Popular Posts

Showing posts sorted by relevance for query amerika. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query amerika. Sort by date Show all posts

Saturday 24 July 2021

Pelayar Melaka ke Amerika sebelum Columbus?


Gambar 1: Lukisan Jong Jawa. Sumber: Kaskus.co.id


Menurut kajian Howard Barraclough Fell (1917-1994) atau Barry Fell dalam bukunya 'Saga America' (1980) (Gambar 2), terdapat prasasti yang dijumpai dalam sebuah gua di wilayah Corinto di El Salvador, Amerika Tengah yang membuktikan bahawa Christopher Columbus adalah bukan orang pertama yang "menjumpai" benua Amerika.

Gambar 2: Barry Fell dan penulisannya dalam America BC Series. Sumber: Youtube Emperor Tigerstar.

Prasasti tersebut dikatakan ditulis dalam aksara Arab (Jawi) pada sekeping batu yang mencatat perkataan "Khatib Melaka Haji Mi Malaya" (Gambar 3).  Menurut Fell (1980), Yucel (2007) dan Hassan (2018) ukiran pada sekeping batu ini dibuat sekitar kurun ke-13, dan bukti kukuh bahawa pedagang Islam Nusantara yang telahpun mengerjakan haji berjaya sampai ke benua Amerika sebelum kedatangan Christopher Columbus.


Gambar 3: Tulisan Jawi yang dikatakan wujud pada sekeping batu di El Salvador, Amerika Selatan. Sumber: Saga America (1980).


Gambar 4: Tapak arkeologi Tazumal di El Salvador. Sumber: Wikipedia.


Apa yang menjadi sandaran utama kesahihan hipotesis Barry Fell ini adalah beliau seorang pengkaji dari universiti terulung di Amerika Syarikat iaitu Harvard. Berdasarkan logik ini, mungkin ramai yang berpendapat beliau tidak mungkin terkhilaf dalam hipotesis yang dibuat. 

Persoalannya adakah kita perlu terima bulat-bulat hipotesis beliau tanpa meneliti pandangan dan penyelidikan lain tentang hasil kajian dari Harvard ini?

Pertamanya, Barry Fell ini adalah seorang ahli biologi marin dan bukannya seorang ahli arkeologi mahupun sejarah. Kajian asas beliau adalah dalam bidang zoologi invertebrata. Sememangnya kelainan bidang kajian tidak semestinya membuat sesuatu rumusan akademik itu lemah atau dangkal.  Akan tetapi dalam kes Barry Fell ini, kelemahan kajiannya dikatakan amat ketara.  Pakar arkeologi terkemuka bernama David H Kelley (1990) mencatat pandangan berikut tentang penulisan Barry Fell berkenaan arkeologi dan kajian prasasti:-

 "Fell's work [contains] major academic sins, the three worst being distortion of data, inadequate acknowledgment of predecessors, and lack of presentation of alternative views."

Williams (1991) dan Feder (1996) merumuskan bahawa teori dan dapatan Barry Fell berkenaan kajian prasasti adalah tidak diterima umum. Kajian empirikal yang dibuat oleh Feder (1984) berdasarkan sampel 340 orang tenaga pengajar dalam bidang arkeologi merumuskan bahawa 95.7% darinya mempunyai pandangan negatif terhadap hipotesis Barry Fell dan mengklasifikasikannya sebagai "pseudo-archaeology". Lihat juga kritikan yang dibuat terhadap Barry Fell dalam "Bad History - The America BC Series by Barry Fell":-



Secara spesifik, Lesser (1983) iaitu seorang ahli sejarah dan arkeologi menyatakan rumusan dan dapatan Barry Fell tentang prasasti yang kononnya membuktikan 'Brendan of Clonfert' (c. AD 484 – c. 577) dari Ireland telah sampai ke West Virginia, Amerika Utara, pada abad ke-6 dalam bukunya 'Saga America' adalah pseudo-saintifik dan tidak boleh dipercayai.
 
Berdasarkan dapatan yang sama, Oppenheimer dan Wirtz (1989) dalam mengkaji 'Saga America' merumuskan bahawa hipotesis Barry Fell tentang prasasti di West Virginia tersebut adalah suatu "deliberate fraud" iaitu penipuan yang disengajakan.

