Popular Posts

Friday 16 April 2021

Kerajaan Melaka bermula 1160M?

 

Gambar 1: Illustrasi Kota Melaka di bawah jajahan Belanda.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).

Berdasarkan catatan Belanda dalam 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India) (1724) oleh François Valentijn (1666-1727), penubuhan Melaka sebagai sebuah kerajaan maritim 'thalassocracy' dikatakan bermula pada tahun 1160 dan berpusat di Singapura (Gambar 2). Ini adalah 242 tahun lebih awal dari tarikh penubuhan kerajaan Melaka yang diketahui umum.  Valentijn menyatakan bahawa kerajaan ini kemudian berpindah ke kota Melaka pada tahun 1252, dan kemudian ke Johor bermula tahun 1511 iaitu setelah kota Melaka jatuh ke tangan Portugis. 

Gambar 2: Catatan senarai 22 Raja dan Sultan Melaka dari 1160 sehingga 1708.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Seperti kerajaan-kerajaan maritim sebelumnya, pusat pentadbiran dan ibu negerinya sentiasa berpindah-pindah. Jadi, setakat tahun 1708 iaitu semasa catatan tersebut dibuat, Valentjin (Gambar 3) merumuskan bahawa usia kumulatif kerajaan berdaulat dibawah pemerintahan Raja-Raja Kesultanan Melaka adalah 547 tahun 11 bulan (dan berterusan). 

 

Gambar 3: Lakaran François Valentijn (1666-1727).
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Mungkin berdasarkan lojik ini sesetengah negara barat seperti Belanda, Perancis dan Turki menggelar Semenanjung Tanah Melayu sebagai "Melaka" sehingga abad ke-19 (Lihat Peta Semenanjung Tanah Melayu tahun 1803 oleh Turki dalam Gambar 4). Pada mereka, entiti Melaka sebagai sebuah kerajaan berdaulat adalah berterusan selagi ianya diperintah kerajaan yang berkesinambungan pemerintahannya dengan Raja-Raja dari Kesultanan Melaka.

Gambar 4: Cedid Atlas (1803) iaitu Peta Kerajaan Turki Uthmaniyyah dibawah Sultan Selim III, yang dibuat dan diterjemah oleh Mahmud Raif Efendi berasaskan peta William Faden.


Bagi Belanda, walaupun mereka menjajah dan menjarah hasil bumi di Semenanjung Tanah Melayu, serangan awal ke atas kapal Portugis dan penaklukan yang dilakukan terhadap Portugis di kota Melaka adalah di atas justifikasi mengembalikan kota Melaka tersebut kepada waris sebenar Kesultanan Melaka (Lihat Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden). Bagi British pula, walaupun mereka mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu melalui sistem residen, ianya dilakukan atas "persetujuan" yang diberikan oleh Raja-Raja Melayu itu sendiri. Pada kesemua masa yang material, walaupun kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu dihadkan, ianya tidak pernah terbatal secara keseluruhan.

Gambar 4: Tajuk bagi catatan berkenaan Melaka.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Sekiranya dikaji, catatan Belanda ini lebih kurang sama dengan tarikh dalam 29 versi Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang menyatakan Melaka diasaskan pada 1262. Catatan Belanda ini mempunyai dua fakta tambahan iaitu ianya menyatakan perpindahan dari Singapura ke Melaka berlaku pada 1252, dan Raja-nya memeluk Islam pada 1276.

Walaubagaimanpun, seperti kita maklum rekod Portugis menyatakan tarikh-tarikh yang berbeza. Melaka dikatakan ditubuhkan putera Srivijaya iaitu Parameswara pada tahun 1402. Rekod Portugis ini adalah lebih probatif kerana ianya selari dengan rekod Cina. Melalui rekod hal ehwal Dinasti Ming (Ming Shi-lu), lawatan terakhir Srivijaya (San Fo Qi) ke Cina adalah pada 30.11.1377.  Manakala lawatan terakhir Majapahit (Java) adalah pada 3.10.1402. Terbukti bahawa tiada catatan berkenaan Melaka sebelum itu. 

