Popular Posts

Wednesday 9 December 2020

Istana Mahkota Puri

Gambar 1: Istana Mahkota Puri, c. 1910 rakaman Charles Kleingrothe (1864-1925)
Sumber: Leiden University Library, Amsterdam 

Antara gambar terawal Istana Mahkota Puri adalah gambar yang dirakam oleh Charles Kleingrothe (1864-1925) pada tahun 1910 iaitu 11 tahun selepas ianya siap dibina.  Pada asasnya istana yang terletak di Klang ini dibina oleh Kerajaan British pada tahun 1899 (Gambar 1 & 2). Ia dijadikan khusus sebagai istana rasmi dan tempat persemayaman Sultan Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (1863-1938) iaitu Sultan Selangor yang ke-5.  

Rekabentuk istana ini adalah sama dengan senibina dan rekaan yang ada pada Bangunan Sultan Abdul Samad yang dihasilkan oleh AB Hubback. Walaupun tiada rekod, kemungkinan besar AB Hubback juga terlibat dalam rekaan Istana Mahkota Puri ini.  Tujuan pembinaannya adalah untuk memudahkan urusan pentadbiran DYMM Sultan Selangor dan supaya ianya berdekatan dengan pusat pentadbiran Kerajaan British di Kuala Lumpur. Istana Selangor sebelumnya adalah di Istana Bandar Temasha, Jugra, Kuala Langat. Setelah kemangkatan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, ianya menjadi tempat persemayaman Sultan Selangor ke-7 iaitu Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni al-Marhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah (1898-1960). 

Antara gambar terawal Istana Mahkota Puri adalah gambar ini yang dirakam oleh Charles Kleingrothe (1864-1925) pada tahun...

Posted by History Buff on Friday, December 4, 2020
Gambar 2: Kesan panoramik gambar yang dirakam oleh Charles Kleingrothe.

Gambar udara Istana Mahkota Puri terawal pula dirakam oleh G.E Livlock pada tahun 1924.  Rakaman dibuat dengan menggunakan kamera peninjau yang dipasang pada pesawat udara jenis "floatplane" model Fairey IIID yang dibawa ke Singapura dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu oleh kapal HMS Pegasus. (Gambar 3).

Gambar 3: Sekitar ruang udara Klang pada tahun 1924.
Sumber: Imperial War Museums, London.


Klip filem terawal yang menggambarkan Istana Mahkota Puri juga ada di simpan pihak Imperial War Museums.  Ianya diambil sekitar kawasan padang di hadapan istana tersebut. Klip filem bertarikh 13.5.1946 tersebut dirakam semasa sambutan Hari Keputeraan Sultan Hisamuddin Alam Shah yang ke-48. Baginda dilihat tiba bersama pengiring dan disambut pegawai tentera. Baginda kemudian berkenan mencemar duli memeriksa Perbarisan Istiadat Kawalan Kehormat. Barisan tentera semasa istiadat tersebut terdiri dari Regimen Askar Melayu Diraja, Regimen Artileri, dan Regimen Punjab. 



Rakaman Sekitar Istana Mahkota Puri pada tahun 1946
Sumber: Imperial War Museums, London.


Gambar 4: Istana Alam Shah
Sumber: Asiatravelgate.com

Pada tahun 1958, Istana Mahkota Puri telah dirobohkan dan digantikan dengan Istana Alam Shah (Gambar 4) yang kini menjadi tempat persemayaman Sultan Selangor ke-9 iaitu DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abduk Aziz Shah Alhaj . Fungsi Istana Alam Shah juga adalah sama iaitu sebagai istana rasmi dan tempat baginda menjalankan tugas-tugas baginda sebagai Sultan. Adat istiadat yang melibatkan pihak istana dan urusan di Raja Selangor juga diadakan di istana ini.

Sumber: 

1. Leiden University Library, Amsterdam.

2. Imperial War Museums, London.

Advertisement


Advertisement


Advertisement


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...