Popular Posts

Saturday 14 August 2021

Istana Bergerak Kesultanan Melaka

Gambar Hiasan: Bandar London yang digerakkan tenaga wap dalam filem fiksyen sains 'Mortal Engines', 2018. Sumber: Universal Pictures.


Hari ini genap 510 tahun kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Pada 15 Ogos 1511, ianya tumbang ke tangan Portugis yang pada mulanya hadir dengan niat untuk berdagang. Tiada syak lagi bahawa Portugis mempunyai maklumat awal tentang apa yang berlaku di Melaka kerana tarikh serangan yang dipilih sememangnya amat strategik. Selain dari ketiadaan Hang Tuah dan armada Melaka, penduduk Melaka sekitar Julai 1511 dalam 'mood' persiapan untuk berpesta. Pesta yang dimaksudkan adalah Istiadat Perkahwinan Diraja antara Sultan Pahang ke-4 iaitu Sultan Mansur Shah I (r. 1497-1519) dengan puteri Sultan Mahmud Shah.  

Walaupun peristiwa perkahwinan di Melaka ini tidak diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), dari rekod salasilah, puteri Sultan Melaka ini adalah hasil perkahwinan Sultan Mahmud Shah dengan Puteri Unang Kening, puteri sulung Raja Kelantan iaitu Sultan Mansur Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah. Tidak dapat dipastikan nama puteri Sultan Melaka tersebut. Apa yang diketahui, baginda adalah saudara seibu sebapa dengan Sultan Perak Pertama iaitu Sultan Muzaffar Riayat Shah I ibni al-Marhum Sultan Mahmud Shah (r. 1528-1549). Catatan Bustan al-Salatin ada memberikan nama puteri Melaka tersebut iaitu Raja Dewi. Akan tetapi menurut Bustan al-Salatin puteri Raja Dewi ini dinikahkan dengan Raja Jenal iaitu putera Sultan Pahang bernama Sultan Abdul-Jamal (Abdul Jamil Shah?).

Menurut Richard James Wilkinson (1932), Perkahwinan Diraja Melaka - Pahang ini penting kerana ianya berjaya menjalin semula pertalian antara kedua-dua negeri yang retak akibat persengketaan yang berlaku sebelum itu. Menurut Wilkinson juga, Sultan Melaka ketika itu mempunyai sumber kewangan yang banyak hasil dari rampasan harta Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dihukum bunuh sekitar 1510.

Istiadat Perkahwinan Diraja dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja sekitar Jun 1511 di mana sebahagian rakyat jelata bersama tenaga kerja Istana berkumpul dan bersedia untuk melaksanakan segala persiapan bagi upacara menyambut pengantin lelaki yang bakal diadakan. Istiadat ini dirancang untuk dijalankan secara besar-besaran di mana terdapat rekod Portugis yang menceritakan kekaguman mereka tentang persiapan dan terutamanya keindahan kenaikan Diraja bersalut emas yang disediakan bagi perarakan ketibaan pengantin lelaki. Malangnya, usaha gotong-royong ini terhenti apabila Portugis mula membedil Melaka pada pertengahan Julai 1511. 

Terdapat kekeliruan yang menghasilkan andaian bahawa kenaikan Diraja tersebut adalah sebesar Istana Melaka iaitu Istana Mahligai Hawa Nafsu. Ada juga yang beranggapan bahawa, seperti fiksyen sains 'Mortal Engines', Istana bergerak ini berkeupayaan meredah hutan belantara dan bukit bukau dari Pahang ke Melaka. Kesilapan ini mungkin berpunca dari terjemahan catatan Fernão Lopes de Castanheda (1500-1559) yang menyatakan bahawa setiap satu dari 30 rodanya sebesar sebuah bilik. Apa yang jelas Fernão Lopes de Castanheda tersebut hanya berumur 11 tahun pada 1511.  Menurut Rui Manuel Loureiro (2008) pula, Fernão Lopes de Castanheda tidak pernah ke Melaka, dan hanya berpandukan cerita-cerita dari laskar Portugis Melaka semasa beliau di India. Dengan itu mungkin maklumat yang diterimanya silap. Juga terdapat kemungkinan teks asal beliau gagal dialih-bahasa dengan sebaiknya oleh pengkaji sejarah.