Rekod berkenaan Melaka di Cina hanya wujud bermula pada 28.10.1403 iaitu rekod tentang Yi Qing yang dihantar sebagai utusan ke Melaka. Apa yang menarik adalah rekod Cina ada mencatat nama-nama Raja dan Sultan Melaka dan juga tarikh lawatan yang dibuat. Secara ringkasnya, rekod Ming Shi-lu tersebut mencatat bahawa terdapat 4 Raja-Raja Melaka berikut telah tiba di Kota Larangan:-

  1. Bai-li-mi-su-la (拜里迷蘇剌) (Parameswara) pada tahun 1405 dan 1411;
  2. Mu-wo Sa-yu-di-er Sha / Mu-gan Sa-yu(gan)-di-er Sha (Megat Iskandar Shah) pada tahun 1414;
  3. Xi-li Ma-ha-la-zhe (西哩麻哈剌者) (Sri Maharaja / Sultan Muhammad Shah) pada tahun 1424, 1433 & 1434; dan
  4. Su-dan Mang-su Sha (蘇丹茫速沙)(Sultan Mansur Shah) pada tahun 1459.

Tarikh-tarikh lawatan Raja-Raja Melaka ke Cina ini selari dengan rekod dan susunan tarikh pemerintahan rasmi Raja-Raja Melaka tersebut yang diketahui umum. Ianya juga ternyata bercanggah dengan tarikh pemerintahan dalam catatan Belanda dan Sejarah Melayu.  Dengan itu, boleh dirumuskan bahawa catatan Belanda tersebut adalah tidak berapa tepat dan mungkin dibuat oleh Valentijn berdasarkan teks-teks awal Sejarah Melayu.


Rujukan: 

  1. 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India), Vol. 5, oleh François Valentijn (1724).
  2. Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden. 10 Mei 2020. History Buff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/05/peranan-johor-dalam-membentuk-undang.html
  3. Sejarah Melayu versi Raja Bongsu (MS18 Stamford Raffles).
  4. Suma Oriental que trata do Mar Roxo até aos Chins (Summa of the East, from the Red Sea up to the Chinese), Tome Pires, 1512-1515.
  5. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).



Tuesday 2 March 2021

Tembikar 'Johore' di Scotland

Gambar 1: Pinggan tembikar 'Johore' di Muzium Scotland.
Sumber: National Museum of Scotland.


Di National Museum of Scotland terdapat 6 biji pinggan tembikar abad ke-19 yang diberi nama 'Johore' (Gambar 1). Ia adalah sebahagian dari koleksi artifak yang membuktikan kemahiran dan keusahawanan lebih dari 40 syarikat Scotland dalam industri pembuatan tembikar dan seramik berkualiti tinggi dari abad ke-19 hingga ke-20. Hunterian Museum & Art Gallery di Glasgow, Scotland juga menyimpan koleksi tembikar-tembikar ini. Ianya diwasiatkan kepada muzium tersebut oleh Henry E Kelly, seorang pakar seramik, yang telah meninggal dunia pada tahun 2008.

Dari segi rekabentuk lukisan, corak pada pinggan 'Johore' ini memaparkan seni lukisan chinoiserie iaitu lukisan Barat yang menggunakan motif Cina. Terdapat lakaran bentuk kipas yang mengandungi pemandangan kapal dagang dan pagoda. Bahagian sisi sempadan pinggan memaparkan sampan, kapal-kapal dagang, pemandangan pelabuhan, rama-rama, dan burung-burung eksotik. Apa yang menarik, ianya lengkap dengan cop atau deskripsi dalam tulisan Jawi "جوهر" di setiap bahagian belakang pinggan corak bernama 'Johore' tersebut (Gambar 2).

Gambar 2: Pinggan tembikar 'Johore'  tahun 1887 yang berjaya dilelong dengan harga GBP813 (RM4,600). Di sebelah  belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 83485, bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.