Berbalik kepada catatan Barry Fell berkenaan tulisan Jawi yang kononnya wujud di zaman Maya dan Aztec di El Salvador, tiada maklumat tentang lokasi tepat prasasti tersebut dan juga tiada bukti fizikal mahupun fotografi dirakamkan. 

Seterusnya, hipotesis Barry Fell ini juga bercanggah dengan garis masa penubuhan Kesultanan Melayu Melaka itu sendiri. Melaka dirumuskan beliau sudah wujud pada kurun ke-13, walhal sumber primer membuktikan bahawa ianya ditubuhkan Parameswara pada awal kurun ke-15.

Manakala perkataan "Malaya" pula adalah suatu "exonym" iaitu perkataan nama tempat yang berasal atau disebut oleh pihak luar, khususnya pihak Inggeris yang tiba ke Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke-18. Semenanjung Tanah Melayu dibawah kedatuan Srivijaya pada kurun ke-13 tidak mungkin disebut "Malaya" oleh rakyatnya. 

Kemungkinan besar Barry Fell ingin mereka-cipta individu seperti dalam catatan Shih-pi iaitu pengembara semasa Dinasti Yuan / Mongol (1271–1368) yang pernah mencatat kewujudan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la". W. George Maxwell (1909) merumuskan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" adalah transliterasi dari nama Haji Kadir Nakhoda. Ha-ji-ka-ta-na-ka-la dari kepulauan Jawa dikatakan telah mengutus watikah yang ditulis dalam dakwat emas kepada Maharaja Mongol sekitar 1292. Rumusan W. George Maxwell ini adalah tidak tepat kerana Jawa (Singhasari) ketika itu diperintah Sri Kertanegara yang beragama Hindu-Buddha. Jadi "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" mungkin adalah transliterasi bagi nama Sri Kertanegara dan bukannya Haji Kadir Nakhoda.

Dengan itu, sama dengan dapatan prasasti West Virginia dalam 'Saga America', rumusan Barry Fell tentang kewujudan pengembara bernama Khatib Melaka Haji Mi Malaya di Amerika Tengah pada kurun ke-13 adalah dangkal dan juga berkemungkinan hasil dari penipuan arkeologi yang disengajakan. Sejarah tentang kemahiran pelayaran masyarakat Nusantara sememangnya kukuh dan tidak perlu ditokok tambah dengan bukti-bukti yang tidak sahih dan menjurus kepada penipuan.

Sumber: 

  1. Feder, Kenneth L. (1984). "Irrationality and Popular Archaeology". American Antiquity, Vol. 49, No. 3, pp. 525-541.
  2. Feder, Kenneth L. (1996). Frauds, Myths, and Mysteries: Science and Pseudoscience in Archaeology. Mountain View: Mayfield. pp. 101–107.
  3. Fell, Barry (1980). Saga America. Time Books, New York.
  4. Hassan, Syed Ali (2018). Muslim Roots of America, Murray State University.
  5. Kelley, D. H. (Spring 1990). "Proto-Tifinagh and Proto-Ogham in the Americas: Review of Fell; Fell and Farley; Fell and Reinert; Johannessen, et al.; McGlone and Leonard; Totten". The Review of Archaeology.
  6. Lesser, W. Hunter (1983). "Cult Archaeology Strikes Again: A Case for Pre-Columbian Irishmen in the Mountain State?"
  7. Maxwell W.G. (1909). Groeneveldt's Notes on the Malay Archipelago and Malacca. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. No. 52 (March, 1909), pp. 105-110.
  8. Oppenheimer, Monroe; Wirtz, Willard (1989). "A Linguistic Analysis of Some West Virginia Petroglyphs"
  9. Williams, Stephen (1991). Fantastic Archaeology. Philadelphia: University of Pennsylvania Press. pp. 264–273.
  10. Yucel, Salih (2007).  Islam & Muslims in America before Columbus, Fountain Magazine.