Jika dikaji, sumber asal tentang kewujudan kenaikan Diraja ini adalah berdasarkan catatan ketua armada Portugis iaitu Alfonso de Albuquerque dalam Comentários de Afonso de Albuquerque (The commentaries of Afonso Dalboquerque). Saya petik terjemahan Inggeris catatan tersebut:-

"Here was burnt a wooden house, of very large size and very well built with joiners' work, about thirty palms breadth solid timber, all inlaid with gold, built up on thirty wheels, every one of which was as large as a hogshead, and it had a spire, which was the finishing-point of the building, of great height, covered with silken flags, and the whole of it hung with very rich silken stuffs, for it had been prepared for the reception of the king of Pão (Pahang) and his bride, the daughter of the king of Malacca, who were to make their entry through the city with great blowings of trumpets and festivities ; and in the houses of the king, and the other houses round about, which were burned, there was consumed by fire a great store of merchandise and other things of great price, which the king had in his palace."


Hiasan hadapan bagi 'Comentários de Afonso de Albuquerque (The commentaries of Afonso Dalboquerque)' yang disusun Afonso Brás de Albuquerque di Lisbon, 1557.


Jadi menurut catatan Alfonso de Albuquerque sendiri (yang disusun oleh anaknya, Afonso Bras de Albuquerque), saiz lebar struktur kenaikan Diraja tersebut adalah 30 "palm" dan ianya mempunyai 30 roda setiap satu sebesar "hogshead".  Unit kiraan "Palm" iaitu "palmo de craveira" adalah jarak antara ibu jari ke jari kelingking iaitu 9 inci. Jadi lebarnya 270 inci (30 x 9in) iaitu 22 kaki 6 inci. Manakala "hogshead" adalah unit kiraan lama Portugis iaitu saiz tong khamar (barril de vinho / wine barrel) 52 gelen yang mempunyai diameter 28 inci. Secara logik ianya tidak mungkin bersaiz bilik kerana sesebuah bilik berbeza-beza dimensi dan tidak universal untuk dijadikan piawai ukuran. Jadi seperti yang pernah digambarkan Pieter Van Der Aa (1706), kemungkinan besar saiz kenaikan Diraja tersebut adalah seluas sebuah rumah teres moden kini iaitu lebih kurang 23 kaki x 90 kaki.

Lakaran bertajuk "Royal carriage of thirty wheels pulled by twelve Elephants" oleh Pieter Van Der Aa (1706).


Dari deskripsi yang diberi Alfonso de Albuquerque, kita ketahui bahawa kenaikan Diraja tersebut dihiasi dengan pelbagai jenis panji sutera yang berwarna-warni. Jika kita rujuk kepada arkib Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam tentang kenaikan Diraja yang pernah digunakan Kesultanan Brunei, mungkin kita dapat menggambarkan jenis-jenis panji, struktur mahligai, dan alat kebesaran yang disusun diatas struktur kenaikan Diraja Melaka tersebut.  Alat perhiasan Diraja Brunei samada bagi kenaikan darat mahupun kenaikan laut terbahagi kepada dua jenis.  Pertama adalah hiasan menengah (di bahagian tengah) yang terdiri dari Tunggul Charok, Sandaran, Ula-Ula Besar dan Sumbu Layang, Payong Haram, Payong Ubor-Ubor Tiga Tingkat, Cogan Ugama, Cogan Istiadat (Cogan Diraja), Mahligai, Payong Tinggi, Alam Bernaga (Alam Besar), Pisang-Pisang, dan Tunggul Buritan.  Kedua, hiasan di bahagian sisi kenaikan yang terdiri dari Payong Ubor-Ubor, Ambal, Tunggul Kawan, Dadap (yang diatur menurut susunan warna yang bermula dari warna kuning hingga ke warna merah-jambu), Rawai Lidah, dan Sapu-Sapu Ayeng.

Alat-Alat Perhiasan Diraja.
Sumber: Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam.

Alat-Alat Perhiasan Diraja.
Sumber: Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam.


Kedua-dua jenis perhiasan Diraja ini adalah alat utama yang dipasang sebelum diadakan majlis-majlis yang beristiadat seperti Istiadat Berpuspa, Istiadat Perkahwinan Diraja, Istiadat Bertindik dan Berkhatan Diraja, Istiadat Mengarak Wazir, dan mana-mana jua istiadat yang disifatkan penting. Sebahagian dari alat-alat perhiasan Diraja ini juga diatur di sepanjang jalan yang menuju ke Istana atau di mana jua tempat mengadakan majlis-majlis beristiadat.