Jika dirujuk silang aktiviti jual-beli barangan antik, pihak pelelong Christie's International PLC (Christie's) didapati pernah melelong beberapa biji pinggan 'Johore' ini sekitar tahun 2007 dengan harga antara GBP125 hingga GBP813 setiap satu.  Ianya adalah sebahagian dari koleksi 700 pinggan-pinggan tembikar milik Edwin Robertson yang diperoleh semasa beliau bertugas di Palembang, Sumatera sekitar tahun 1970-an. 

Minat pengkaji Scotland terhadap tembikar corak gabungan Asia Timur dan Nusantara ini mula timbul apabila John Fisher dari persatuan sejarah Motherwell menjumpai serpihan tembikar di Springburn, Glasgow sekitar Julai 1975 (Gambar 3). Dari kajian pihak Scottish Pottery Society, ianya dapat disahkan bahawa serpihan tembikar tersebut berkait dengan syarikat tembikar bernama J. & M.P. Bell & Company Limited ("Bells") yang memulakan industri pembuatan tembikar di Glasgow pada tahun 1841. Apa yang menarik, lukisan pada tembikar yang ditemui berbentuk seperti lukisan dari Cina; manakala nama coraknya ditulis dengan huruf Jawi. 

Gambar 3: Serpihan tembikar yang dijumpai pada tahun 1975 di Springburn, Glasgow, Scotland.
Sumber: Cruickshank (1978) & Scottish Pottery Society.


Pada mulanya pihak pengkaji menyangka ianya adalah tulisan aksara Burma. Setelah dirujuk silang senarai produk Bells, ianya adalah tulisan Jawi yang dicetak di belakang pinggan corak 'Woosung' (Wusong) iaitu corak yang dinamakan sempena nama sebuah bandar pelabuhan di utara Shanghai (Gambar 4).


Gambar 4: Pinggan tembikar 'Woosung'.
Di sebelah belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: National Museum of Scotland.


Melalui rekod pihak berkuasa tempatan, syarikat Bells tersebut dikenalpasti telah menjalankan perusahaan tembikar di Glasgow pada pertengahan abad ke-19. Lokasi kilang mereka yang digelar 'Glasgow Pottery' terletak berhampiran terusan Clyde (Gambar 5).

Gambar 5: Peta lokasi syarikat Bells
Sumber: Scottish Pottery Society


Kajian dan ekskavasi oleh Glasgow University Archaeological Research Department pada tahun 1996 membuktikan tapak kilang Bells atau Glasgow Pottery tersebut telah digunakan untuk membuat tembikar secara besar-besaran seawal tahun 1852 (lihat Gambar 6). 

Gambar 6: Peninggalan klin pemanasan tembikar di tapak ekskavasi Glasgow (Bells) Pottery, 1996.
Sumber: Glasgow University Archaeological Research Department.

Gambar-gambar arkib yang disimpan pihak muzium juga membuktikan aktiviti pembuatan tembikar ditempat yang sama. Lihat pekerja-pekerja syarikat Bells pada tahun 1901 dalam Gambar 7, 8 & 9.

Gambar 7: Pekerja "Pressing & Jolly Shop" di  J. & M.P. Bell & Company Limited pada tahun 1901.
Sumber: National Museum of Scotland. 

Gambar 8: Pelukis & penghias Tembikar di  J. & M.P. Bell & Company Limited pada tahun 1901
Sumber: National Museum of Scotland.


Gambar 9: Pekerja "Hollowware Pressers" di  J. & M.P. Bell & Company Limited pada tahun 1901.
Sumber: National Museum of Scotland.


Menurut National Museum of Scotland, syarikat Bells bersama pesaing-pesaing dari Scotland mula mengekspot produk tembikar mereka ke Asia Tenggara dan Asia Timur sekitar tahun 1850-an. Produk-produk awal Bells dan pesaing-pesaingnya ke Asia Tenggara dikatakan tidak mempunyai deskripsi dalam tulisan Jawi.

