Popular Posts

Saturday, 11 July 2020

Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Ke-10


Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Ke-10 iaitu Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abu Bakar (1861-1917) (Gambar 1) adalah seorang pembesar negeri Perak di zaman pemerintahan Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar (1849-1916) (Sultan Idris I, Sultan Perak ke-28). Ayahanda beliau, Wan Abu Bakar, berasal dari Kampung Laut, Kelantan. Ibunda beliau, Busu Atikah, adalah anak kepada Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Ke-8 iaitu Meor Abdullah Alang Juah.



Gambar 1. OKK Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abu Bakar ketika berusia 36 tahun. (c. 1897) (Sumber: Leiden University Library, Amsterdam)


Beliau menyertai perkhidmatan awam Negeri Perak pada tahun 1881 ketika berusia 20 tahun sebagai penterjemah dan penulis Bahasa Melayu-Inggeris. Pada tahun 1892 beliau dilantik sebagai Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Ke-10.

Wan Muhammad Saleh kemudian bertugas sebagai Ketua Penghulu bagi daerah Hulu Kuala Kangsar.  Sekitar 1902 beliau dilantik sebagai Pembantu Pemungut Hasil Tanah. Beliau kemudian dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Atas khidmat cemerlang yang diberikan, beliau juga adalah orang Melayu yang pertama menerima anugerah Imperial Service Order (I.S.O.). 

Kediaman Wan Muhammad Saleh di Ipoh pernah direkod sebagai salah sebuah dari rumah-rumah agam golongan elit dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam kompilasi buku yang diterbitkan di London (Gambar 2-4). Ianya mempamirkan bahagian hadapan dan ruang tamu rumah kediaman beliau di Ipoh sekitar tahun 1903 hingga 1908.


Gambar 2: Kediaman OKK Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abu Bakar di Ipoh c. 1903-1908.

Gambar 3: Kediaman OKK Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abu Bakar di Ipoh c. 1903-1908.

Gambar 4: Kediaman OKK Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abu Bakar di Ipoh c. 1903-1908.

Antara tugasan rasmi Wan Muhammad Saleh yang pernah direkodkan adalah menghadiri Durbar 1897 di Kuala Kangsar (Gambar 5, 6 & 7); sebagai pengiring Sultan Idris I semasa di Singapura (Gambar 8 & 9); sebagai pengiring Sultan Idris I semasa pertabalan King Edward VII pada tahun 1902 di London; sebagai ahli Majlis Kerajaan Negeri Perak (Gambar 10 & 11); sebagai wakil dalam upacara penyerahan Hulu Perak oleh Siam kepada Perak pada tahun 1909; dan sebagai pengiring Sultan Idris I semasa pertabalan King George V pada tahun 1911 di London. 


Gambar 5: Durbar 1897. Wan Muhammad Saleh di barisan belakang, kedua dari kanan (Sumber: Leiden University Library, Amsterdam)

Gambar 6


Gambar 7: Minit Mesyuarat Durbar 1897 (Sumber: Arkib Negara)

Gambar 8: Sultan Idris I, Wan Muhammad Saleh, Hugh Charles Clifford, & Hugh Low, di Government House, Singapura (1901).

Gambar 9: Di Government House, Singapura (1901).


Gambar 10: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (c. 1907)

Gambar 11: OKK Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abu Bakar ketika berusia 46 tahun (c. 1907)


Wan Muhammad Saleh telah meninggal dunia pada 14.3.1917 ketika berusia 56 tahun. Ketika itu beliau sedang mengiring Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak ke-29) semasa menziarahi makam Sultan Tajul Ariffin (Sultan Perak ke-4) di Pulau Semat, Mukim Senggang, Kuala Kangsar pada 14.3.1917. Jenazah beliau dibawa pulang dan dikebumikan di pekarangan Masjid Kampung Paloh. Masjid tertua di Ipoh tersebut dibina atas usaha dan pembiayaan oleh Wan Muhammad Saleh dan Long Kassim sekitar tahun 1912.

Rujukan:

1. "Twentieth Century Impressions of British Malaya: Its History, People, Commerce, Industries, and Resources" Arnold Wright, H. A. Cartwright, Lloyd's Greater Britain Publishing Co. Ltd., 1908.

2. Leiden University Library, Amsterdam.

3. https://www.orangperak.com/wan-muhammad-saleh-orang-melayu-pertama-dilantik-sebagai-ketua-penghulu-di-perak.html

4. http://kuluplembang-abdulaziz.blogspot.com/2016/09/wan-abubakar-father-sri-adika-raja-wan-mohamed-salleh.html


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...