Popular Posts

Tuesday, 19 November 2019

Khazanah Kapal 'Nanhai I'

Gambar 1 - Nanhai I

"Nanhai I" adalah nama yang diberikan kepada sebuah kapal dagang Cina yang dianggarkan dibina sekitar tahun 1127 hingga 1279 iaitu di penghujung era Dinasti Song (960-1279) (Gambar 1). Kerana tiada rekod, nama asal kapal ini tidak diketahui. 

Ianya berukuran 30 meter panjang dan membawa muatan kargo seberat 100 tan yang terdiri dari porselin, sutera, teh, jongkong perak, periuk belanga besi dan tembaga, peralatan dan paku besi, dan pelbagai barang lain termasuk perhiasan emas. Sebahagian barangan itu dibungkus dan dilabelkan dengan nama kedai yang menjualnya termasuk tempat asal ia diperbuat (Gambar 2).

Gambar 2 - Porselin dari Nanhai I

Nanhai I telah karam di kawasan barat muara sungai Zhu Jiang (Pearl River) di Guangdong iaitu pelabuhan permulaan perjalanan 'Laluan Sutera Maratim'.  Ianya karam sebelum sempat mengharungi Lautan Cina Selatan ke destinasinya iaitu kepulauan Nusantara dan Selat Melaka. Dikatakan jadual destinasi Nanhai I juga termasuk India dan Arab.

Nanhai I ditemui pada tahun 1987 oleh krew penyelam dari Maritime Exploration & Recoveries PLC (MER PLC) semasa sedang mencari kapal bernama Rhynsburg yang tenggelam sekitar Guangdong pada kurun ke-18. MER PLC ketika itu bekerjasama dengan China Salvage Company.

Pada tahun 2007, tapak dan rangka Nanhai I di bawa keluar dari dasar laut dan diletakkan di dalam tempat khas iaitu sebuah akuarium air masin gergasi yang dinamakan "Crystal Palace".  (Gambar 3 & 4).

Gambar 3 - Proses mengekstrak tapak kapal karam

Gambar 4 - Tapak Kapal Karam Nanhai I dilindungi air masin dalam 'Crystal Palace'

Akuarium berisipadu 59,000 m3 ini merupakan sebahagian dari 'Maritime Silk Route Museum' yang dibina khas untuk melindungi, mempamir dan mengkaji kapal tersebut. Operasi pemuliharaan dijalankan Kerajaan Cina tersebut membabitkan kos sekitar AS$20 juta (RM82.6 juta).

Pada tahun 2014, pasir dan selut mula diasingkan dan khazanah Nanhai I yang tenggelam selama 800 tahun mula dikeluarkan secara sistematik. Lihat Video:



Dari kajian yang dibuat,  adalah didapati bahawa barang perhiasan emas dalam kapal tersebut adalah merupakan rekaan negeri-negeri Nusantara dan Timur Tengah.  (Gambar 5, 6, 7 & 8).

Gambar 5

Gambar 6

Gambar 7

Gambar 8

Pengkaji dari Cina membuat kesimpulan bahawa perhiasan emas tersebut diperbuat oleh tukang-tukang emas Cina atas tempahan khas pedagang-pedagang Arab dan juga Nusantara iaitu di era kerajaan Melayu Srivijaya, Dharmasraya, dan Jambi.

Pedagang-pedagang Nusantara dari negeri-negeri Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu disebut dalam sejarah Cina sebagai Ma-La-Yu dan variasi perkataan berikut:-
  1. Bok-la-yu & Mok-la-yu (Bahasa Cina: 木剌由),
  2. Ma-li-yu-er (Bahasa Cina: 麻里予兒),
  3. Oo-lai-yu (Bahasa Cina: 巫来由),
  4. Wu-lai-yu (Bahasa Cina: 無来由).

Seterusnya, berdasarkan 17,000 syiling tembaga (copper coins) yang dijumpai, adalah disimpulkan kapal tersebut juga membawa penumpang yang terdiri dari rombongan ufti yang sedang dalam perjalanan pulang ke negeri masing-masing iaitu di kepulauan Nusantara, India dan Arab. Syiling tembaga selalu dicatatkan sebagai hadiah kepada pembawa ufti yang diberikan oleh Maharaja Cina.

Ketika itu, Guangdong adalah merupakan pelabuhan yang terbesar di dunia dan menjadi pintu selatan bagi Laluan Sutera Maratim untuk negara-negara ufti yang tiba dari kepulauan Nusantara, India dan Arab sebelum meneruskan perjalanan darat ke balairung Maharaja Cina era Dinasti Song yang ketika itu berada di kota Lin'an, Hangzhou.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Nanhai_One

2. https://news.cgtn.com/news/3d3d774d3149444f34457a6333566d54/index.html



Monday, 18 November 2019

Corak Tartan Scottish Milik Kesultanan Johor

Pada tahun 1815, Highland Society of London memutuskan bahawa setiap ketua klan di Scotland boleh mendaftarkan corak Tartan klan mereka di mana daftar tersebut akan disimpan dan menjadi rekod kekal bersama lambang klan mereka. Rekod-rekod lama dari tahun 1815 mula dikemaskini setelah wujudnya 'Scottish Register of Tartans Act 2008' (SRT).

