Popular Posts

Thursday 6 January 2022

Utusan Kerajaan Pahang Tua

 

Gambar 1: Sungai Pahang di sekitar Kuala Lipis yang dirakam oleh C.J. Kleingrothe (1864-1925) pada tahun 1910.  Sumber: KITLV 79973, Leiden University Libraries, Amsterdam.

Menurut faktor geografi, daerah Lipis, Raub & Bentong di Pahang terletak dalam jajaran emas yang membuat daerah-daerah ini kaya dengan logam tersebut dan menyaksikan aktiviti perlombongan emas semenjak berkurun lamanya. Jajaran emas ini juga menyebabkan Semenanjung Tanah Melayu dirujuk sebagai Chersonesus Aurea atau Golden Chersonese (Semenanjung Emas) dalam peta Claudius Ptolemy yang dilakar sekitar abad ke-2.

Juga wujud bukti utusan diplomasi dan perdagangan se-awal abad ke-3 berlaku di Pahang. Menurut Munoz (2007), pada tahun 240M kerajaan yang terletak di muara sungai Pahang yang dinamakan Koli / Kiu-li telah menghantar utusan ke Funan. Hadiah yang diberikan pemerintah Koli bernama Raja Murunda kepada pemerintah Funan bernama Raja Fan Chang termasuk 4 ekor kuda yang diperoleh dari Empayar Kushan di utara India. Ini diikuti dengan rekod utusan yang dihantar Raja Pahang bernama She-li-Po-luo-ba-mo ('Sri Bhadravarman') ke Istana Dinasti Liu Song di Cina pada tahun 449-450 dengan menghadiahkan 41 jenis barangan. Ketika itu Pahang dikenali sebagai Pohuang / Panhuang dan dipercayai berada di bawah kedatuan Langkasuka-Kedah (Rajani, 1987). Pada tahun 456-457 terdapat rekod berkenaan satu lagi utusan dihantar Raja Pahang ke Cina yang diketuai seorang senapati (jeneral) (Guy, 2014).

Rekod Ming Shi-lu (MSL) pula mencatat Raja Pahang bernama "Ma-ha-la-re Da-rao" (Maharaja Tajau) mengutus menterinya yang bernama "Dan-wang Ma-du". Beliau mengadap tiba di Istana Dinasti Ming di Cina pada 29.12.1378. Ketika itu Pahang berada di bawah pengaruh Siam. Utusan Pahang tersebut telah direkodkan mengadap bersama dengan utusan yang dihantar "La-ding La-zhe-wang-shi" (Raden Rajawangsa) dari negeri "Bai-hua" yang dikatakan sebagai sebuah kerajaan di muara sungai Paka, Terengganu (Wade, 1997). Antara hadiah yang diberikan Raja Pahang adalah warkah yang ditulis pada daun emas, 6 orang hamba, lada seberat 2,000 jin (1,180 kg), bersama produk aromatik dan ubat-ubatan, termasuk kayu sapan, cendana, kemenyan dan kapur barus seberat 4,000 jin (2,360 kg). Maharaja Hongwu (r. 1368-1398) membalas dengan menghadiahkan pakaian khas, kain sutera halus bercorak, dan kain kasa sutera yang ditenun dengan benang emas.

Gambar 2: "Siamese Envoys Paying Tribute To The Emperor Of China During The Ming Dynasty Presenting Gifts Of Pepper Satin Ambergris Ebony And Ivory" Ken Welsh, 1915, Hutchinson's History Of The Nations.

Rekod MSL bertarikh 5.8.1411 mencatat Raja Pahang bernama "Ba-li-mi-su-la Da-luo Xi-ni" (Parameswara Telok Chini) telah menghantar utusan dan hadiah kepada Maharaja Yongle (r. 1402-1424). Maharaja Yongle membalas dengan menghadiahkan pakaian khas yang merangkumi topi dan tali pinggang, bersama pelbagai jenis sutera berserta wang kertas.

Gambar 3: Wang kertas era dinasti Ming yang dicetak bagi keluaran tahun 1369 hingga 1399.

