Gambar 1 |
Gambar 2 |
Gambar 3 |
Antara yang menarik adalah sebilah keris Melayu pemberian rakannya bernama John Leyden (1775-1811). Keris tersebut dikatakan satu-satunya alat pertahan diri John Leyden semasa kapal yang beliau naiki dihambat dan hampir ditawan sebuah kapal Perancis dalam perjalanan dari India ke Pulau Pinang. Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1805 itu diabadikan dalam syair beliau berjudul "Ode to a Malay Cris".
Selain menjadi inspirasi kepada karya John Leyden, keris Melayu tersebut juga digambarkan dalam karya Sir Walter Scott iaitu sebagai senjata milik karekter bernama 'Queen of Sheba' dalam 'The Surgeon's Daughter' (1827). Keris Melayu berukuran 18 inci tersebut masih dipamirkan di dinding Abbotsford bersama 5 lagi keris milik Sir Walter Scott (Gambar 4). Ianya juga pernah direkod dalam bentuk lukisan (Gambar 5).
Gambar 4 |
Gambar 5 |
John Leyden yang lebih dikenali sebagai penterjemah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Bahasa Inggeris menyertai ekspedisi tentera British Hindia ke pulau Jawa sebagai seorang doktor tentera. Beliau adalah sebahagian dari 3 ketumbukan divisyen & 2 skuadron yang telah singgah di Pulau Pinang dan kemudian di Melaka pada 1.6.1811. Tentera seramai 30,000 orang tersebut tiba dengan 33 buah kapal ini diketuai sendiri oleh Lord Minto iaitu Gabenor Jeneral British Hindia. Lihat: Lord Minto dan Emas Gunung Ledang.
Seramai 1,200 dari mereka dikatakan telah jatuh sakit dan terpaksa direhatkan di Melaka; di mana selebihnya telah meneruskan pelayaran pada 11.6.1811 untuk menyerang tentera Belanda di Pulau Jawa (The Invasion of Java). John Leyden mati pada 28.8.1811 iaitu 3 hari selepas masuk menyelongkar sebuah arkib penyimpanan manuskrip lama di pulau Jawa.
Sumber:
1. Griffith, Devin, 'The Age of Analogy - Science And Literature Between The Darwins' (2016), John Hopkins University Press, Baltimore.
2. Brewster, David, 'Edinburgh Encyclopedia', Vol 12, (1830), William Blackwood, Edinburgh.
3. Abbotsford, The Personal Relics and Antiquarian Tresures of Sir Walter Scott. Illustrated by William Gib - Maxwell-Scott, Mary Monica (Hon), 1852-1920.
No comments:
Post a Comment