Popular Posts

Wednesday, 20 November 2019

Makara Kesultanan Melayu Melaka

Gambar 1 adalah gambar Makara yang diambil sekitar tahun 1909. Ketika itu ianya terletak di tembok lereng bukit St Paul, berdekatan Stadthyus. Makara ini kemudian telah dialihkan ke Muzium Sejarah & Etnografi Melaka.

Gambar 1

Catatan Muzium menyatakan bahawa lereng Bukit St Paul inilah tempat asal Makara ini dijumpai.  Étienne Lunet de Lajonquiere (1861-1933) pula menyatakan tapak asalnya adalah di kawasan Gereja St Paul. Juga terdapat andaian bahawa Makara ini dijumpai semasa binaan Kota Melaka dimusnah oleh British sekitar 1807. Ada juga yang mengatakan ianya dibawa oleh Belanda dari candi-candi di Jawa.

Menurut catatan G.P. Rouffaer (1860-1928) dalam Gambar 1, Makara Melaka ini sebenarnya dijumpai ditempat lain iaitu di dasar sungai semasa Belanda sedang mendalamkan pelabuhan Melaka. Saya sertakan terjemahan nota yg terdapat pada Gambar 1:

"IV Makara, formerly found during the dredging in the port of Malacca, now placed on the N.N.O. verge of the former castle hill (where the Port and later Hill fort stood up, there), May 1909" Description is from G.P. Rouffaer himself"

Jadi, kedudukannya di dalam air adalah punca mengapa ukirannya terhakis dan kurang jelas jika dibandingkan Makara yang hampir serupa yang dijumpai di Sungai Mas, Kedah pada tahun 2007. Jika dibandingkan, saiz dan rekabentuk kedua-dua Makara ini menunjukkan ianya terdapat banyak persamaan (Gambar 2).

Gambar 2

Kedua-duanya dibuat dari batu granit, mempunyai ukiran  motif  belalai  gajah,  tanduk  kerbau,  mulut buaya, cakra dan dewa air yang  terdapat dalam mulut buaya.  Kedua-duanya juga mempunyai ukiran dedaun di sisi kanan (ukiran dedaun tiada disisi kiri). Ukiran motif kedua-dua Makara adalah distinktif dan tidak sama dengan makara-makara yg berada di India mahupun di pulau Jawa.

Ramai yang musykil dan menyatakan memandangkan Parameswara memeluk agama Islam mana mungkin objek Hindu-Buddha wujud di Melaka. Akan tetapi, jika dikaji, ukiran-ukiran berunsur Hindu-Buddha masih dikekalkan di binaan masjid-masjid awal Nusantara kurun ke 15 dan 16. Masjid Menara Kudus (1549) di Jawa Tengah contohnya mempunyai struktur struktur berupa candi di dalam dan luar Masjid, dan juga 8 pacuran air dengan hiasan relif arca. Lihat Video:



Juga wujud Masjid Agung Cirebon (1480) yang mempunyai ukiran motif kala dan makara; dan Masjid Mantingan (1559) di pulau Jawa yang mempunyai ukiran motif binatang (burung garuda, angsa, gajah, singa, ketam, & kera), dan motif binatang mitos (burung  berkepala naga, kala, & makara).

Jadi, tidak hairan sekiranya dirumuskan bahawa Makara ini pernah menjadi sebahagian dari struktur senibina Istana Kesultanan Melayu Melaka pada awal kurun ke-15.

Rujukan:

http://m.tribunnews.com/nasional/2018/08/02/masjid-tua-wali-songo-di-cirebon-singkap


Tuesday, 19 November 2019

Khazanah Kapal 'Nanhai I'

Gambar 1 - Nanhai I

"Nanhai I" adalah nama yang diberikan kepada sebuah kapal dagang Cina yang dianggarkan dibina sekitar tahun 1127 hingga 1279 iaitu di penghujung era Dinasti Song (960-1279) (Gambar 1). Kerana tiada rekod, nama asal kapal ini tidak diketahui. 

Ianya berukuran 30 meter panjang dan membawa muatan kargo seberat 100 tan yang terdiri dari porselin, sutera, teh, jongkong perak, periuk belanga besi dan tembaga, peralatan dan paku besi, dan pelbagai barang lain termasuk perhiasan emas. Sebahagian barangan itu dibungkus dan dilabelkan dengan nama kedai yang menjualnya termasuk tempat asal ia diperbuat (Gambar 2).

Gambar 2 - Porselin dari Nanhai I

Nanhai I telah karam di kawasan barat muara sungai Zhu Jiang (Pearl River) di Guangdong iaitu pelabuhan permulaan perjalanan 'Laluan Sutera Maratim'.  Ianya karam sebelum sempat mengharungi Lautan Cina Selatan ke destinasinya iaitu kepulauan Nusantara dan Selat Melaka. Dikatakan jadual destinasi Nanhai I juga termasuk India dan Arab.

Nanhai I ditemui pada tahun 1987 oleh krew penyelam dari Maritime Exploration & Recoveries PLC (MER PLC) semasa sedang mencari kapal bernama Rhynsburg yang tenggelam sekitar Guangdong pada kurun ke-18. MER PLC ketika itu bekerjasama dengan China Salvage Company.