Pada 28.8.1414, Parameswara Telok Chini telah menghantar utusan yang diketuai "Su-ma-mu-men-di-li" ke Cina. Utusan tersebut dibawa mengadap bersama seorang utusan Parsi dari pulau Hormuz bernama "Ji-ji-ding (Alt: Si-ji-ding)". Utusan Pahang mempersembah produk tempatan dari Pahang; manakala Ji-ji-ding mempersembahkan beberapa ekor kuda. Mereka telah diberi hadiah sutera halus berbrokat, kain kasa sutera, sutera nipis beraneka warna, dan wang kertas. Menurut MSL, utusan terakhir kerajaan Pahang ke Istana Ming adalah pada November 1416. (Wade, 1997).


Gambar 4: Model perahu layar "Lancang Cama" (Lancang Camar) dari Pahang (c. 1883).
 Sumber: RV-351-44, Tropenmuseum, Amsterdam.


Pada tahun 1454, satu ekspedisi untuk menyerang Pahang telah dititahkan oleh Raja Abdullah dari Kesultanan Melaka.  Raja Abdullah tersebut kemudian digelar Sultan Mansur Shah (d. 1477) (r. 1459-1477). Tentera Kesultanan Melaka bersama 200 buah perahu layar yang diketuai Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki Pahang. Raja Pahang di bawah takluk Ligor-Ayutthaya iaitu Maharaja Dewa Sura bersama anakandanya, Putri Wanang Seri, telah ditangkap dan dibawa ke Melaka. Raja Abdullah (Sultan Mansur Shah) telah mengahwini Putri Wanang Seri, di mana Putri Wanang Seri tersebut diberi gelaran Putri Lela Wangsa (Linehan, 1973). Sultan Pahang Pertama dan Kedua iaitu Sultan Muhammad Shah (1455–1475) (r. 1470-1475) dan Sultan Ahmad Shah I (d. 1519) (r. 1475-1495) adalah putera-putera hasil dari perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Lela Wangsa tersebut.

Tiada utusan dari Pahang dalam rekod MSL selepas pertengahan abad ke-15 kerana Pahang ketika itu berada dibawah Kesultanan Melaka. Dalam mewakili kesemua jajahan takluknya, termasuk Pahang, Kesultanan Melaka telah menghantar utusan ke Kerajaan Ming di Cina pada tahun 1456, 1469, 1481, 1508 dan 1510.

Sumber:

  1. Benjamin, Geoffrey, Issues in the Ethnohistory of Pahang, Lembaga Muzium Negeri Pahang (Museum Authority of Pahang).
  2. Farish A Noor (2011), From Inderapura to Darul Makmur, A Deconstructive History of Pahang, Silverfish Books.
  3. Geoffrey Wade (1994), The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries. NUS Publications.
  4. Guy, John (2014), Lost Kingdoms: Hindu-Buddhist Sculpture of Early Southeast Asia, Metropolitan Museum of Art.
  5. Linehan, William (1973), History of Pahang, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Kuala Lumpur.
  6. Munoz, Paul Michel (2007), Early Kingdoms of The Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula, Didier Millet.
  7. Rajani, Chand Chirayu (1987), Towards a history of Laem Thong and Sri Vijaya (Asian studies monographs), Institute of Asian Studies, Chulalongkorn University.
  8. Zakiah Hanum (1989), Asal-usul negeri-negeri di Malaysia (The Origin of States in Malaysia), Times Books International.

Sunday 12 December 2021

Keris Nusantara di Florida




Sekitar tahun 1985, Mel Fisher (1922-1998) telah berjaya menemukan kapal Sepanyol 'Nuestra SeƱora de Atocha'. Kapal de Atocha tersebut karam bersama kapal 'Santa Margarita' dan 4 kapal lain akibat ribut pada 6.9.1622 berhampiran Key West, Florida. Menurut rekod maritim Sepanyol, kapal de Atocha tersebut mengangkut emas dan perak seberat 40 tan (43,742 kg), dan juga zamrud seberat 31.75 kg, yang kesemuanya bernilai USD500 juta. Ini tidak termasuk barangan lain yang tidak diisytihar (kontraban) untuk mengelak cukai 20% yang perlu dibayar kepada Raja Sepanyol. Setelah melalui proses litigasi, Mahkamah di US telah membenarkan Mel Fisher memiliki dan menjual segala artifak yang ditemuinya.





