Ada beberapa warkah abad ke-18 dari Nusantara yang disimpan di arkib Belanda. Antara yang menarik adalah warkah dari Sultan Mahmud Riayat Syah ibni al-Marhum Sultan Abdul Jalil Syah (Sultan Mahmud III) (1756-1811) yang bertarikh 11 Ramadan 1210H iaitu 20 Mac 1796. Baginda adalah merupakan Sultan yang memerintah jajahan takluk Riau-Lingga (1761-1811), Pahang (1761-1811), dan Johor (1770-1811) (Gambar 1).
Gambar 1: Sultan Mahmud Riayat Syah ibni al-Marhum Sultan Abdul Jalil Syah (Sultan Mahmud III) (1756-1811). Sumber: Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Direktorat Jenderal Kebudayaan, Indonesia.
Gambar 2: Bahagian atas dalam warkah Sultan Mahmud III. Sumber: Leiden University Libraries.
Gambar 3: Cap Mohor Sultan Mahmud III. Sumber: Leiden University Libraries.
Gambar 4: Kandungan Warkah Sultan Mahmud III. Sumber: Leiden University Libraries.
Ketika warkah ini dimaktub, Inggeris yang mentadbir Melaka bagi pihak Belanda semasa Perang Napoleon baru sahaja mengembalikan semula wilayah takluk Sultan Mahmud III kepada baginda (Gambar 2-4). Warkah ini diutus kepada Gabenor Jeneral Belanda iaitu Pieter Gerardus van Overstraten (1755-1801) (Gambar 5) dan tiba di Betawi (Jakarta) pada 25 April 1796. Secara ringkasnya, ia mengandungi kenyataan Sultan Mahmud III bahawa baginda baru sahaja dimaklumkan oleh pihak Inggeris bahawa baginda dan kerajaan baginda telah diserahkan kepada Belanda; di mana baginda memohon bekalan senjata dan peluru dari Belanda untuk dihantar ke Riau.
Gambar 5: Gabenor Jeneral Belanda, Pieter Gerardus van Overstraten (1755-1801). Sumber: Wikipedia.
Seperti yang kita maklum Sultan Mahmud III telah membuka Lingga dan menjadikannya pusat pemerintahan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Pada 1782 Sultan Mahmud III dan Yang Dipertuan Muda IV Raja Haji Fisabillilah memerangi Belanda di Riau-Lingga. Perang Riau I tersebut berlangsung dari 1782 sehingga 1784. Tentera Riau-Lingga berhasil mengalahkan Belanda di Tanjungpinang dan sekitarnya dalam suatu peperangan yang sangat dahsyat sehingga mengorbankan ramai tentera Belanda. Dalam peperangan tersebut tentera Riau-Lingga berjaya meletupkan kapal-kapal milik Belanda.
Seperti yang dibuktikan dalam warkah ini, dengan campur tangan penjajah dan musuh-musuh politik dalaman maka akhirnya jajahan takluk Sultan Mahmud III mengecil hanya untuk berkuasa di Riau-Lingga sahaja; di mana baginda akhirnya akur di bawah naungan kuasa Belanda. Manakala jajahan Johor-Pahang bernaung pula di bawah kuasa Inggeris. Akibat daripada perpecahan itu juga, pentadbiran kerajaan Sultan Mahmud III dibahagi kepada tiga negeri dan diperintah oleh pemerintah yang berlainan, iaitu Singapura diperintah Bendahara, Riau diperintah Yamtuan Muda dan Lingga diperintah Sultan.
Kemangkatan Sultan Mahmud III pada 12 Januari 1811 pula mengakibatkan perebutan kuasa antara Tengku Hussein (1776-1835) dengan adinda tirinya, Tengku Abdul Rahman (1780-1832). Ini memberi peluang kepada Stamford Raffles untuk mengambil kesempatan memihak kepada Tengku Hussein yang ketika itu disokong Temenggong Abdul Rahman (1755-1825). Percaturan ini membolehkan pusat perdagangan Inggeris didirikan di Singapura pada tahun 1819. Ini disusuli dua perjanjian pada tahun 1823 dan 1824, di mana Singapura akhirnya diserahkan secara rasmi kepada Inggeris.
Sumber:
Abdul Hamid, Ahmad Sarji, 2011. The Encyclopedia of Malaysia, 16 - The Rulers of Malaysia. Kuala Lumpur: Editions Didier Millet.
Leiden University Libraries, Amsterdam.
Trcocki, Carl A., 2007. Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore. Singapura: NUS Press.