Pada tahun 2007, tapak dan rangka Nanhai I di bawa keluar dari dasar laut dan diletakkan di dalam tempat khas iaitu sebuah akuarium air masin gergasi yang dinamakan "Crystal Palace".  (Gambar 3 & 4).

Gambar 3 - Proses mengekstrak tapak kapal karam

Gambar 4 - Tapak Kapal Karam Nanhai I dilindungi air masin dalam 'Crystal Palace'

Akuarium berisipadu 59,000 m3 ini merupakan sebahagian dari 'Maritime Silk Route Museum' yang dibina khas untuk melindungi, mempamir dan mengkaji kapal tersebut. Operasi pemuliharaan dijalankan Kerajaan Cina tersebut membabitkan kos sekitar AS$20 juta (RM82.6 juta).

Pada tahun 2014, pasir dan selut mula diasingkan dan khazanah Nanhai I yang tenggelam selama 800 tahun mula dikeluarkan secara sistematik. Lihat Video:



Dari kajian yang dibuat,  adalah didapati bahawa barang perhiasan emas dalam kapal tersebut adalah merupakan rekaan negeri-negeri Nusantara dan Timur Tengah.  (Gambar 5, 6, 7 & 8).

Gambar 5

Gambar 6

Gambar 7

Gambar 8

Pengkaji dari Cina membuat kesimpulan bahawa perhiasan emas tersebut diperbuat oleh tukang-tukang emas Cina atas tempahan khas pedagang-pedagang Arab dan juga Nusantara iaitu di era kerajaan Melayu Srivijaya, Dharmasraya, dan Jambi.

Pedagang-pedagang Nusantara dari negeri-negeri Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu disebut dalam sejarah Cina sebagai Ma-La-Yu dan variasi perkataan berikut:-
  1. Bok-la-yu & Mok-la-yu (Bahasa Cina: 木剌由),
  2. Ma-li-yu-er (Bahasa Cina: 麻里予兒),
  3. Oo-lai-yu (Bahasa Cina: 巫来由),
  4. Wu-lai-yu (Bahasa Cina: 無来由).

Seterusnya, berdasarkan 17,000 syiling tembaga (copper coins) yang dijumpai, adalah disimpulkan kapal tersebut juga membawa penumpang yang terdiri dari rombongan ufti yang sedang dalam perjalanan pulang ke negeri masing-masing iaitu di kepulauan Nusantara, India dan Arab. Syiling tembaga selalu dicatatkan sebagai hadiah kepada pembawa ufti yang diberikan oleh Maharaja Cina.

Ketika itu, Guangdong adalah merupakan pelabuhan yang terbesar di dunia dan menjadi pintu selatan bagi Laluan Sutera Maratim untuk negara-negara ufti yang tiba dari kepulauan Nusantara, India dan Arab sebelum meneruskan perjalanan darat ke balairung Maharaja Cina era Dinasti Song yang ketika itu berada di kota Lin'an, Hangzhou.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Nanhai_One

2. https://news.cgtn.com/news/3d3d774d3149444f34457a6333566d54/index.html



Monday, 18 November 2019

Corak Tartan Scottish Milik Kesultanan Johor

Pada tahun 1815, Highland Society of London memutuskan bahawa setiap ketua klan di Scotland boleh mendaftarkan corak Tartan klan mereka di mana daftar tersebut akan disimpan dan menjadi rekod kekal bersama lambang klan mereka. Rekod-rekod lama dari tahun 1815 mula dikemaskini setelah wujudnya 'Scottish Register of Tartans Act 2008' (SRT).

Apabila dikaji daftar SRT tersebut, terdapat dua corak Tartan lama yg didaftarkan khusus untuk Kesultanan Johor iaitu Tartan corak hijau & kuning atas nama "Johore" (No. 1309, dibawah kategori daerah jajahan) rekaan Thomas Gordon & Sons, Glasgow (Gambar 1).  Ianya dihadiahkan oleh Queen Victoria kepada Sultan Abu Bakar pada tahun 1880 (ketika beliau memegang gelaran Maharaja).

Gambar 1

Manakala corak biru & kuning-emas (No. 260, dibawah kategori ketenteraan) rekaan William Anderson didaftar dibawah 'Johore Regiment' pada tahun 1930 (gambar 2).

Gambar 2

Gambar 3

Melihat kembali gambar Sultan Sir Abu Bakar dengan pakaian lengkap 'Highland dress' (Gambar 3), terdapat kemungkinan bahawa warna dan corak Tartan yang beliau pakai ketika itu adalah berdasarkan warna dan corak Tartan bawah daftar "Johore" No. 1309.  Sultan Sir Abu Bakar memegang jawatan Temenggong Johor (1862 - 1868); Maharaja Johor (1868 - 1886); dan Sultan Johor (1886 -1895). Dipercayai bahawa atas nasihat Lord Lyon King of Arms, warna hijau dan kuning telah dipilih oleh Queen Victoria kerana ianya adalah warna DiRaja bagi jawatan Temenggong Johor.

Rujukan:

https://www.tartanregister.gov.uk/index


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...