Dari rekod sejarah, Sepanyol dan Portugal bergabung dari tahun 1580 hingga 1640 dan telah bekerjasama menjarah kepulauan Nusantara, khususnya Maluku, Ambon, Solor, Ternate dan Filipina. Armada Sepanyol pernah menjajah Ternate dan Tidore dari tahun 1606 hingga 1677. Kemungkinan besar keris yang dijumpai Mel Fisher ini adalah sebahagian dari harta kontraban yang tidak diisytihar semasa pelayaran tersebut. Walaubagaimanapun, selain dari gambar ini, keris dan senjata Nusantara lain tidak pernah diisytihar kepada pihak berkuasa. Ianya juga tidak pernah dipamirkan di Muzium Mel Fisher di Key West, Florida.





Apa yang menarik, keris-keris dari Florida ini mungkin sudah kembali ke Nusantara. Perkara ini berlaku pada tahun 2007 di mana terdapat laporan tentang percubaan menyeludup barangan antik dari USA ke Indonesia. Ianya terdiri dari 16 bilah keris, 4 sarung keris, 1 tombak tanpa gagang, dan 8 yoswa. Barangan yang cuba diseludup ini telah berjaya dikesan dan disita di Terminal Cargo Bandara Soekarno-Hatta, Indonesia pada 25.11.2007. Identiti penerima dicatat sebagai "RMN" yang dikenalpasti kemudian sebagai R M Notoharjo atau Martin Lubis. Ianya dikirimkan ke sebuah rumah kosong di No. 7, RT 2/X, Jalan Mataram 12, Banyuanyar, Sumber, Banjasari, Solo, Jawa Tengah. Setelah disiasat pihak berkuasa di Surakarta, alamat pengirimnya adalah di No. 60, Snapper Avenue, Key Largo, Florida, USA., iaitu 150 batu dari tempat kapal de Atocha dijumpai.

Sumber:

  1. https://article.wn.com/view/2007/11/28/Keris_dan_Tombak_dari_AS_Hendak_Dibawa_ke_Solo/
  2. https://m.detik.com/news/berita/d-858478/keris-dan-tombak-dikirim-dari-florida-akan-dibawa-ke-solo
  3. https://m.detik.com/news/berita/d-859102/jeffri-akan-ambil-keris-yang-ditahan-di-bandara-cengkareng
  4. https://news.okezone.com/read/2007/11/29/1/64576/rm-notoharjo-nama-lain-dari-martin-lubis
  5. http://www.bumn.go.id/angkasapura2/berita/729
  6. https://www.colonialvoyage.com/spanish-presence-moluccas-ternate-tidore/





Friday 19 November 2021

Hukuman Salang Terakhir di Kedah?

 

Gambar 1: Litograf hukuman salang di hadapan Sultan Kedah pada tahun 1889, oleh Edouard Riou.
Sumber: Un an en Malaisie, 1889-1890. (1892) oleh Jules Claine.

Litograf ini menggambarkan hukuman salang yang dikatakan telah dijalankan di hadapan Sultan Kedah sekitar 1889 (Gambar 1). Saya telah memuatnaik imej ini di FB pada 17 Disember 2019; dan ianya kemudian dikongsi oleh beberapa laman web dan youtube tanpa memberi kredit kepada sumber asal iaitu buku "Un an en Malaisie, 1889-1890" (1892) oleh Jules Claine (Gambar 2).

Gambar 2: Jules Claine (1856-1938).
Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.


Apabila tiada sumber yang dirujuk, timbul persoalan samada peristiwa yang dilakar ini benar-benar berlaku. Benarkah hukuman bunuh ini dibuat atas isyarat tangan Sultan Kedah, iaitu Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1864-1943) (Gambar 3)? Benarkah hukuman salang di Kedah turut dilaksanakan pihak Inggeris bersama laskar Sepoy mereka? Adakah tombak juga digunakan selain dari keris salang?