Gambar Hiasan: Bandar London yang digerakkan tenaga wap dalam filem fiksyen sains 'Mortal Engines', 2018. Sumber: Universal Pictures.
Hari ini genap 510 tahun kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Pada 15 Ogos 1511, ianya tumbang ke tangan Portugis yang pada mulanya hadir dengan niat untuk berdagang. Tiada syak lagi bahawa Portugis mempunyai maklumat awal tentang apa yang berlaku di Melaka kerana tarikh serangan yang dipilih sememangnya amat strategik. Selain dari ketiadaan Hang Tuah dan armada Melaka, penduduk Melaka sekitar Julai 1511 dalam 'mood' persiapan untuk berpesta. Pesta yang dimaksudkan adalah Istiadat Perkahwinan Diraja antara Sultan Pahang ke-4 iaitu Sultan Mansur Shah I (r. 1497-1519) dengan puteri Sultan Mahmud Shah.
Walaupun peristiwa perkahwinan di Melaka ini tidak diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), dari rekod salasilah, puteri Sultan Melaka ini adalah hasil perkahwinan Sultan Mahmud Shah dengan Puteri Unang Kening, puteri sulung Raja Kelantan iaitu Sultan Mansur Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah. Tidak dapat dipastikan nama puteri Sultan Melaka tersebut. Apa yang diketahui, baginda adalah saudara seibu sebapa dengan Sultan Perak Pertama iaitu Sultan Muzaffar Riayat Shah I ibni al-Marhum Sultan Mahmud Shah (r. 1528-1549). Catatan Bustan al-Salatin ada memberikan nama puteri Melaka tersebut iaitu Raja Dewi. Akan tetapi menurut Bustan al-Salatin puteri Raja Dewi ini dinikahkan dengan Raja Jenal iaitu putera Sultan Pahang bernama Sultan Abdul-Jamal (Abdul Jamil Shah?).
Menurut Richard James Wilkinson (1932), Perkahwinan Diraja Melaka - Pahang ini penting kerana ianya berjaya menjalin semula pertalian antara kedua-dua negeri yang retak akibat persengketaan yang berlaku sebelum itu. Menurut Wilkinson juga, Sultan Melaka ketika itu mempunyai sumber kewangan yang banyak hasil dari rampasan harta Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dihukum bunuh sekitar 1510.
Istiadat Perkahwinan Diraja dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja sekitar Jun 1511 di mana sebahagian rakyat jelata bersama tenaga kerja Istana berkumpul dan bersedia untuk melaksanakan segala persiapan bagi upacara menyambut pengantin lelaki yang bakal diadakan. Istiadat ini dirancang untuk dijalankan secara besar-besaran di mana terdapat rekod Portugis yang menceritakan kekaguman mereka tentang persiapan dan terutamanya keindahan kenaikan Diraja bersalut emas yang disediakan bagi perarakan ketibaan pengantin lelaki. Malangnya, usaha gotong-royong ini terhenti apabila Portugis mula membedil Melaka pada pertengahan Julai 1511.
Terdapat kekeliruan yang menghasilkan andaian bahawa kenaikan Diraja tersebut adalah sebesar Istana Melaka iaitu Istana Mahligai Hawa Nafsu. Ada juga yang beranggapan bahawa, seperti fiksyen sains 'Mortal Engines', Istana bergerak ini berkeupayaan meredah hutan belantara dan bukit bukau dari Pahang ke Melaka. Kesilapan ini mungkin berpunca dari terjemahan catatan Fernão Lopes de Castanheda (1500-1559) yang menyatakan bahawa setiap satu dari 30 rodanya sebesar sebuah bilik. Apa yang jelas Fernão Lopes de Castanheda tersebut hanya berumur 11 tahun pada 1511. Menurut Rui Manuel Loureiro (2008) pula, Fernão Lopes de Castanheda tidak pernah ke Melaka, dan hanya berpandukan cerita-cerita dari laskar Portugis Melaka semasa beliau di India. Dengan itu mungkin maklumat yang diterimanya silap. Juga terdapat kemungkinan teks asal beliau gagal dialih-bahasa dengan sebaiknya oleh pengkaji sejarah.