Apabila dikaji daftar SRT tersebut, terdapat dua corak Tartan lama yg didaftarkan khusus untuk Kesultanan Johor iaitu Tartan corak hijau & kuning atas nama "Johore" (No. 1309, dibawah kategori daerah jajahan) rekaan Thomas Gordon & Sons, Glasgow (Gambar 1).  Ianya dihadiahkan oleh Queen Victoria kepada Sultan Abu Bakar pada tahun 1880 (ketika beliau memegang gelaran Maharaja).

Gambar 1

Manakala corak biru & kuning-emas (No. 260, dibawah kategori ketenteraan) rekaan William Anderson didaftar dibawah 'Johore Regiment' pada tahun 1930 (gambar 2).

Gambar 2

Gambar 3

Melihat kembali gambar Sultan Sir Abu Bakar dengan pakaian lengkap 'Highland dress' (Gambar 3), terdapat kemungkinan bahawa warna dan corak Tartan yang beliau pakai ketika itu adalah berdasarkan warna dan corak Tartan bawah daftar "Johore" No. 1309.  Sultan Sir Abu Bakar memegang jawatan Temenggong Johor (1862 - 1868); Maharaja Johor (1868 - 1886); dan Sultan Johor (1886 -1895). Dipercayai bahawa atas nasihat Lord Lyon King of Arms, warna hijau dan kuning telah dipilih oleh Queen Victoria kerana ianya adalah warna DiRaja bagi jawatan Temenggong Johor.

Rujukan:

https://www.tartanregister.gov.uk/index


Sunday, 17 November 2019

Khazanah Nusantara di Scotland

Sir Walter Scott (1771-1832) adalah seorang novelis, penyair, penulis drama dan ahli sejarah dari Scotland. Rumah agam beliau di Selatan Scotland yang dikenali sebagai Abbotsford menempatkan sebanyak 9,000 manuskrip dan pelbagai artifak lama (Gambar 1, 2 & 3).

Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3

Antara yang menarik adalah sebilah keris Melayu pemberian rakannya bernama John Leyden (1775-1811). Keris tersebut dikatakan satu-satunya alat pertahan diri John Leyden semasa kapal yang beliau naiki dihambat dan hampir ditawan sebuah kapal Perancis dalam perjalanan dari India ke Pulau Pinang. Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1805 itu diabadikan dalam syair beliau berjudul "Ode to a Malay Cris".

Selain menjadi inspirasi kepada karya John Leyden, keris Melayu tersebut juga digambarkan dalam karya Sir Walter Scott iaitu sebagai senjata milik karekter bernama 'Queen of Sheba' dalam 'The Surgeon's Daughter' (1827). Keris Melayu berukuran 18 inci tersebut masih dipamirkan di dinding Abbotsford bersama 5 lagi keris milik Sir Walter Scott (Gambar 4). Ianya  juga pernah direkod dalam bentuk lukisan (Gambar 5).

Gambar 4

Gambar 5

John Leyden yang lebih dikenali sebagai penterjemah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Bahasa Inggeris menyertai ekspedisi tentera British Hindia ke pulau Jawa sebagai seorang doktor tentera. Beliau adalah sebahagian dari 3 ketumbukan divisyen & 2 skuadron yang telah singgah di Pulau Pinang dan kemudian di Melaka pada 1.6.1811. Tentera seramai 30,000 orang tersebut tiba dengan 33 buah kapal ini diketuai sendiri oleh Lord Minto iaitu Gabenor Jeneral British Hindia. Lihat: Lord Minto dan Emas Gunung Ledang.

Seramai 1,200 dari mereka dikatakan telah jatuh sakit dan terpaksa direhatkan di Melaka; di mana selebihnya telah meneruskan pelayaran pada 11.6.1811 untuk menyerang tentera Belanda di Pulau Jawa (The Invasion of Java).  John Leyden mati pada 28.8.1811 iaitu 3 hari selepas masuk menyelongkar sebuah arkib penyimpanan manuskrip lama di pulau Jawa.

Sumber:

1. Griffith, Devin, 'The Age of Analogy - Science And Literature Between The Darwins' (2016), John Hopkins University Press, Baltimore.

2. Brewster, David, 'Edinburgh Encyclopedia', Vol 12, (1830), William Blackwood, Edinburgh.

3. Abbotsford, The Personal Relics and Antiquarian Tresures of Sir Walter Scott. Illustrated by William Gib - Maxwell-Scott, Mary Monica (Hon), 1852-1920.


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...