Jadi bukan sekadar hiasan, panji-panji sutera yang disaksikan Alfonso de Albuquerque sejurus kejatuhan Kesultanan Melaka ini adalah sebahagian dari alat kelengkapan dan perhiasan khusus yang melambangkan kebesaran dan kekuasaan institusi Kesultanan Melaka itu sendiri. Malang sekali semuanya itu telah musnah, termasuklah segala khazanah ilmu, naskhah buku-buku, peta-peta, perutusan-perutusan, tulisan di daun-daun lontar dan sebagainya yang turut dijilat api bersama hadiah-hadiah diplomatik dan artifak-artifak sejarah peradaban Melayu yang disimpan di Istana Melaka.


Sumber:

  1. Alat-Alat Perhiasan Diraja. Jabatan Adat Istiasat Negara. Jabatan Perdana Menteri. Brunei Darussalam. Diekstrak dari: http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Perhiasan%20Diraja.aspx
  2. Di Manakah Hang Tuah Ketika Melaka Diserang Portugis? Historybuff. 15.11.2019. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/11/di-manakah-hang-tuah-ketika-melaka.html
  3. Fernão Lopes de Castanheda, 1551. História do descobrimento e conquista da India pelos portugueses (History of the Discovery and Conquest of India by the Portuguese).
  4. Pieter Van der Aa, 1706-1708. Naaukeurige versameling der gedenk-waardigste zee en land-reysen na Oost en West-Indiën. Leyden.
  5. Richard James Wilkinson, 1932. The Early Sultans of Pahang. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. Vol. 10, No. 1 (113) (Jan. 1932). pp 45-54.
  6. Rui Manuel Loureiro, 2008. Historical Notes On The Portuguese Fortress In Malacca (1511-1641). Revista de Cultura Vol 28, 2008, pp. 78-96.
  7. Walter de Gray Birch, 1875. The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, Second Viceroy of India. 





Saturday 24 July 2021

Pelayar Melaka ke Amerika sebelum Columbus?


Gambar 1: Lukisan Jong Jawa. Sumber: Kaskus.co.id


Menurut kajian Howard Barraclough Fell (1917-1994) atau Barry Fell dalam bukunya 'Saga America' (1980) (Gambar 2), terdapat prasasti yang dijumpai dalam sebuah gua di wilayah Corinto di El Salvador, Amerika Tengah yang membuktikan bahawa Christopher Columbus adalah bukan orang pertama yang "menjumpai" benua Amerika.

Gambar 2: Barry Fell dan penulisannya dalam America BC Series. Sumber: Youtube Emperor Tigerstar.

Prasasti tersebut dikatakan ditulis dalam aksara Arab (Jawi) pada sekeping batu yang mencatat perkataan "Khatib Melaka Haji Mi Malaya" (Gambar 3).  Menurut Fell (1980), Yucel (2007) dan Hassan (2018) ukiran pada sekeping batu ini dibuat sekitar kurun ke-13, dan bukti kukuh bahawa pedagang Islam Nusantara yang telahpun mengerjakan haji berjaya sampai ke benua Amerika sebelum kedatangan Christopher Columbus.


Gambar 3: Tulisan Jawi yang dikatakan wujud pada sekeping batu di El Salvador, Amerika Selatan. Sumber: Saga America (1980).


Gambar 4: Tapak arkeologi Tazumal di El Salvador. Sumber: Wikipedia.


Apa yang menjadi sandaran utama kesahihan hipotesis Barry Fell ini adalah beliau seorang pengkaji dari universiti terulung di Amerika Syarikat iaitu Harvard. Berdasarkan logik ini, mungkin ramai yang berpendapat beliau tidak mungkin terkhilaf dalam hipotesis yang dibuat. 

Persoalannya adakah kita perlu terima bulat-bulat hipotesis beliau tanpa meneliti pandangan dan penyelidikan lain tentang hasil kajian dari Harvard ini?

