Popular Posts

Saturday, 26 October 2019

Peta Rahsia Kepulauan Melayu

Pada tahun 1580-an perisik Belanda bernama Jan Huyghen van Linschoten (1563-1611) yang bekerja sebagai Viceroy Portugis di Goa telah bekerjasama dengan perisik bernama Cornelis de Houtman (1565-1599) untuk menyalin maklumat navigasi, peta, carta portolan dan lokasi pelabuhan perdagangan rempah Portugis di Nusantara dan Kepulauan Melayu.

Berdasarkan hasil risikan ini, ekspedisi Belanda pimpinan Cornelis de Houtman telah belayar ke Nusantara dari arah Barat pada tahun 1595. Mereka melalui Lautan Atlantik dan pulang melalui arah Lautan Hindi pada tahun 1597. Belanda kemudian beransur-ansur memecahkan monopoli Portugis di kepulauan rempah. Kunci kejayaan awal Belanda adalah penggunaan Selat Sunda sebagai alternatif kepada Selat Melaka. Syarikat Belanda Hindia Timur (VOC) yang telah ditubuhkan pada tahun 1602 pula menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih agresif pada pelayaran-pelayaran berikutnya.

Peta yang dihasilkan dari risikan Belanda ini digelar "The Secret Map" (Peta Rahsia) atau nama rasminya "Nova tabula Insularum Iavæ, Sumatræ, Borneonis et aliarum Malaccam, suque, delineata in insula Iava, ubi ad vivum disignantur vada et brevia scopulique interjacentes descripta a G.M.A.L". (Gambar 1). Ia amat penting bagi pelayaran kerana berbanding dengan peta sebelumnya, ia mengandungi bentuk mukabumi, kedudukan pelabuhan dan halangan pelayaran seperti batu karang dan beting pasir.

Gambar 1

Peta rahsia ini dilukis sekitar 1595 oleh Willem Lodewijcksz yang merupakan pegawai kanan kepada ekspedisi pertama Belanda dibawah Cornelis de Houtman. Dipercayai peta dan carta navigasi Portugis yang diciplak adalah dari peta-peta rekaan Lopo Homem (1554) dan anaknya Diego Homem (1558) (Gambar 2).

Gambar 2

Peta rahsia Willem Lodewijcksz ini kemudian telah diadaptasi oleh beberapa orang pelukis peta termasuk Petrus Plancius pada tahun 1596 dan Theodor de Bry pada tahun 1598. Ini adalah sebab utama mengapa kebanyakan peta awal orang Eropah tentang mukabumi Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Nusantara kelihatan sama. Juga dipercayai jalan pintas iaitu penggunaan Selat Sunda sebagai alternatif Selat Melaka; dan juga jalan penarikan dari Sungai Muar ke Pahang sebagai alternatif kepada perairan Singapura juga dipelajari dari hasil risikan peta dan catatan navigasi orang-orang Portugis.

Jika dikaji, Portugis sebenarnya memperoleh pengetahuan tentang peta dan carta navigasi ini dari pelayar-pelayar Melayu (Malay pilots) sekitar tahun 1509 hingga 1512. Setibanya Portugis di kepulauan Nusantara mereka telah mendapatkan bantuan dari pelayar-pelayar Melayu untuk membantu dan memudahkan perjalanan laut mereka ke serata Nusantara dan kemudian ke Cina. Dengan maklumat dan kepakaran tempatan yang diperoleh, Portugis berjaya menaiktaraf carta nautikal mereka.

Perkara ini juga boleh dibuktikan secara perbandingan kualiti peta. Jika kita teliti peta awal Portugis semasa mereka mula menjelajah, mereka hanya berbekalkan peta kuno yang dikenali sebagai Cantino Planisphere (1492-1502) (Gambar 3), peta Fra Mauro (1450-1459) (Gambar 4) dan peta yang dihasilkan atas arahan Maximus Planudes (1295) berdasarkan koordinat catatan Ptolemy (Gambar 5). Peta navigasi yang lebih terperinci hanya dihasilkan selepas Portugis tiba di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Nusantara.

Gambar 3

Gambar 4


Gambar 5

Seterusnya berdasarkan kajian peta juga, boleh disimpulkan bahawa minat dan fokus Portugis terhadap Melaka adalah juga berpunca dari peta Fra Mauro (1450-1459). Ini adalah kerana peta Fra Mauro (Gambar 4) adalah peta Eropah pertama yang menandakan kawasan jajahan Kesultanan Melayu Melaka yang ketika itu dicatat sebagai "Melacha".


Rujukan:

1. Hannard, Willard A. (1991). Indonesian Banda: Colonialism and its Aftermath in the Nutmeg Islands.

2. Milton, Giles (1999). Nathaniel's Nutmeg. London: Sceptre

3. 'Comentários de Afonso de Albuquerque' versi terjemahan Walter de Gray Birch (1875)

4. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Portuguese_presence_in_Asia#

5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/First_Dutch_Expedition_to_Nusantara


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...