Popular Posts

Tuesday, 19 November 2019

Khazanah Kapal 'Nanhai I'

Gambar 1 - Nanhai I

"Nanhai I" adalah nama yang diberikan kepada sebuah kapal dagang Cina yang dianggarkan dibina sekitar tahun 1127 hingga 1279 iaitu di penghujung era Dinasti Song (960-1279) (Gambar 1). Kerana tiada rekod, nama asal kapal ini tidak diketahui. 

Ianya berukuran 30 meter panjang dan membawa muatan kargo seberat 100 tan yang terdiri dari porselin, sutera, teh, jongkong perak, periuk belanga besi dan tembaga, peralatan dan paku besi, dan pelbagai barang lain termasuk perhiasan emas. Sebahagian barangan itu dibungkus dan dilabelkan dengan nama kedai yang menjualnya termasuk tempat asal ia diperbuat (Gambar 2).

Gambar 2 - Porselin dari Nanhai I

Nanhai I telah karam di kawasan barat muara sungai Zhu Jiang (Pearl River) di Guangdong iaitu pelabuhan permulaan perjalanan 'Laluan Sutera Maratim'.  Ianya karam sebelum sempat mengharungi Lautan Cina Selatan ke destinasinya iaitu kepulauan Nusantara dan Selat Melaka. Dikatakan jadual destinasi Nanhai I juga termasuk India dan Arab.

Nanhai I ditemui pada tahun 1987 oleh krew penyelam dari Maritime Exploration & Recoveries PLC (MER PLC) semasa sedang mencari kapal bernama Rhynsburg yang tenggelam sekitar Guangdong pada kurun ke-18. MER PLC ketika itu bekerjasama dengan China Salvage Company.

Pada tahun 2007, tapak dan rangka Nanhai I di bawa keluar dari dasar laut dan diletakkan di dalam tempat khas iaitu sebuah akuarium air masin gergasi yang dinamakan "Crystal Palace".  (Gambar 3 & 4).

Gambar 3 - Proses mengekstrak tapak kapal karam

Gambar 4 - Tapak Kapal Karam Nanhai I dilindungi air masin dalam 'Crystal Palace'

Akuarium berisipadu 59,000 m3 ini merupakan sebahagian dari 'Maritime Silk Route Museum' yang dibina khas untuk melindungi, mempamir dan mengkaji kapal tersebut. Operasi pemuliharaan dijalankan Kerajaan Cina tersebut membabitkan kos sekitar AS$20 juta (RM82.6 juta).

Pada tahun 2014, pasir dan selut mula diasingkan dan khazanah Nanhai I yang tenggelam selama 800 tahun mula dikeluarkan secara sistematik. Lihat Video:



Dari kajian yang dibuat,  adalah didapati bahawa barang perhiasan emas dalam kapal tersebut adalah merupakan rekaan negeri-negeri Nusantara dan Timur Tengah.  (Gambar 5, 6, 7 & 8).

Gambar 5

Gambar 6

Gambar 7

Gambar 8

Pengkaji dari Cina membuat kesimpulan bahawa perhiasan emas tersebut diperbuat oleh tukang-tukang emas Cina atas tempahan khas pedagang-pedagang Arab dan juga Nusantara iaitu di era kerajaan Melayu Srivijaya, Dharmasraya, dan Jambi.

Pedagang-pedagang Nusantara dari negeri-negeri Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu disebut dalam sejarah Cina sebagai Ma-La-Yu dan variasi perkataan berikut:-
  1. Bok-la-yu & Mok-la-yu (Bahasa Cina: 木剌由),
  2. Ma-li-yu-er (Bahasa Cina: 麻里予兒),
  3. Oo-lai-yu (Bahasa Cina: 巫来由),
  4. Wu-lai-yu (Bahasa Cina: 無来由).

Seterusnya, berdasarkan 17,000 syiling tembaga (copper coins) yang dijumpai, adalah disimpulkan kapal tersebut juga membawa penumpang yang terdiri dari rombongan ufti yang sedang dalam perjalanan pulang ke negeri masing-masing iaitu di kepulauan Nusantara, India dan Arab. Syiling tembaga selalu dicatatkan sebagai hadiah kepada pembawa ufti yang diberikan oleh Maharaja Cina.

Ketika itu, Guangdong adalah merupakan pelabuhan yang terbesar di dunia dan menjadi pintu selatan bagi Laluan Sutera Maratim untuk negara-negara ufti yang tiba dari kepulauan Nusantara, India dan Arab sebelum meneruskan perjalanan darat ke balairung Maharaja Cina era Dinasti Song yang ketika itu berada di kota Lin'an, Hangzhou.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Nanhai_One

2. https://news.cgtn.com/news/3d3d774d3149444f34457a6333566d54/index.html



No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...