Pertamanya, Barry Fell ini adalah seorang ahli biologi marin dan bukannya seorang ahli arkeologi mahupun sejarah. Kajian asas beliau adalah dalam bidang zoologi invertebrata. Sememangnya kelainan bidang kajian tidak semestinya membuat sesuatu rumusan akademik itu lemah atau dangkal.  Akan tetapi dalam kes Barry Fell ini, kelemahan kajiannya dikatakan amat ketara.  Pakar arkeologi terkemuka bernama David H Kelley (1990) mencatat pandangan berikut tentang penulisan Barry Fell berkenaan arkeologi dan kajian prasasti:-

 "Fell's work [contains] major academic sins, the three worst being distortion of data, inadequate acknowledgment of predecessors, and lack of presentation of alternative views."

Williams (1991) dan Feder (1996) merumuskan bahawa teori dan dapatan Barry Fell berkenaan kajian prasasti adalah tidak diterima umum. Kajian empirikal yang dibuat oleh Feder (1984) berdasarkan sampel 340 orang tenaga pengajar dalam bidang arkeologi merumuskan bahawa 95.7% darinya mempunyai pandangan negatif terhadap hipotesis Barry Fell dan mengklasifikasikannya sebagai "pseudo-archaeology". Lihat juga kritikan yang dibuat terhadap Barry Fell dalam "Bad History - The America BC Series by Barry Fell":-



Secara spesifik, Lesser (1983) iaitu seorang ahli sejarah dan arkeologi menyatakan rumusan dan dapatan Barry Fell tentang prasasti yang kononnya membuktikan 'Brendan of Clonfert' (c. AD 484 – c. 577) dari Ireland telah sampai ke West Virginia, Amerika Utara, pada abad ke-6 dalam bukunya 'Saga America' adalah pseudo-saintifik dan tidak boleh dipercayai.
 
Berdasarkan dapatan yang sama, Oppenheimer dan Wirtz (1989) dalam mengkaji 'Saga America' merumuskan bahawa hipotesis Barry Fell tentang prasasti di West Virginia tersebut adalah suatu "deliberate fraud" iaitu penipuan yang disengajakan.

Berbalik kepada catatan Barry Fell berkenaan tulisan Jawi yang kononnya wujud di zaman Maya dan Aztec di El Salvador, tiada maklumat tentang lokasi tepat prasasti tersebut dan juga tiada bukti fizikal mahupun fotografi dirakamkan. 

Seterusnya, hipotesis Barry Fell ini juga bercanggah dengan garis masa penubuhan Kesultanan Melayu Melaka itu sendiri. Melaka dirumuskan beliau sudah wujud pada kurun ke-13, walhal sumber primer membuktikan bahawa ianya ditubuhkan Parameswara pada awal kurun ke-15.

Manakala perkataan "Malaya" pula adalah suatu "exonym" iaitu perkataan nama tempat yang berasal atau disebut oleh pihak luar, khususnya pihak Inggeris yang tiba ke Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke-18. Semenanjung Tanah Melayu dibawah kedatuan Srivijaya pada kurun ke-13 tidak mungkin disebut "Malaya" oleh rakyatnya. 

Kemungkinan besar Barry Fell ingin mereka-cipta individu seperti dalam catatan Shih-pi iaitu pengembara semasa Dinasti Yuan / Mongol (1271–1368) yang pernah mencatat kewujudan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la". W. George Maxwell (1909) merumuskan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" adalah transliterasi dari nama Haji Kadir Nakhoda. Ha-ji-ka-ta-na-ka-la dari kepulauan Jawa dikatakan telah mengutus watikah yang ditulis dalam dakwat emas kepada Maharaja Mongol sekitar 1292. Rumusan W. George Maxwell ini adalah tidak tepat kerana Jawa (Singhasari) ketika itu diperintah Sri Kertanegara yang beragama Hindu-Buddha. Jadi "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" mungkin adalah transliterasi bagi nama Sri Kertanegara dan bukannya Haji Kadir Nakhoda.

Dengan itu, sama dengan dapatan prasasti West Virginia dalam 'Saga America', rumusan Barry Fell tentang kewujudan pengembara bernama Khatib Melaka Haji Mi Malaya di Amerika Tengah pada kurun ke-13 adalah dangkal dan juga berkemungkinan hasil dari penipuan arkeologi yang disengajakan. Sejarah tentang kemahiran pelayaran masyarakat Nusantara sememangnya kukuh dan tidak perlu ditokok tambah dengan bukti-bukti yang tidak sahih dan menjurus kepada penipuan.