Kajian menunjukkan bahawa selepas kematian pewaris terakhir Bells pada tahun 1880, terdapat sekumpulan pedagang yang telah membeli kilang Bells dan mula menghasilkan pinggan-pinggan dengan teknik "transfer printing" terhadap tembikar "earthenware".  Memandangkan sepan digunakan untuk menekap dan memindah corak, pinggan-pinggan ini juga digelar "spongeware" dan "transferware". Imej-imej tekapan yang digunakan bersekitar imej pemandangan landskap, pagoda, rumah, kapal, haiwan, unggas dan buah-buahan. Manakala nama-nama corak yang diberikan adakah berkait dengan nama-nama pelabuhan dan negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Siam, Burma, Hindia Timur (Indonesia), Taiwan, Jepun dan Cina. 

Kajian Henry E Kelly (2001) mendapati syarikat Bells tersebut telah mendaftarkan corak 'Johore' dengan pendaftaran rekabentuk Rd. No. 83485 pada tahun 1887. Pendaftaran ini dibuat di United Kingdom Patent Office (UKPO) yang mewujudkan sistem pendaftaran rekabentuk, di mana nombor "Registered Design" (Rd.) yang didaftarkan akan dicetak dibahagian belakang setiap pinggan sebagai pengiktirafan ketulenan produk.

Menurut Henry E Kelly lagi berdasar rujuk-silang pendaftaran di UKPO, corak 'Johore' tersebut merupakan pendaftaran terawal syarikat Bells. Ianya memberi perlindungan hakcipta rekabentuk lukisan, penamaan corak, dan tulisan Jawi ("جوهر" ) selama 25 tahun. Melalui rekod perkapalan dan pengiklanan pula adalah didapati bahawa produk tembikar Bells tersebut telah diekspot ke Asia Tenggara dan Asia Timur melalui agen-agen di Pulau Pinang, Singapura, Batavia (Jakarta), Surabaya, Manila dan Cina. Kesemuanya terdapat 37 jenis corak yang berkaitan pelanggan-pelanggan Bells dari Asia Tenggara dan Asia Timur yang memesan produk tembikar buatan Scotland tersebut dari tahun 1887 sehingga 1906. 

Tulisan Jawi dipercayai digunakan syarikat Bells bermula dengan produk pinggan corak 'Johore' untuk memperoleh kelebihan daya saing melalui strategi penyetempatan produk. Strategi ekspot sebegini penting memandangkan terdapat banyak syarikat Eropah lain yang memasarkan produk tembikar seni chinoiserie mereka ke Asia Tenggara. Ketika itu syarikat Bells juga perlu bersaing dengan pembuat tembikar dari Siam, Kemboja, Vietnam dan Cina.

Selain dari 'Johore', corak dengan nama objek dan lokasi alam Melayu yang didaftarkan oleh syarikat Bells di UKPO termasuk 'Kembang Bintang' (Rd. No. 87393 tahun 1887), 'Burung Kupu' (Rd. No. 87394 tahun 1887), 'Malayesque (Rd. No. 88780 tahun 1887)', 'Tarlalu Bagus' (Rd. No. 102258 tahun 1888), 'Kalantan' (Rd. No. 112878 tahun 1888), 'Buah Nanas' (Rd. No. 115580 tahun 1888), 'Ikan China' (Rd. No. 1?8769 tahun 1889), 'Burong Supan' (Rd. No. 128553 tahun 1889), 'Buah Buah' (Rd. No. 131572 tahun 1889), 'Banda' (Rd. No. 131849 tahun 1889), 'Dhurian and Nanas' (Rd. No. 136522 tahun 1889), 'Makassar' (Rd. No. 143766 tahun 1890), 'Celebes' (Rd. No. 158409 tahun 1890), Sumatra' (Rd. No. 164182 tahun 1891), 'Ayam Jantan' (Rd. No. 174294 tahun 1891), dan 'Kapal Basar' (Rd. No. 192115 tahun 1892).  Pada masa yang sama, terdapat beberapa corak pinggan Bells yang berkait dengan Bahasa Melayu dan nama-nama tempat di Asia Tenggara yang tidak didaftarkan di UKPO. Ini termasuk 'Burong Merak', 'Pahang', 'Malacca', 'Singapore', 'Borneo', 'Sarawak', 'Bangkok', 'Palembang', 'Amboina', 'Batavia', dan 'Mollucas'. Dipercayai kebanyakan corak-corak yang tidak didaftar di UKPO ini adalah corak-corak yang dihasilkan sebelum tahun 1887.