Gambar 3: Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1864-1943) (r.1881-1943) c. 1890.  
 Sumber: GR Lambert & Co., KITLV 7249, Leiden University Libraries, Amsterdam.


Apa yang perlu diketengahkan adalah kisah sebenar lakaran ini sebelum ianya dianggap sebahagian dari lipatan sejarah negeri Kedah. Fakta utama adalah hukuman salang hanya dijalankan oleh pembesar-pembesar Melayu dan bukan dengan kerjasama pihak Inggeris. Fakta seterusnya adalah hukuman salang ini telah dimansuhkan pihak Inggeris semenjak tahun 1809 (Newbold, 1839).

Pengarang buku 'Un an en Malaisie, 1889-1890' iaitu Jules Claine (1856-1938) adalah seorang pengembara Perancis yang telah ke Sumatera Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Singgora sekitar tahun 1889 hingga 1890. Claine telah merakam beberapa keping gambar yang sebahagiannya telah dijadikan rujukan oleh Edouard Riou (1833-1900) dalam lakaran beliau yang digunakan Claine sebagai ilustrasi penulisannya.

Jika dibandingkan, kesemua lakaran Riou tidak berbeza dari gambar sebenar yang dirakam Claine. Cuma lakaran hukuman salang arahan Sultan Kedah ke-26 ini sahaja yang agak aneh; di mana ianya boleh dibuktikan sebagai rekaan semata-mata.

Jika dibanding rekod Perpustakaan Negara Perancis, imej-imej dalam litograf karya Riou ini adalah kombinasi dari 6 keping gambar yang berbeza. Pertama, rumah yang menjadi latarbelakang litograf ini adalah dari gambar sebuah rumah agam di Kedah (Gambar 4). Dalam rekod pada gambar asal dan juga catatan dalam buku Claine, ianya adalah kediaman rasmi Raja Siam di Kedah yang juga menjadi tempat kediaman Claine semasa tempoh lawatannya di sana.  

Gambar 4: Rumah Raja Siam di Alor Setar, Kedah.
Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.


Susunan landskap dan pokok dalam litograf juga adalah berdasarkan gambar di Kedah (Gambar 5 & 6). 

Gambar 5
Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.

Gambar 6
Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.


Bentuk badan dan pakaian tukang salang dan pesalah diambil dari gambar orang-orang Melayu-Siam yang dirakam Claine sekitar Singgora (Gambar 7).  

Gambar 7
Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.


Senjata yang digunakan tukang salang iaitu tombak dan keris juga dilukis berpandukan rujukan kepada gambar rakaman Claine (Gambar 8).

Gambar 8
Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.


Manakala imej tentera Sepoy yang berbaris di belakang Sultan Kedah adalah diambil dari gambar perarakan pengebumian yang dirakam Claine di Pulau Pinang (Gambar 9). 

Gambar 9
Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.


Apa yang pelik, setelah diteliti kesemua rekod, tiada gambar Sultan Kedah dan juga proses hukuman salang ini dalam koleksi simpanan Claine yang kini berada di Perpustakaan Negara Perancis.

Dengan itu, catatan peristiwa hukuman salang yang dikatakan diperintahkan Sultan Kedah pada tahun 1889 ini tidak pernah berlaku dan sesuatu yang telah dipalsukan.  Ianya hanyalah hasil daya imaginasi Riou berdasarkan cerita-cerita lama yang didengari Claine. Hukuman yang telah dimansuhkan 80 tahun sebelumnya itu mungkin diwujudkan kembali kisahnya bagi memberi kesan dramatik kepada jalan cerita dan pengembaraan Claine.

Sumber:

  1. Claine, Jules. 1892. Un an en Malaisie, 1889-1890.
  2. Newbold, T.J. 1839. Political and Statistical Account of The British Settlements in The Straits of Malacca, vis Pinang, Malacca, and Singapore; with a History of The Malayan States on The Peninsula of Malacca, Vol I.
  3. Perpustakaan Negara Perancis.





Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...