Jika dikaji, sumber asal tentang kewujudan kenaikan Diraja ini adalah berdasarkan catatan ketua armada Portugis iaitu Alfonso de Albuquerque dalam Comentários de Afonso de Albuquerque (The commentaries of Afonso Dalboquerque). Saya petik terjemahan Inggeris catatan tersebut:-
"Here was burnt a wooden house, of very large size and very well built with joiners' work, about thirty palms breadth solid timber, all inlaid with gold, built up on thirty wheels, every one of which was as large as a hogshead, and it had a spire, which was the finishing-point of the building, of great height, covered with silken flags, and the whole of it hung with very rich silken stuffs, for it had been prepared for the reception of the king of Pão (Pahang) and his bride, the daughter of the king of Malacca, who were to make their entry through the city with great blowings of trumpets and festivities ; and in the houses of the king, and the other houses round about, which were burned, there was consumed by fire a great store of merchandise and other things of great price, which the king had in his palace."
Hiasan hadapan bagi 'Comentários de Afonso de Albuquerque (The commentaries of Afonso Dalboquerque)' yang disusun Afonso Brás de Albuquerque di Lisbon, 1557.
Jadi menurut catatan Alfonso de Albuquerque sendiri (yang disusun oleh anaknya, Afonso Bras de Albuquerque), saiz lebar struktur kenaikan Diraja tersebut adalah 30 "palm" dan ianya mempunyai 30 roda setiap satu sebesar "hogshead". Unit kiraan "Palm" iaitu "palmo de craveira" adalah jarak antara ibu jari ke jari kelingking iaitu 9 inci. Jadi lebarnya 270 inci (30 x 9in) iaitu 22 kaki 6 inci. Manakala "hogshead" adalah unit kiraan lama Portugis iaitu saiz tong khamar (barril de vinho / wine barrel) 52 gelen yang mempunyai diameter 28 inci. Secara logik ianya tidak mungkin bersaiz bilik kerana sesebuah bilik berbeza-beza dimensi dan tidak universal untuk dijadikan piawai ukuran. Jadi seperti yang pernah digambarkan Pieter Van Der Aa (1706), kemungkinan besar saiz kenaikan Diraja tersebut adalah seluas sebuah rumah teres moden kini iaitu lebih kurang 23 kaki x 90 kaki.
Lakaran bertajuk "Royal carriage of thirty wheels pulled by twelve Elephants" oleh Pieter Van Der Aa (1706).
Dari deskripsi yang diberi Alfonso de Albuquerque, kita ketahui bahawa kenaikan Diraja tersebut dihiasi dengan pelbagai jenis panji sutera yang berwarna-warni. Jika kita rujuk kepada arkib Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam tentang kenaikan Diraja yang pernah digunakan Kesultanan Brunei, mungkin kita dapat menggambarkan jenis-jenis panji, struktur mahligai, dan alat kebesaran yang disusun diatas struktur kenaikan Diraja Melaka tersebut. Alat perhiasan Diraja Brunei samada bagi kenaikan darat mahupun kenaikan laut terbahagi kepada dua jenis. Pertama adalah hiasan menengah (di bahagian tengah) yang terdiri dari Tunggul Charok, Sandaran, Ula-Ula Besar dan Sumbu Layang, Payong Haram, Payong Ubor-Ubor Tiga Tingkat, Cogan Ugama, Cogan Istiadat (Cogan Diraja), Mahligai, Payong Tinggi, Alam Bernaga (Alam Besar), Pisang-Pisang, dan Tunggul Buritan. Kedua, hiasan di bahagian sisi kenaikan yang terdiri dari Payong Ubor-Ubor, Ambal, Tunggul Kawan, Dadap (yang diatur menurut susunan warna yang bermula dari warna kuning hingga ke warna merah-jambu), Rawai Lidah, dan Sapu-Sapu Ayeng.
Alat-Alat Perhiasan Diraja. Sumber: Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam.
Alat-Alat Perhiasan Diraja. Sumber: Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam.
Kedua-dua jenis perhiasan Diraja ini adalah alat utama yang dipasang sebelum diadakan majlis-majlis yang beristiadat seperti Istiadat Berpuspa, Istiadat Perkahwinan Diraja, Istiadat Bertindik dan Berkhatan Diraja, Istiadat Mengarak Wazir, dan mana-mana jua istiadat yang disifatkan penting. Sebahagian dari alat-alat perhiasan Diraja ini juga diatur di sepanjang jalan yang menuju ke Istana atau di mana jua tempat mengadakan majlis-majlis beristiadat.
Jadi bukan sekadar hiasan, panji-panji sutera yang disaksikan Alfonso de Albuquerque sejurus kejatuhan Kesultanan Melaka ini adalah sebahagian dari alat kelengkapan dan perhiasan khusus yang melambangkan kebesaran dan kekuasaan institusi Kesultanan Melaka itu sendiri. Malang sekali semuanya itu telah musnah, termasuklah segala khazanah ilmu, naskhah buku-buku, peta-peta, perutusan-perutusan, tulisan di daun-daun lontar dan sebagainya yang turut dijilat api bersama hadiah-hadiah diplomatik dan artifak-artifak sejarah peradaban Melayu yang disimpan di Istana Melaka.