Produk-produk tembikar yang didaftar di UKPO bermula tahun 1887 juga didapati kebanyakannya menggunakan tulisan Jawi sebagai deskripsi nama corak yang dicatat di belakang setiap pinggan (lihat Gambar 10 hingga 13). Seperti dalam Gambar 3 & 4, ada juga corak berkait dengan pelabuhan di Cina ('Woosung') yang mempunyai deskripsi corak dalam tulisan Jawi. Selain teknik penyetempatan produk melalui tulisan Jawi dan corak kesenian Nusantara, chinoiserie dan Asia Timur, terdapat juga penggunaan corak berunsur kesenian Islam iaitu bintang 8 penjuru al-Quds pada pinggan 'Kembang Bintang' (Gambar 10), dan imej bulan sabit pada pinggan 'Buah Nanas' (Gambar 13).

Gambar 10: Pinggan tembikar 'Kembang Bintang'.
Di sebelah belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 87393 (tahun 1887), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.


Gambar 11: Pinggan tembikar 'Tarlalu Bagus'.
Di sebelah  belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 102258 (tahun 1888), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: National Museum of Scotland.


Gambar 12: Pinggan tembikar 'Kalantan'. Di sebelah  belakang dicetak logo Glasgow (Bells), catatan Rd. No. 112878 (tahun 1888), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.

Gambar 13: Pinggan tembikar 'Buah Nanas' yang dihiasi bulan sabit. Di sebelah belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 115580 (tahun 1888), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.


Akan tetapi memandangkan ketiadaan rekod dan data kontemporari tentang pekerja dan sumber asal lukisan, pihak-pihak pengkaji dari Scotland tidak dapat memastikan samada syarikat Bells tersebut telah menggunakan kepakaran pelukis dan pereka dari Asia Tenggara dan Asia Timur. Walaubagaimanapun, kebarangkalian wujudnya orang-orang Scotland yang mahir menghasilkan lukisan-lukisan kesenian Asia Timur dan menulis dalam tulisan Jawi ketika itu agak tipis. Adalah dipercayai bahawa kemungkinan besar terdapat pertukaran idea dan kepakaran antara pihak Scotland dan negeri-negeri Nusantara dan Asia Timur dalam usaha penghasilan produk tembikar syarikat Bells tersebut.

Rujukan:

1. Christie's International PLC.
2. Cruickshank, G., 1978, 'Scottish Pottery Historical Review' No. 3 of 1978, pp. 22-23.
3. Cruickshank, G., 1982, 'Scottish Pottery Historical Review' No. 7 of 1982, pp. 38-41.
4. Cruickshank, G., , 'Southeast Asia: A Major Export Destination for British Transferware'.
5. Fleming, J.A. 1973, Scottish Pottery. E.P Publishing.
6. Kelly, H.E., 1999, 'Scottish Pottery'. Schiffer Publications Limited.
7. Kelly, H.E., 2006, 'The Glasgow Pottery of John and Matthew Preston Bell'. Douglas A Leishman, Revised July 2006.
8. Kelly, H.E., Kowalsky, A.A., & Kowalsky, D.E., 2001, 'Spongeware: 1835-1935, Makers, Marks and Patterns'. Schiffer Publications Limited.
9. National Museum of Scotland.
10. Scottish Pottery Society.