Sumber: 

  1. Feder, Kenneth L. (1984). "Irrationality and Popular Archaeology". American Antiquity, Vol. 49, No. 3, pp. 525-541.
  2. Feder, Kenneth L. (1996). Frauds, Myths, and Mysteries: Science and Pseudoscience in Archaeology. Mountain View: Mayfield. pp. 101–107.
  3. Fell, Barry (1980). Saga America. Time Books, New York.
  4. Hassan, Syed Ali (2018). Muslim Roots of America, Murray State University.
  5. Kelley, D. H. (Spring 1990). "Proto-Tifinagh and Proto-Ogham in the Americas: Review of Fell; Fell and Farley; Fell and Reinert; Johannessen, et al.; McGlone and Leonard; Totten". The Review of Archaeology.
  6. Lesser, W. Hunter (1983). "Cult Archaeology Strikes Again: A Case for Pre-Columbian Irishmen in the Mountain State?"
  7. Maxwell W.G. (1909). Groeneveldt's Notes on the Malay Archipelago and Malacca. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. No. 52 (March, 1909), pp. 105-110.
  8. Oppenheimer, Monroe; Wirtz, Willard (1989). "A Linguistic Analysis of Some West Virginia Petroglyphs"
  9. Williams, Stephen (1991). Fantastic Archaeology. Philadelphia: University of Pennsylvania Press. pp. 264–273.
  10. Yucel, Salih (2007).  Islam & Muslims in America before Columbus, Fountain Magazine.




Thursday 17 June 2021

Cindai Laksamana Hang Tuah

Gambar 1: Sutera laut dari pulau Sardinia, Itali.
Sumber: Pinterest.com


Sekiranya benar delegasi pembesar Kesultanan Melayu Melaka pernah membeli bedil di Rum (Turki Uthmaniyah) dan singgah ke Mekah menunaikan fardhu haji, mungkinkah mereka juga telah ke Itali? Pada pendapat saya kebarangkalian delegasi Melaka telah tiba di Itali adalah lebih tinggi setelah menemukan rekod kewujudan pemberian cindai sutera buatan Itali oleh Sultan Melaka kepada delegasi Cina pada abad ke-15.

Menurut rekod harian Kerajaan Ming iaitu Ming Shi-lu yang diterjemahkan oleh Geoffrey Wade (1994), cindai atau tenunan sutera dari Itali ini adalah sebahagian dari hadiah perpisahan yang dikurniakan oleh Sultan Melaka kepada timbalan duta Kerajaan Ming bernama Zuo Fu pada sekitar tahun 1486. Peristiwa yang berlaku di Melaka ini juga selari dengan kronologi perjalanan delegasi Kesultanan Melaka ke Rum yang singgah ke Mekah sebelum pulang untuk berperang dengan Annam seperti yang pernah diketengahkan sebelum ini. (Lihat Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji).

Tentangan utama yang mungkin timbul terhadap hipotesis ini adalah konflik yang ketika itu berlaku antara Turki Uthmaniyah dengan Eropah, dan khususnya Itali sekitar 1480an. Ketika itu, peperangan Oranto di selatan Itali baru sahaja berlaku antara Turki Uthmaniyah dengan Kingdom of Naples. Jadi mungkin boleh dipersoalkan lojik disebalik perjalanan rombongan pembesar Melaka dari Turki yang dibenarkan ke Itali di zaman Perang Uthmaniyah tersebut.

Pada saya perjalanan ke Itali ini tidak mustahil sekiranya rombongan Melaka tersebut menggunakan statusnya sebagai negeri-negeri dibawah naungan Kerajaan Ming yang ketika itu mempunyai jalinan diplomatik dengan Papal States, Republik Venice dan Kerajaan-Kerajaan lain di semenanjung Itali secara amnya. Berbekal dengan suratcara bersama persalinan khas yang menunjukkan pangkat taraf Menteri Ming yang diperoleh Laksamana Melaka pada tahun 1481, saya rasa tidak mustahil Kerajaan-Kerajaan Itali menerima baik rombongan pembesar Melaka sepertimana rombongan diplomatik mereka diterima baik oleh Kerajaan Ming. (Lihat Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam).

Untuk menjejak jalan cerita kewujudan cindai Laksamana Hang Tuah ini kita perlu meneliti catatan rekod kerajaan Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL) bermula dari 1475 hingga 1487, dan juga rekod kerajaan Ryukyu iaitu Rekidai Hōan (RH) dari 1480 hingga 1481. 

