Popular Posts

Sunday 20 October 2019

Laksamana Melaka di Istana Ming


Gambar Hiasan: At the court of Emperor Chenghua, 9th ruler of the Ming Dynasty (r. 1464-1487).

Sememangnya wujud bukti primer tentang jawatan Laksamana Melaka dalam rekod-rekod di Ryukyu (Okinawa) dan di Portugal. Jika diteliti dalam Sejarah Ming (Ming Shi-lu) pula, terdapat dua orang Laksamana Melaka yang pernah direkodkan tiba mengadap di Istana Ming di zaman pemerintahan Maharaja Cheng-hua (1464-1487).

Berdasarkan teks Ming Shi-Lu (MSL) yang diterjemah oleh Geoffrey Wade (1994), saya hujahkan Laksamana Melaka pertama yang direkodkan bergelar "Duan-ya-ma-la-di-na-da" bernama "Wei-zhe-ran-na" (MSL, 25.4.1469 & 6.6.1469).

Secara am, dalam teks terjemahan yang kini boleh diakses di laman web NUS Press, Geoffrey Wade menyatakan 'Duan' = 'Tuan', dan 'Di-Na-Da' = 'Di Raja'. Walaupun tidak dinyatakan ketika itu apa yang dimaksudkan dengan "Ya-Ma-La", saya hujahkan bahawa "Duan-ya-ma-la-di-na-da" tersebut adalah "Tuan Laksamana DiRaja".

Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' tersebut mengetuai delegasi Melaka yang tiba di Istana Ming pada tahun 1469. Ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459-1477). Malangnya kapal yang membawa delegasi Laksamana Melaka ini telah dilanda ribut dalam perjalanan pulang di mana kapal tersebut telah hanyut ke perairan Annam (Vietnam). Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' dan 11 orang pembesar Melaka telah dibunuh oleh orang-orang Annam. Manakala yang lainnya dijadikan hamba abdi. Tahanan yang muda pula telah dikembiri.

"Annals of the Ming family"
(Mingshi Shi-lu)
Sumber: Wikipedia.


Laksamana Melaka kedua yang direkodkan MSL telah tiba di Istana Ming pada tahun 1481 iaitu di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) (MSL, 27.8.1481 & 23.9.1481). Beliau hanya digelar dengan jawatannya iaitu "Duan-ya-ma-la-di-na-zha" ( 端亞媽剌的那查 ) (Hujah saya: Tuan Laksamana DiRaja). Antara ufti yang dibawa adalah beberapa ekor gajah. Memandangkan delegasi Annam juga ada di Istana Ming ketika itu, Laksamana Melaka tersebut telah mengambil peluang untuk mengadu kepada Cina tentang kekejaman orang-orang Annam terhadap delegasi Melaka terdahulu. Laksamana tersebut juga menyatakan Melaka tidak menyerang Annam kerana seperti Melaka, Annam juga adalah negeri dibawah lindungan Cina. Menteri Perang Chen Yue telah memberi amaran kepada Annam dengan penegasan agar negeri-negeri ufti tidak sepatutnya bertelingkah. Walaupun tiada hukuman diputuskan, Cina telah membenarkan Melaka untuk menyediakan bala tentera dan membalas serangan sekiranya Annam bertindak agresif sekali lagi.  Saya terjemah ucapan Tuan Laksamana DiRaja pada lawatan ufti 1481 tersebut (MSL, 23.9.1481):-

"Pada tahun kelima pemerintahan baginda Maharaja Cheng-hua (1469/70), ketika utusan negara kami, [Tuan Laksamana DiRaja] 'Wei-zhe-ran-na' sedang dalam pelayaran pulang setelah memberikan penghormatan kepada baginda Maharaja, bahtera Laksamana Melaka dilanda ribut dan terdampar di perairan Annam.  [Tuan Laksamana DiRaja] 'Wei-zhe-ran-na' dan para perutusan dari Melaka telah dibunuh oleh tentera Annam, sementara yang lain dicacah dijadikan hamba. Tawanan muda dikembiri dijadikan sida-sida. Annam telah menawan kota-kota di Champa dan ingin menawan wilayah jajahan Melaka. Oleh kerana kami hanyalah menteri dibawah baginda Maharaja, tidak pantas bagi kami mengumpul bala tentera untuk berperang dengan mereka." 