Monday 15 February 2021

Keris tertua di England?

Gambar 1: Cotehele House di Cornwall, England.
Sumber: Pinterest.


Kebanyakan keris dalam koleksi istana dan muzium di England adalah keris-keris Nusantara yang diperbuat sekitar abad ke-18 dan ke-19.  Akan tetapi, terdapat 4 bilah keris Nusantara yang berada di Cotehele House yang mungkin telah tiba lebih awal di England (Gambar 2-5).

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4

Gambar 5


3 darinya dipamirkan di bahagian dinding belakang tahta dalam ruang utama di Cotehele House. Kerusi tahta tersebut dikatakan diperbuat sekitar tahun 1627 (Gambar 6).

Gambar 6: Imej Cotehele House dari Youtube : Fly'n Brian https://youtu.be/Wl7vJfy45fY 

 



Cotehele House (Gambar 1) adalah sebuah rumah agam yang terletak di Cornwall, England. Rumah tersebut dibina oleh keluarga Edgcumbe sekitar 1490-an setelah merobohkan rumah asal yang wujud di situ.  Tanah seluas 885 ekar di Cornwall tersebut dimiliki keluarga Edgcumbe semenjak tahun 1353. Sebahagian dari kawasan tanah di Edgcumbe tersebut telah dihadiahkan oleh Henry Tudor (Henry VII) (1457-1509) kepada Sir Richard Edgcumbe I (1443-1489) atas khidmat dan sokongan yang diberi oleh beliau kepada House of Lancaster semasa Perang Mawar (War of the Roses) dan Pertempuran Padang Bosworth (Battle of Bosworth Field) pada tahun 1485 (Gambar 7). Dalam pertempuran bersejarah 1485 tersebut King Richard III dari House of York berjaya dikalahkan, di mana Henry VII dari House of Lancaster telah ditabalkan sebagai raja England yang baru. Peristiwa ini menandakan permulaan pemerintahan raja-raja Tudor Inggeris dari 1485 hingga 1603.

Gambar 7: Pertempuran Padang Bosworth (1485), seperti yang digambarkan oleh Philip James de Loutherbourg (1740–1812).


Keluarga Edgcumbe tersebut masih wujud sehingga kini. Walaubagaimanapun sekitar abad ke-17 mereka telah menetap sepenuhnya di Mount Edgcumbe House yang dibina pada tahun 1553. Pemilik terakhir Cotehele House, Kenelm Edgcumbe (Earl Mount Edgcumbe ke-6) (1873-1965), telah menyerahkan Cotehele House bersama-sama koleksi senjata dan perisai zaman pertengahan kepada pihak kerajaan pada tahun 1947.  

Cotehele House kini adalah antara rumah agam dibawah jagaan National Trust yang paling asli keadaannya dari segi struktur arkitektur dan hiasan dalaman. Sehingga kini ianya berterusan tidak dipasang tenaga elektrik demi untuk mengekalkan keadaan dan suasana sebenar bangunan tersebut setakat ianya ditinggalkan keluarga Edgcumbe pada abad ke-17.

Berbalik kepada koleksi keris keluarga Edgcumbe, tiada maklumat tentang bila dan bagaimana keris-keris tersebut boleh berada di situ. Jika dikaji, terdapat 4 tempoh waktu keris-keris ini mungkin tiba di Edgcumbe.

Pertama, sekitar 1555 pewaris Edgcumbe iaitu Sir Richard Edgcumbe II (1499-1562) menjadikan rumah-rumah agam di Edgcumbe sebagai tempat persinggahan dan melayan tetamu yang terdiri dari tentera laut pelbagai negara di Eropah termasuk laksamana-laksamana dari Semenanjung Iberia. Sebagai contoh pengembara Scotland-Perancis bernama Jean Rotz yang pernah belayar ke Nusantara sekitar 1529 pernah berkhidmat dengan tentera Raja Henry VIII pada tahun 1542. Terdapat kemungkinan keris-keris ini adalah hadiah dari pelayar-pelayar yang telah menerokai perjalanan laut ke Nusantara ketika itu.