Friday 1 November 2019

Perang Saudara Amerika di Selat Melaka

Perang Saudara Amerika (1861–1865) merupakan peperangan utama di antara pihak Kesatuan (Union) yang diketuai Abraham Lincoln dengan sebelas negeri di selatan yang mengisytiharkan bahawa mereka berhak keluar dan menubuhkan Negeri-Negeri Gabungan Amerika (Confederate States), yang diketuai Jefferson Davis. Medan peperangan "American Civil War" ini tidak terhad di Amerika sahaja, malah ianya sampai ke Nusantara apabila kapal-kapal dagang Union diserang kapal Confederate States.

Dalam diam, Confederate States disokong orang-orang kelas atasan British. Terdapat litograf (Gambar 1) dan gambar (Gambar 2) yang membuktikan sebuah kapal Confederate States yang dibenarkan berlabuh di Singapura yang ketika itu dikuasai British East India Company.

Gambar 1 - CSS Alabama di Singapura, 1863

Gambar 2 - Fotograf CSS Alabama di Singapura, Disember 1863


Jika dikaji, Confederate States sebenarnya telah dibantu British dengan pembinaan 5 buah kapal perang di United Kingdom. Ia terdiri dari CSS Florida, CSS Shenandoah, CSS Tallahassee, CSS Lark, dan CSS Alabama.  Pelbagai helah dan penyamaran dibuat untuk membantu melengkapkan kapal-kapal ini dengan senjata yang diperlukan.

Hasilnya, satu dari kapal tersebut iaitu CSS Alabama berjaya membuat 7 pelayaran serangan serata dunia selama 534 hari di mana ia berjaya menawan 450 kapal, mengalahkan dan membakar 65 kapal Union, dan menahan lebih dari 2,000 anak kapal dan penumpang kapal-kapal Union.

Direkodkan bahawa pelayaran ke-7 dan ekspedisi serangan terakhir CSS Alabama terhadap kapal-kapal dagang Union berlaku di Selat Melaka pada sekitar Disember 1863 iaitu sebelum ia belayar ke Eropah untuk kerja-kerja pembaikian. Direkodkan 3 kapal dagang Union telah diserang dan dibakar oleh CSS Alabama di Selat Sunda sekitar November 1863, dan 3 kapal dagang Union menerima nasib yang sama di Selat Melaka sekitar akhir Disember 1863. CSS Alabama akhirnya ditewaskan oleh kapal perang Union iaitu USS Kearsarge di pelabuhan Perancis pada bulan Jun 1864. (Gambar 3).

Gambar 3 - USS Kearsarge vs CSS Alabama, Antonio Jacobsen (1914)

Setelah tamat perang saudara, melalui suatu kes tribunal antarabangsa (Alabama Claims), British telah diperintahkan untuk membayar US$15.5 juta (US$295 juta pada kadar semasa) sebagai pampasan terhadap kapal-kapal yang dimusnahkan oleh CSS Alabama.


Rujukan:
1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/CSS_Alabama
2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Alabama_Claims
3. http://www.navyandmarine.org/ondeck/1862semmes.htm


Monday 12 October 2020

Tragedi Letupan Kapal 'Johore' (1865)



Lakaran bertajuk "Blowing-up of the Johore, iron paddle-steamer, off Singapore" oleh John Lawrence Kirby, 1865.
Sumber: Illustrated London News.


Antara tragedi perkapalan terawal yang direkodkan di Singapura adalah tragedi letupan kapal ‘Johore’ yang berlaku pada 15.4.1865. Jika dirujuk sumber dari Britain, terdapat seorang warga Inggeris bernama John Lawrence Kirby yang telah membuat lakaran dan memberikan informasi berkenaan tragedi yang menimpa kapal "gunboat" milik Temenggong Abu Bakar tersebut. Jika dirujuk sumber Singapura pula, kita boleh dapati bahawa John Lawrence Kirby tersebut adalah sebenarnya salah seorang dari 5 juri semasa pendengaran kes Mahkamah Koroner berkenaan penyiasatan punca kematian Captain John Cleghorn dan lain-lain yang terkorban semasa insiden tersebut. 