Ritual pertabalan Ming diterjemah Geoffrey Wade (1994) sebagai "enfeoffment" iaitu suatu upacara adat istiadat zaman pertengahan di mana pemerintah negeri-negeri feudal yang berikrar taat setia kepada Maharaja Ming akan melalui istiadat pengiktirafan. Penyempurnaan upacara istiadat ini mendatangkan manfaat dari segi penerimaan naungan dan legitimasi pemerintahan. Boleh dikatakan agak bermasalah juga proses pertabalan Sultan Melaka ke-7 ini. Pada asasnya, Maharaja Ming iaitu Maharaja Chenghua (1447-1487) dicatat bersungguh-sungguh ingin menyempurnakan proses pertabalan walaupun pelbagai aral yang datang menimpa. 

Menurut MSL, pada Ogos 1481 Maharaja Chenghua menghantar perutusan pertabalan Sultan "Ma-ha-mu Sha" yang diketuai duta bernama Lin Rong. Malangnya, kapal Lin Rong karam dalam pelayaran ke Melaka. Perutusan pertabalan yang dihantar pada Jun 1484 juga gagal akibat kematian duta Zhang Sheng setibanya di Ganzhou, selatan Cina. Tugas duta Zhang Sheng untuk misi tersebut telah diambil alih oleh timbalannya bernama Zuo Fu yang bertolak ke Melaka pada Oktober 1485. Zuo Fu dicatat mengambil risiko tinggi dalam meneruskan perjalanan dihujung musim pelayaran demi untuk segera sampai ke Melaka tanpa menunggu duta pengganti dari Kota Larangan.

Setelah lebih dari setahun menetap di Melaka dan dalam menghargai khidmat Zuo Fu, Sultan "Ma-ha-mu Sha" telah menghadiahkan Zuo Fu barang-barang berharga termasuk cindai iaitu kain lepas yang diperbuat dari sutera Itali.

Saya merumuskan bahawa ianya berasal dari Itali kerana MSL mencatat bahawa ianya adalah "Western Ocean cloth" (MSL: 16.4.1487). Menurut catatan dalam The Chinese Repository (1849), "western ocean cloth", "western sea cloth" atau "water sheep" adalah nama gelaran yang diberikan orang Cina bagi "sea silk" atau sutera laut. Bahan asas tenunan sutera laut ini iaitu filamen dari cengkerang jenis Pinna nobilis hanya dihasilkan di Laut Mediterranean dan hanya ditenun di Itali iaitu di wilayah Sardinia, Taranto, dan Apulia (Lihat Gambar 2). Lokasi penemuan fosil dan sisa cengkerang Pinna nobilis juga didapati hanya wujud sekitar perairan utara Laut Mediterranean. (Lihat Gambar 3).

Gambar 2: Cengkerang jenis "Pinna nobilis". 
Sumber: 2000sub.org



Gambar 3: Lokasi fosil dan sisa cengkerang Pinna nobilis.
Sumber: Soriga E. & Carannante A. (2017)


Artifak tenunan sutera laut laut tertua yang masih ada dalam simpanan adalah sehelai penutup kepala (skull cap) abad ke-14 yang dijumpai di utara bandar Paris sekitar tahun 1970an. (Lihat Gambar 4). Pembuatan tekstil sutera laut ini kini hanya dijalankan oleh seorang wanita bernama Chiara Vigo yang menetap di pulau Sardinia. Beliau mempelajari teknik penenunan sutera laut Sardinia dari neneknya. (Lihat Gambar 5).

Gambar 4: Penutup kepala (skull cap) abad ke-14 yang diperbuat dari tekstil sutera laut.
Sumber: Musée d'Art et d'Histoire, Unité d'Archéologie.



Gambar 5: Chiara Vigo iaitu wanita terakhir yang menenun sutera laut.
Sumber: BBC News Magazine. Kredit FB Parang Kraf.