Kedua, ianya mungkin tiba selepas kembalinya ekspedisi terawal Inggeris ke Nusantara.  Ekspedisi pihak Inggeris ke Nusantara dimulakan oleh Sir James Lancaster (1554-1618) pada tahun 1591 dengan kapal Edward Bonaventure. Pada Jun 1592, Lancaster tiba di Pulau Pinang dan menjalankan aktiviti pelanunan di situ sehingga September 1593. Beliau pulang ke England pada tahun 1594. Lancaster ke Nusantara buat kali kedua pada tahun 1601 dengan kapal Red Dragon. Kali ini misinya adalah sebagai wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris atas dasar ekspedisi perdagangan ke Bentan, Aceh dan Maluku. Keris-keris tersebut mungkin telah dihadiahkan oleh Lancaster kepada keluarga Edgcumbe setelah tamat salah satu dari pelayaran awal Inggeris ini.

Ketiga, menurut catatan sebuah majalah sejarah tahun 1833, senjata dan perisai yang berada di ruang utama Cotehele House dicadangkan mungkin wujud sekitar Perang Saudara Inggeris iaitu dari tahun 1642 hingga 1651. Saya petik catatan 1833 tersebut:-

"The interior of the Hall is very interesting. The roof is timber, and arched; and on the walls having various pieces of armour and weapons of considerable antiquity, with complete suit of armour, which, however, is probably not older than the civil wars."

Keempat, ianya mungkin diperoleh melalui usaha ahli keluarga Edgcumbe sendiri. Apabila kita teliti susur-galur keluarga Edgcumbe, terdapat dua ahli keluarga yang berkait rapat dengan aktiviti pelayaran dan mungkin bertanggungjawab dalam mengumpul keris-keris tersebut. Richard Edgcumbe IV, (Baron Edgcumbe Ke-2) (1716-1761) pernah dilantik sebagai Lord of the Admiralty. Akan tetapi tempoh beliau memegang jawatan tersebut agak singkat. Selain peranan pentadbiran di London, beliau tidak pernah menyertai mana-mana ekspedisi pelayaran. Admiral George Edgcumbe, (Earl Mount Edgecumbe Pertama) (1720-1795) pula pernah berkhidmat dengan Royal Navy dari 1739 hingga 1778. Akan tetapi, misi pelayarannya di Western Fleet hanya terhad di Selat Inggeris, Lautan Mediterranean dan juga sekitar Amerika Utara sahaja. Ia tidak melibatkan pelayaran ke Nusantara.

Memandangkan keadaan Cotehele House tidak diubah selepas keluarga Edgcumbe berpindah ke Mount Edgcumbe House pada abad ke-17, kemungkinan besar keris-keris ini adalah antara koleksi yang diterima sebagai hadiah oleh keluarga Edgcumbe sekitar abad ke-16 hingga ke-17. Walaubagaimanapun, ianya hanyalah suatu andaian yang hanya boleh dirungkai melalui pentarikhan radiokarbon terhadap bahagian organik pada keris-keris tersebut.

Rujukan:
  1. Cotehele House. Britain Express. Diekstrak dari https://www.britainexpress.com/counties/cornwall/houses/cotehele.htm
  2. Fuller, T. 1840. The Stories of the Worthies of England.
  3. James Lancaster. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/James_Lancaster
  4. Lysons, D. & Lysons, S. 1814. Magna Britannia: Being a Concise Topographical Account of the Several Counties of Great Britain. Volume 3. London.
  5. Mount Edgcumbe House. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Mount_Edgcumbe_House
  6. The Gentleman's Magazine & Historical Chronicle (July-December 1833), Volume 13, Part 2 , Page 19, Nichols & Sons, London.
  7. Worth, R.N. 1883. Tourist's Guide to South Devon: Rail, Road, River, Coast and Moor. 3rd Ed., Edward Stanford, London.

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...