Pada 10.6.1865, pihak ‘Illustrated London News’ (ILN) telah menerbitkan lakaran dan menyiarkan berita tentang letupan yang berlaku berdasarkan sumber Kirby tersebut. Butiran juga diberikan tentang lokasi kejadian. Pulau Hantu (kini Pulau Keppel) dikatakan di sebelah kanan lukisan yang mempunyai dua buah bangunan di atasnya. Berhampiran Pulau Hantu terdapat sebuah kapal bernama ‘Henriette’ yang dimiliki Singapore Dock Company. Tanah daratan dibahagian kiri lukisan tersebut adalah Pulau Blakang Mati (kini Pulau Sentosa) yang penuh ditanam dengan pokok nenas ketika itu. Kapal di sebelah kiri lukisan adalah kapal 2000-tan dari Perancis bernama ‘Orme’.  Secara amnya, lokasi kejadian adalah kawasan perairan New Harbour (kini Keppel Harbour).



Kawasan New Harbour dalam peta 'The Strangers' Guide to the Environs of Singapore' (1860).
Sumber: libmaps.nus.edu.sg


'Steamer docking at coaling station at New Harbour' berdasarkan lakaran M. Testevuide, 1876.
Sumber: Roots.sg



Kapal perisai jenis 'paddle steamer' tersebut baru sahaja dibeli oleh Temenggong Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim dari West Hartlepool, England. Menurut rekod sejarah, West Hartlepool adalah tempat kapal-kapal perisai "blockade-runners" dibina bagi keperluan Confederate States semasa Perang Saudara Amerika (1861-1865). Mungkin idea untuk membeli kapal perisai tersebut timbul setelah CSS Alabama berlabuh di Singapura sekitar tahun 1863. (Lihat Perang Saudara Amerika Di Selat Melaka).

Temenggong Abu Bakar ketika itu merupakan Temenggong Johor (r. 1862 - 1868). Seperti yang kita maklum, baginda kemudian menggunakan gelaran Maharaja Johor (r. 1868 - 1886) dan kemudian dikenali sebagai Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor era moden yang Pertama (r. 1886 - 1895).  Jika dikaji, pembelian kapal Johore di England tersebut mungkin menjadi sebab utama mengapa Temenggong Abu Bakar dikatakan telah mula ke Eropah pada tahun 1865 seperti yang direkodkan di dalam 'Syair Al-Marhum Baginda Sultan Abu Bakar Di Negeri Johor' (Na Tian Piet, 1896). Ini bercanggah dengan rekod British yang menyatakan lawatan baginda ke Eropah hanya bermula pada tahun 1866.

Potret Temenggong Abu Bakar yang dilakar sekitar tahun 1866 ketika baginda berusia 33 tahun .
Sumber: Singapore National Archives


Gambar Istana Lama Teluk Blangah yang dirakam pada tahun 1862 oleh Thomas Heritage Photography.
Sumber: Leiden University Libraries, Amsterdam.

Gambar Tyersall House yang dirakam sekitar tahun 1869 oleh August Sachtler dari Sachtler & Co. Setelah membelinya dari William Napier pada 1860, Temenggong Abu Bakar berpindah ke Tyersall House pada tahun 1862.
Sumber: Geoffrey Allan Edwards' Collection, Leiden University Libraries, Amsterdam.


Gambar Tyersall House yang dirakam sekitar tahun 1869 oleh August Sachtler dari Sachtler & Co. Setelah membelinya dari William Napier pada 1860, Temenggong Abu Bakar berpindah ke Tyersall House pada tahun 1862.
Sumber: Geoffrey Allan Edwards' Collection, Leiden University Libraries, Amsterdam.


Kapal Johore tersebut dikatakan berkelajuan tinggi, mempunyai ‘battering ram’ untuk melanggar musuh, dan dilengkapi senjatapi terkini termasuk meriam ‘Blakely’ yang juga jenis meriam yang digunakan oleh Confederate States. Menurut rekod, ianya dibeli bercanggah dengan saranan penasihat British.  Kapal tersebut telah belayar dari West Hartlepool, England, dan tiba di Singapura sekitar April 1865.  Ia dikatakan mengikut jalan jauh (arah barat) dan telah singgah di benua Amerika semasa Perang Saudara Amerika sedang berlaku. Tindakan Temenggong Abu Bakar membayar gaji bulanan kepada anak kapal Johore semasa pelayaran dari England ke Singapura juga dikritik British kerana prosidur normal adalah pembayaran gaji berdasarkan setiap perjalanan (based on each journey).