Sumber:
Alat-Alat Perhiasan Diraja. Jabatan Adat Istiasat Negara. Jabatan Perdana Menteri. Brunei Darussalam. Diekstrak dari: http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Perhiasan%20Diraja.aspx
Di Manakah Hang Tuah Ketika Melaka Diserang Portugis? Historybuff. 15.11.2019. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/11/di-manakah-hang-tuah-ketika-melaka.html
Fernão Lopes de Castanheda, 1551. História do descobrimento e conquista da India pelos portugueses (History of the Discovery and Conquest of India by the Portuguese).
Pieter Van der Aa, 1706-1708. Naaukeurige versameling der gedenk-waardigste zee en land-reysen na Oost en West-Indiën. Leyden.
Richard James Wilkinson, 1932. The Early Sultans of Pahang. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. Vol. 10, No. 1 (113) (Jan. 1932). pp 45-54.
Rui Manuel Loureiro, 2008. Historical Notes On The Portuguese Fortress In Malacca (1511-1641). Revista de Cultura Vol 28, 2008, pp. 78-96.
Walter de Gray Birch, 1875. The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, Second Viceroy of India.
Menurut kajian Howard Barraclough Fell (1917-1994) atau Barry Fell dalam bukunya 'Saga America' (1980) (Gambar 2), terdapat prasasti yang dijumpai dalam sebuah gua di wilayah Corinto di El Salvador, Amerika Tengah yang membuktikan bahawa Christopher Columbus adalah bukan orang pertama yang "menjumpai" benua Amerika.
Gambar 2: Barry Fell dan penulisannya dalam America BC Series. Sumber: Youtube Emperor Tigerstar.
Prasasti tersebut dikatakan ditulis dalam aksara Arab (Jawi) pada sekeping batu yang mencatat perkataan "Khatib Melaka Haji Mi Malaya" (Gambar 3). Menurut Fell (1980), Yucel (2007) dan Hassan (2018) ukiran pada sekeping batu ini dibuat sekitar kurun ke-13, dan bukti kukuh bahawa pedagang Islam Nusantara yang telahpun mengerjakan haji berjaya sampai ke benua Amerika sebelum kedatangan Christopher Columbus.
Gambar 3: Tulisan Jawi yang dikatakan wujud pada sekeping batu di El Salvador, Amerika Selatan. Sumber: Saga America (1980).
Gambar 4: Tapak arkeologi Tazumal di El Salvador. Sumber: Wikipedia.
Apa yang menjadi sandaran utama kesahihan hipotesis Barry Fell ini adalah beliau seorang pengkaji dari universiti terulung di Amerika Syarikat iaitu Harvard. Berdasarkan logik ini, mungkin ramai yang berpendapat beliau tidak mungkin terkhilaf dalam hipotesis yang dibuat.
Persoalannya adakah kita perlu terima bulat-bulat hipotesis beliau tanpa meneliti pandangan dan penyelidikan lain tentang hasil kajian dari Harvard ini?
Pertamanya, Barry Fell ini adalah seorang ahli biologi marin dan bukannya seorang ahli arkeologi mahupun sejarah. Kajian asas beliau adalah dalam bidang zoologi invertebrata. Sememangnya kelainan bidang kajian tidak semestinya membuat sesuatu rumusan akademik itu lemah atau dangkal. Akan tetapi dalam kes Barry Fell ini, kelemahan kajiannya dikatakan amat ketara. Pakar arkeologi terkemuka bernama David H Kelley (1990) mencatat pandangan berikut tentang penulisan Barry Fell berkenaan arkeologi dan kajian prasasti:-
"Fell's work [contains] major academic sins, the three worst being distortion of data, inadequate acknowledgment of predecessors, and lack of presentation of alternative views."
Williams (1991) dan Feder (1996) merumuskan bahawa teori dan dapatan Barry Fell berkenaan kajian prasasti adalah tidak diterima umum. Kajian empirikal yang dibuat oleh Feder (1984) berdasarkan sampel 340 orang tenaga pengajar dalam bidang arkeologi merumuskan bahawa 95.7% darinya mempunyai pandangan negatif terhadap hipotesis Barry Fell dan mengklasifikasikannya sebagai "pseudo-archaeology". Lihat juga kritikan yang dibuat terhadap Barry Fell dalam "Bad History - The America BC Series by Barry Fell":-
Secara spesifik, Lesser (1983) iaitu seorang ahli sejarah dan arkeologi menyatakan rumusan dan dapatan Barry Fell tentang prasasti yang kononnya membuktikan 'Brendan of Clonfert' (c. AD 484 – c. 577) dari Ireland telah sampai ke West Virginia, Amerika Utara, pada abad ke-6 dalam bukunya 'Saga America' adalah pseudo-saintifik dan tidak boleh dipercayai.