Sutera laut dari pulau Sardinia yang dihasilkan turun temurun oleh keluarga Chiara Vigo dikatakan akan bersinar dengan warna keemasan setelah direndam di dalam jus citrus lemon bercampur rempah. (Lihat Gambar 1). Tidak seperti sutera biasa, sutera laut bersifat kalis air, kalis bahan kimia, dan tidak mudah terbakar. Perkara ini selari dengan cerita yang banyak diperkatakan tentang kegunaan cindai di alam Melayu. Malah menurut pandangan Tengku Nara Paduka (2021), seorang pengkaji seni mempertahankan diri, terdapat contoh tenunan sutera laut Itali yang ditenun sekitar abad ke-18 menyerupai chain maille iaitu pakaian perisai yang selalunya diperbuat dari rantai besi (Lihat Gambar 6).

Gambar 6: Tenunan sutera laut dari Itali yang berbentuk chain mille iaitu pakaian perisai yang selalunya diperbuat dari rantai besi.
Sumber: Muséum d'Histoire naturelle de Neuchâtel, Switzerland.


Kain sutera khususnya dalam bentuk cindai sememangnya barang berharga yang menjadi koleksi bangsawan Melayu, apatah lagi sekiranya diperbuat dari sutera laut yang merupakan tekstil termahal di dunia. Dari segi nilai, catatan Abu Ishaq Ibrahim ibn Muhammad al-Farisi al-Istakhri, iaitu seorang pengembara Parsi abad ke-10 merekodkan bahawa sehelai jubah yang diperbuat dari sutera laut yang dipanggil ṣūf al-baḥr (sea wool) dikatakan berharga 1000 keping emas. Di zaman pemerintahan Rom sekitar abad ke-4 pula, undang-undang khusus digubal di mana hanya golongan bangsawan tertentu sahaja dibenarkan memakai jubah sutera laut. Juga direkodkan bahawa rujukan terhadap sutera laut wujud dalam prasasti Batu Rosetta, catatan Mesir purba, dan juga kitab Injil. Antara cerita yang popular tentang sutera laut termasuk mitos bahawa ianya adalah berkait dengan ikan duyong, dan pelbagai jenis mahluk mistik dan mahluk halus. Juga terdapat rekod yang menceritakan bahawa ianya digunakan sebagai kain membalut mumia firaun-firaun Mesir.

Peribahasa Melayu ada menyebut "Biar mati berkapankan kain cindai, jangan kain kadut." iaitu bermaksud lebih baik mati daripada merosakkan nama baik. Banyak juga pantun Melayu yang menggambarkan nilai estetika cindai, contohnya:-

Perahu belayar menyusur arus,
   Patah kemudi susur di pantai;
Baik cari cindai yang halus,
   Alah beli menang dipakai.

Kapal kecil kemudi kayu,
   Hendak belayar tanah seberang;
Kain sekodi pilih sekayu,
   Boleh dapat cindai terbilang.
Cindai juga digunakan sebagai senjata dalam seni mempertahankan diri. HHT ada mencatatkan Seni Cindai digunakan semasa pertarungan antara Hang Jebat dengan Hang Tuah. Malah Seni Cindai dalam Silat Seni Gayong dikatakan berasal turun temurun dari ilmu persilatan Laksamana Hang Tuah. Lihat sedutan dokumentari National Geographic Channel berkenaan Seni Cindai tersebut:-

Sumber: Youtube Corto Combate Eksrima.
https://youtu.be/c4_CmdqYZKk


Berbalik kepada kisah Zuo Fu tersebut. Penerimaan hadiah peribadi dari negeri yang ditabalkan pemerintahnya adalah bercanggah dengan undang-undang Kerajaan Ming. Akibatnya, Menteri Adat Istiadat (Minister of Rites) telah menyita hadiah-hadiah tersebut sejurus kepulangan Zuo Fu ke Kota Larangan. Setelah dirayu, perintah tentang rampasan barang-barang berharga dikekalkan. Manakala perintah berkenaan rampasan terhadap cindai sutera laut tersebut telah ditarik balik. Perintah Maharaja (Imperial Orders) telah dikeluarkan bagi mengampuni kesalahan Zuo Fu dan memelihara haknya terhadap cindai tersebut. Alasan yang diberikan adalah bahawa ianya bagi menghargai usaha dan jasa Zuo Fu dalam meredah lautan di hujung musim pelayaran demi melaksanakan tugasnya. Saya petik terjemahannya di sini:-

 "Zuo Fu has crossed the oceans and experienced great difficulties. He is pardoned and is not to be punished. The valuables are to be retained, while the Western Ocean cloth is to be given to Fu."