Menurut Kirby, setibanya di Singapura, Temenggong Abu Bakar telah bercadang untuk membawa orang-orang kenamaan termasuk Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk bersiar-siar sekitar perairan selatan Singapura sempena cuti hari Easter, dan juga sebagai meraikan upacara perasmian kapal tersebut. Pada hari Sabtu 15.4.1865, semasa kapal tersebut sedang disiapkan untuk belayar, terdapat kesukaran untuk menghidupkan enjinnya di mana jurutera kapal Johore bernama Miller telah mendapatkan bantuan dari pihak Singapore Dock Company. 

Letupan yang berlaku dikatakan berpunca dari kecuaian Miller. Dijelaskan bahawa semasa mereka memeriksa enjin wap, Miller gagal mengenalpasti kekurangan air dalam dandang wap dan pada masa yang sama beliau gagal mengarahkan anak kapal untuk memberhentikan proses pembakaran bahanapi yang dijalankan selama lebih dari 2 jam sebelum letupan berlaku. Ini dikatakan penyebab dandang wap menjadi terlalu panas dan meledak akibat tekanan apabila air bersuhu rendah disalirkan kedalamnya.

Dari gabungan dua sumber kontemporari, letupan yang berlaku pada pukul 4 petang 15.4.1865 tersebut telah mengorbankan lebih kurang 30 nyawa yang terdiri dari individu berikut: -

  1. Adinda kepada Temenggong Abu Bakar yang dirujuk sebagai “Haroo”;
  2. Hussein bin Abdullah (iaitu anak kepada Abdullah Munshi, tokoh persuratan Melayu);
  3. Captain John Cleghorn, dari Singapore Dock Company;
  4. Captain Abdul Talip, kapten kapal Johore;
  5. Hugh Bain, jurutera Singapore Dock Company;
  6. Henry Sanders, penyedia dandang (boiler maker);
  7. Miller, jurutera kapal Johore;
  8. John Young, jurutembak meriam Blakely kapal Johore; dan
  9. 22 anak kapal yang terdiri dari rakyat tempatan;
Versi Kirby dalam ILN mengandungi rujukan kepada "Haroo" (yang dikatakan adinda Temenggong Abu Bakar), dan tiada rujukan kepada Hussein bin Abdullah.  Manakala versi akhbar Singapura tentang prosiding Mahkamah Koroner yang diadakan di Balai Polis Telok Blangah sekitar April 1865 tidak merekodkan individu bernama "Haroo" tersebut, tetapi ada merujuk nama Hussein bin Abdullah. Pada pandangan saya, versi akhbar Singapura lebih bernilai probatif. 

Gambar kediaman Maharaja Abu Bakar di Singapura sekitar 1880-an 
Sumber: Leiden University Libraries, Amsterdam.


Temenggong Abu Bakar berada di kediaman baginda semasa letupan berlaku. Sebelum itu baginda telah mengarahkan adindanya iaitu Wan Abdul Rahman untuk menjalankan pemeriksaan dan menyelia persiapan kapal Johore tersebut yang dijadualkan belayar pada petang hari yang sama. Dilaporkan bahawa Wan Abdul Rahman terselamat apabila impak letupan hanya mengakibatkan beliau pengsan seketika. Beliau kemudian bangun dan terjun ke dalam laut tanpa mengalami apa-apa kecederaan serius. Wan Abdul Rahman yang pengsan sekali lagi di dalam air telah diselamatkan oleh Charles Whishart iaitu salah seorang dari pekerja Singapore Dock Company yang bergegas dari New Harbour ke arah kapal dengan menggunakan sampan. Dua rakyat Britain dan 6 rakyat tempatan terselamat walaupun mengalami kecederaan yang agak serius. Dicatatkan bahawa serombong kapal dan juga meriam Blakely yang terletak berhampiran dandang wap terpelanting semasa letupan dan tercampak kedalam laut.