Berdasarkan dapatan yang sama, Oppenheimer dan Wirtz (1989) dalam mengkaji 'Saga America' merumuskan bahawa hipotesis Barry Fell tentang prasasti di West Virginia tersebut adalah suatu "deliberate fraud" iaitu penipuan yang disengajakan.
Berbalik kepada catatan Barry Fell berkenaan tulisan Jawi yang kononnya wujud di zaman Maya dan Aztec di El Salvador, tiada maklumat tentang lokasi tepat prasasti tersebut dan juga tiada bukti fizikal mahupun fotografi dirakamkan.
Seterusnya, hipotesis Barry Fell ini juga bercanggah dengan garis masa penubuhan Kesultanan Melayu Melaka itu sendiri. Melaka dirumuskan beliau sudah wujud pada kurun ke-13, walhal sumber primer membuktikan bahawa ianya ditubuhkan Parameswara pada awal kurun ke-15.
Manakala perkataan "Malaya" pula adalah suatu "exonym" iaitu perkataan nama tempat yang berasal atau disebut oleh pihak luar, khususnya pihak Inggeris yang tiba ke Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke-18. Semenanjung Tanah Melayu dibawah kedatuan Srivijaya pada kurun ke-13 tidak mungkin disebut "Malaya" oleh rakyatnya.
Kemungkinan besar Barry Fell ingin mereka-cipta individu seperti dalam catatan Shih-pi iaitu pengembara semasa Dinasti Yuan / Mongol (1271–1368) yang pernah mencatat kewujudan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la". W. George Maxwell (1909) merumuskan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" adalah transliterasi dari nama Haji Kadir Nakhoda. Ha-ji-ka-ta-na-ka-la dari kepulauan Jawa dikatakan telah mengutus watikah yang ditulis dalam dakwat emas kepada Maharaja Mongol sekitar 1292. Rumusan W. George Maxwell ini adalah tidak tepat kerana Jawa (Singhasari) ketika itu diperintah Sri Kertanegara yang beragama Hindu-Buddha. Jadi "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" mungkin adalah transliterasi bagi nama Sri Kertanegara dan bukannya Haji Kadir Nakhoda.
Dengan itu, sama dengan dapatan prasasti West Virginia dalam 'Saga America', rumusan Barry Fell tentang kewujudan pengembara bernama Khatib Melaka Haji Mi Malaya di Amerika Tengah pada kurun ke-13 adalah dangkal dan juga berkemungkinan hasil dari penipuan arkeologi yang disengajakan. Sejarah tentang kemahiran pelayaran masyarakat Nusantara sememangnya kukuh dan tidak perlu ditokok tambah dengan bukti-bukti yang tidak sahih dan menjurus kepada penipuan.
Sumber:
Feder, Kenneth L. (1984). "Irrationality and Popular Archaeology". American Antiquity, Vol. 49, No. 3, pp. 525-541.
Feder, Kenneth L. (1996). Frauds, Myths, and Mysteries: Science and Pseudoscience in Archaeology. Mountain View: Mayfield. pp. 101–107.
Fell, Barry (1980). Saga America. Time Books, New York.
Hassan, Syed Ali (2018). Muslim Roots of America, Murray State University.
Kelley, D. H. (Spring 1990). "Proto-Tifinagh and Proto-Ogham in the Americas: Review of Fell; Fell and Farley; Fell and Reinert; Johannessen, et al.; McGlone and Leonard; Totten". The Review of Archaeology.
Lesser, W. Hunter (1983). "Cult Archaeology Strikes Again: A Case for Pre-Columbian Irishmen in the Mountain State?"
Maxwell W.G. (1909). Groeneveldt's Notes on the Malay Archipelago and Malacca. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. No. 52 (March, 1909), pp. 105-110.
Oppenheimer, Monroe; Wirtz, Willard (1989). "A Linguistic Analysis of Some West Virginia Petroglyphs"
Williams, Stephen (1991). Fantastic Archaeology. Philadelphia: University of Pennsylvania Press. pp. 264–273.
Yucel, Salih (2007). Islam & Muslims in America before Columbus, Fountain Magazine.