Hipotesis saya bahawa hadiah cindai ini berkait dengan Laksamana Hang Tuah pula adalah berasaskan rujukan silang MSL dan RH dengan mahakarya-mahakarya Melayu iaitu Sejarah Melayu (SM) dan juga Hikayat Hang Tuah (HHT). Seperti yang diketengahkan sutera laut tersebut mungkin diperoleh semasa lawatan pembesar Melaka tersebut ke Timur Tengah dan Eropah. Saya percaya kerana harganya yang amat tinggi ia dibeli secara terus dari sumbernya dan bukannya diekspot pedagang Turki atau Timur Tengah. 

Seterusnya, MSL mencatat setelah kemangkatan Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah (d. 1477), tahta Kesultanan Melaka diwarisi putera Sultan Mansur Shah yang bernama Sultan "Ma-ha-mu Sha" (MSL: 23.8.1481). Rekod MSL mencatat Sultan "Ma-ha-mu Sha" sebagai putera tunggal Sultan Mansur Shah. Ini bercanggah rekod sejarah yang diketahui umum yang menyatakan Sultan Mansur Shah ketika itu mempunyai putera-putera lain yang lebih dewasa iaitu Raja Muhammad (Sultan Pahang I - b. 1455 – d. 1475dan Raja Ahmad (Sultan Pahang II - b. ? - d. 1495), hasil perkahwinan dengan Puteri Onang Sari; dan Raja Husain @ Sultan Alauddin Riayat (b. ? - d. 1488) hasil perkahwinan dengan Raden Galoh Cendera Kirana. Jika dikaji, ketiga-tiga putera Sultan Mansur Shah ini lahir sekitar 1450an dan bukannya 1470an iaitu anggaran tarikh kelahiran Sultan "Ma-ha-mu Sha".

Menurut RH, surat-surat Laksamana Melaka yang diutus kepada Raja Shō Shin (1465–1527) pada 1480 dan 1481 juga mencatat identiti Sultan Melaka yang berbeza iaitu Sultan "Ma-an Shan". Ketika itu segala kuasa mohor perwakilan dan hak diplomasi diamanahkan kepada Laksamana Melaka kerana Sultan "Ma-an Shan" dikatakan masih belum dewasa. Jadi, dirujuk silang SM dan HHT, Laksamana Melaka yang berkhidmat di era pemerintahan Sultan Mansur Shah tersebut adalah dikenali sebagai Laksamana Hang Tuah. Ketika itu, di mata kerajaan Ming dan Ryukyu, Laksamana Melaka tersebut adalah dianggap "Regent" iaitu wakil rasmi atau de facto Raja kerana Sultannya masih belum dewasa. 

Jadi kesimpulannya, hadiah cindai sutera laut Itali kepada Zuo Fu tersebut adalah suatu pemberian diplomatik Laksamana Hang Tuah. Samada diniatkan ataupun tidak, pemberian diplomatik yang menimbulkan isu di Kota Larangan ini dapat membuktikan bahawa pertalian Kesultanan Melayu Melaka dengan Eropah telah terjalin lebih awal dari apa yang dicatat oleh rekod Portugis.

Rujukan:

  1. Geoffrey Wade (1994). The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries.
  2. Kain Cindai. Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Kain_Cindai
  3. Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji. 20.10.2019. Historybuff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/kisah-hang-tuah-menunaikan-haji_20.html
  4. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969). Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. 
  5. Max Paradiso (2015). Chiara Vigo: The last woman who makes sea silk. BBC News Magazine. 2.9.2015. Diekstrak dari https://www.bbc.com/news/magazine-33691781.amp
  6. Nara (Tengku Nara Paduka). Facebook comment on 16.6.2021. Diekstrak dari https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10218331113573617&id=1365243090
  7. Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam. 20.10.2019. Historybuff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/peranan-hang-tuah-dalam-kes-pertikaian.html
  8. Sea Silk, Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Sea_silk
  9. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
  10. Soriga E., Carannante A., 2017. Tangled threads. Byssus and sea silk in the Bronze Age: an interdisciplinary approach. In H. Landenius Enegren, F. Meo (eds.) Treasures from the Sea. Sea Silk and Shellfish Purple Dye in Antiquity. Oxbow, Oxford, pp. 29-45
  11. Traces of Primative Christianity in Eastern Asia, The Chinese Repository, Vol XVIII, pp. 485-503, January-December 1849. Canton.



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...