Meriam jenis Blakely yang selalunya digunakan askar Confederate States semasa Perang Saudara Amerika (1861-1865). 
Sumber: Juliensjournal.com

Gambar meriam Blakely yang dinaikkan dari tapak kapal karam CSS Alabama di Perancis pada tahun 1994. 
Sumber: Pinterest.com


Juga dicatatkan bahawa peralatan hidangan Istana yang diperbuat dari perak telah turut tercampak ke dalam laut akibat impak letupan. Kemungkinan besar meriam Blakely dan juga peralatan-perlatan perak dari milik Temenggong Abu Bakar tersebut masih berada di dasar perairan New Harbour (Keppel Harbour).

Gambar hiasan set silverware antik tahun 1840-an.


Walaubagaimanapun, letupan yang berlaku tidak menjejaskan struktur kapal dan ianya berjaya ditunda ke pelabuhan sebelum sempat dimasukki air. Setelah diperbaiki, kapal Johore tersebut telah dijual dengan harga $4,000.00.

Hasil dari prosiding inkues, juri Mahkamah Koroner mengeluarkan dapatan bahawa kematian Captain John Cleghorn dan anak kapal Johore diakibatkan “Accidental death” iaitu kematian akibat kemalangan yang disebabkan kecuaian dan kekurangan jurutera.  Ianya juga dikatakan sebahagian dari kesilapan Temenggong Abu Bakar sebagai pemilik yang gagal mempastikan kapal tersebut dikawalselia oleh jurutera dan pekerja yang kompeten dan mahir. Prosiding tersebut telah mengeluarkan pandangan berikut:- 

“The Jury are of the opinion from the evidence laid before them that in all probability the explosion of the Johore might have been avoided, had the ship been manned with the necessary staff of Engineers usual on board ships of the same size, and cannot but consider the owner culpable to a certain extent for this omission”.
Pada pandangan saya, keputusan ini agak simplistik dan terburu-buru. Ini adalah kerana semasa prosiding inkues tersebut tiada apa-apa keterangan direkodkan dari anak kapal yang terselamat. Tiada keterangan lisan mahupun bertulis diperoleh dari Miller dan Bain. Charles Whishart menyatakan Miller dan Bain terselamat; di mana Bain khususnya sempat berbual dengan Whishart semasa dibawa ke dalam bot penyelamat. Berdasarkan rekod akhbar Singapura, mereka meninggal dunia beberapa hari kemudian akibat kecederaan yang dialami.  Juga tiada rekod samada anak kapal ketika itu adalah anak kapal yang sama yang berjaya mengemudi kapal Johore dari England ke Singapura. Keterangan bahawa pembelian kapal tidak disenangi penasihat British juga tidak timbul. Secara ringkasnya terdapat penyembunyian fakta material yang ketara semasa prosiding inkues tersebut.


Sumber:

1. The Illustrated London News, 1865. 

2. 'Coroner's Inquest', Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 20.4.1865, pg. 3.

3. 'Explosion at New Harbour', The Straits Times, 22.4.1865, pg. 1.

4. 'Thirty died when ship exploded', Singapore Free Press, 11.6.1958, pg. 10.

5. National Library Board, Singapore.





Thursday 24 September 2020

Kapal Layar Sultan Ali

 

Gambar 1. "Pleasure-boat of Rajah Johore". Sumber: Illustrated London News 13.9.1851, no. 516 vol xix.


Pada 13.9.1851, akhbar Illustrated London News mencetak lakaran sebuah kapal layar yang dicatat sebagai "Pleasure boat of Rajah Johore" (Gambar 1 & 2). Imej ini digunakan sebagai ilustrasi kepada liputan akhbar bertajuk "Indian Pleasure-boat" iaitu tentang bagaimana kapal layar "Rajah Johore" tersebut dijadikan contoh bagi mempertingkatkan kelajuan kapal rekaan British.

Gambar 2. 'Pleasure-boat of Rajah Johore' (1851)
Sumber: Antiqua Print Gallery.
 