Kemungkinan besar teks asal ucapan Laksamana Melaka tersebut adalah dibuat dalam Bahasa Melayu kerana seorang jurubahasa bernama Xiao Ming-ju (蕭明舉) yang berasal dari Jiang-xi direkodkan bertugas sebagai jurubahasa bagi delegasi Melaka.

Menurut perbandingan garis masa MSL, kemungkinan besar Laksamana Melaka semasa delegasi 1481 tersebut dilantik sejurus kematian Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' di Annam pada tahun 1469. Ini bermakna beliau telah dilantik di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.  

Dibanding dengan garis masa dan rekod di Ryukyu pula, saya hujahkan Laksamana Melaka yang bijak berdiplomasi di Istana Ming pada tahun 1481 tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan Laksamana Melaka yang sama dalam surat-surat dan utusan diplomatik yang direkodkan dalam Rekidai Hoan berkenaan hubungan perdagangan Melaka-Ryukyu pada tahun 1480-81.

Kemungkinan besar Laksamana yang sama juga telah menjadi ketua delegasi ke Cina sekali lagi pada 1508 dan kali ini beliau direkodkan sebagai “Duan Ya-zhi” (Hujah saya: 'Tuan Haji'); mungkin selepas beliau bersara dan pulang dari menunaikan ibadah Haji di Mekah. 

Lukisan pelukis Istana di Kota Larangan sekitar Februari 1485. Ia menggambarkan Maharaja Chenghua (1464-1487) yang sedang menyambut perayaan bersama keluarga di Kota Larangan semasa Festival Tanglung.

Pada tahun 1997, Geoffrey Wade secara spesifik dalam "Melaka in Ming Dynasty Texts"  (JMBRAS, Vol. 70, No. 1 (272) (1997), pp. 31-69) membuat cadangan bahawa "Duan-ya-ma-la-di-na-da" yang dicatat tiba di Cina pada 1469 dan juga 1481 adalah orang yang sama, dan berkemungkinan transliterasi kepada sosok bernama "Tun Amar Diraja". Saya berbeza pendapat di sini kerana ketua delegasi Melaka pada 1469 dan 1481 adalah dicatat MSL sebagai orang yang berbeza. Ketua delegasi Melaka 1469 juga jelas dicatat dibunuh di Annam, di mana ketua delegasi Melaka 1481 dicatat telah menuntut keadilan ke atas pembunuhan penjawat sebelumnya.  

Lebih-lebih lagi, terdapat kesinambungan perjalanan ketua delegasi Melaka 1481 yang sebelum itu tiba di Ryukyu pada Mac-April 1480 dan April 1481 yang dicatat sebagai "Lo-Hsi-Ma-Na" (Laksamana) dalam rekod Rekidai Hoan; perjalannya ke Mekah dan Turki Uthmaniyah pada 1482 yang dicatat Hikayat Hang Tuah (Kassim Ahmad, 1975); dan serangan tentera Melaka ke atas Annam pada 1483 (catatan Mao Qiling) iaitu selepas mendapat kebenaran Kerajaan Ming untuk mengangkat senjata sekiranya diserang.  

Selain dari itu, terdapat juga catatan MSL bahawa Sultan Melaka telah menghadiahkan sehelai sutera laut, iaitu produk dari cengkerang laut Mediterranean, kepada wakil Kerajaan Ming pada tahun 1487 (MSL, 16.4.1487). Hadiah sutera laut ini dan juga perolehan senjata-senjata yang berhasil mengalahkan Annam di Laxang (Laos) membuktikan wujudnya perjalanan delegasi Kesultanan Melaka ke Mekah dan kemudian ke Laut Mediterranean ketika membeli bedil di Turki Uthmaniyah.


Rujukan:

  1. Geoffrey Wade. 1997. Melaka in Ming Dynasty Texts. JMBRAS, Vol. 70, No. 1 (272) (1997), pp. 31-69).
  2. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.
  3. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).
  4. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994) diekstrak dari: http://epress.nus.edu.sg/msl/


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...