mana cara yang digelar proses "lost wax" digunakan. Cara "lost wax" tersebut dihuraikan seperti berikut:-
"The subject was first modelled, in wax, then coated with clay. Next the wax was melted out leaving the mould behind into which liquid metal was poured to cast a solid image. But if a hollow image was intended, the subject would be first modelled in clay an then the core was coated with wax, and the wax in turn covered with a negative clay. This was used for casting after the wax was drained out by heating. With the former single method have been produced the masterpieces of South Indian bronzes".
Setelah merujuk silang rekod India, Belanda dan Amerika Syarikat, saya berpendapat kemungkinan besar 350 patung tembaga yang ditemui sekitar Nagapattinam dan kuil Chudamani Vihara tersebut adalah diperbuat dari logam-logam campuran dari Kedah Tua. Berdasarkan lokasi penemuan dan catatan yang ada, saya percaya patung Buddha tembaga yang kini berada di New York adalah hadiah dari perutusan yang mewakili 18 negeri dalam kedatuan Srivijaya pada tahun 1091.
Arahan yang dikeluarkan Rajaraja Chola I berkenaan kebenaran menduduki dan membina kuil kepada raja Melayu dan pengikutnya membuktikan bahawa kepakaran mereka adalah diperlukan dalam proses penghasilan barangan atau produk akhir. Berdasarkan fungsi kuil, penempatan sekitar, penghormatan yang diberikan, dan juga pertalian perdagangan yang wujud, kemungkinan besar hasil logam dari Kedah Tua telah didagangkan di bandar pelabuhan Nagapattinam di India Selatan secara besar-besaran. Selain dari mengekstrak dan melebur logam, dengan kemahiran navigasi dan infrastruktur pelayaran yang ada, Kedah Tua juga sememangnya berpotensi menghantar pandai besi mereka ke negeri pelanggan. Aktiviti pedagang dan pandai besi Melayu di Chola khususnya mungkin termasuk pembinaan acuan (mold making) dan kerja-kerja mencairkan logam dari jongkong-jongkong yang dibawa bagi membentuk produk akhir menurut spesifikasi yang diperlukan.
Berbalik kepada misteri keris dan identiti disebalik patung dalam lukisan Belanda tersebut, tiada maklumat yang dapat saya ketengahkan kecuali andaian semata-mata. Memandangkan ianya dibina diperkarangan kuil yang didirikan raja Melayu dinasti Sailendra atas naungan Rajaraja Chola I, maka kemungkinan besar ia dibina bagi menghormati dan mengagungkan penaungnya. Keris pula mungkin melambangkan peranan raja Melayu dan pengikutnya dalam menyediakan bekalan besi dan logam lain bagi infrastruktur dan kelengkapan senjata dan perisai tentera Rajaraja Chola I. Manakala kepala-kepala yang dipijak dan dipegang patung tersebut melambangkan musuh-musuh yang berjaya ditewaskan dan tumbang ditangan Rajaraja Chola I.
Rujukan:
- Asia Society Museum, New York.
- Chola Invasion of Srivijaya. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Chola_invasion_of_Srivijaya
- Chudamani Vihara. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Chudamani_Vihara
- Leiden University Library, Amsterdam.
- Maravijayottunggavarman. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Maravijayottunggavarman
- Mokthar, N.A.M., Mokhtar, S., Abdullah, J., The Ancient Iron Smelting In Sg. Batu, Bujang Valley, Kedah. January 2011, Conference: Postgraduate Student Forum: Current Asian Anthropology.
- Muzium Negara Malaysia.
- Nagapattinam – The last citadel of Buddhism in South India. 28 Mei 2019. Way of Bodhi. Diekstrak dari https://www.wayofbodhi.org/buddhism-in-nagapattinam-tamil-nadu/
- Rahsia Sungai Batu Yang Belum Terungkai, 15 Julai 2016, The Star, diekstrak dari https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2016/07/15/rahsia-sungai-batu
- Raksasa Laut Nusantara. 17 April 2020. History Buff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/04/raksasa-laut-nusantara.html
- Ramachandran, TN. 1954. The Nagapattinam and other Buddhist Bronzes in the Chennai Museum.
- Rijksmuseum, Amsterdam.
- Sri Sangrama Vijayatunggavarman, Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sri_Sangrama_Vijayatunggavarman
- Sri Chulamanivarman. Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sri_Chulamanivarman
- Sri Deva, Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sri_Deva
- Treloar F.E. & Fabris G.J. (1975). Evidence for the Contemporary Existence of Two Kedah Sites. JAMBRAS Vol. 48, No. 1 (227) (1975), pp. 74-77.
No comments:
Post a Comment