Tiada butiran tentang siapakah "Rajah Johore" yang dimaksudkan akhbar tersebut. Dirujuk silang rekod tempatan, ketika itu iaitu tahun 1851, Johor adalah dibawah pemerintahan Sultan Ali Iskandar Shah ibni al-Marhum Sultan Husain Mu’azzam Shah (1824-1877), iaitu Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Johor ke-19 (r. 1835-1855) (Gambar 3). Pada tahun 1855 Sultan Ali telah memeterai sebuah perjanjian dengan pihak British di mana beliau bersetuju melepaskan haknya terhadap Johor (kecuali Kesang) kepada Raja Temenggong Tun Daeng Ibrahim bin Temenggong Daeng Abdul Rahman (1810-1862).

Gambar 3. Litograf bertajuk "Rajah of Jahore (Singapore)" iaitu potret Sultan Ali Iskandar Shah ibni al-Marhum Sultan Husain Mu’azzam Shah (1824-1877) berdasarkan lukisan Eliphalet M. Brown (1816-1886). Sumber: Philadelphia Museum of Art, USA.


Secara spesifik, akhbar Illustrated London News tersebut mencatat bahawa:-

"This indian boat is extremely fast, and, from the mode of sailing in use among the Malays extending on the weather gunwale, can carry a very large press of canvass."

Juga dicatat bahawa kelajuan kapal layar milik "Rajah Johore" tersebut setanding dengan kelajuan kapal layar 'America' yang dibina oleh New York Yacth Club pada 3.5.1851 (Gambar 4). 

Gambar 4. Kapal Layar 'America' (1851), pemenang America's Cup yang diadakan sempena The Great Exhibition, UK pada 22.8.1851.
 Sumber: Wikipedia.


Juga dihuraikan bahawa British Association for the Promotion of Science dan Royal Commission of the Great Exhibition, dibawah seliaan John Scott Russell (1808-1882), telah membuat kajian lanjut tentang rekabentuk perahu dan kapal layar Melayu dan juga beberapa rekabentuk kapal layar dari Amerika Syarikat dan mendapati rekabentuk yang digunakan mempunyai struktur yang optimal untuk meluncur dengan laju di permukaan air. Menurut Illustrated London News lagi, kajian tersebut telah menyebabkan kesepakatan pembuat kapal British dalam menukar prinsip rekabentuk bagi kapal-kapal mereka. Akhbar tersebut menjelaskan bahawa:-

"These experiments lasted for years, and established a set of facts which were reduced into new rules, the majority of which were decidedly the reverse of the old rules in shipbuilding."

Secara amnya, untuk mempertingkatkan kelajuan, prinsip-prinsip lama telah dirombak dan digantikan dengan prinsip-prinsip berikut:-

  1. Badan kapal seharusnya lebih panjang;
  2. Bahagian hadapan kapal seharusnya lebih tirus dan cekung bagi mengurangkan seretan atau rintangan air;
  3. Bahagian badan kapal yang paling lebar seharusnya di jarak 2/5 dari bahagian hadapan;
  4. Permukaan layar seharusnya lebih luas.

Kajian tersebut memperkukuhkan prinsip "Wave Line Theory" yang dikaji John Scott Russel semenjak tahun 1834. Hasil dari rombakan rekabentuk yang dijalankan, kesemua kapal wap baharu British dilaporkan berhasil dalam mencapai kelajuan antara 16 hingga 17 batu nautika sejam (29-31 km/h). Malah kapal 'SS Great Eastern' (1858) yang direka Isambard Kingdom Brunel dan dibina oleh John Scott Russel mempunyai kelajuan 13.5 batu nautika sejam (25 km/h) walaupun bersaiz besar. Kapal 'SS Great Eastern' yang bermaksud "kehebatan timur" ini berukuran 211 meter, mempunyai berat lebih dari 32,000 tan, dan memegang rekod kapal terbesar di dunia ketika itu (Lihat Gambar 5). 

Gambar 5. 'SS Great Eastern' (1858) beberapa hari sebelum dimusnahkan. Salah satu dari tiang layar kapal yang dikatakan berhantu dan termakan sumpahan ini dijadikan tiang bendera di stadium kelab bolasepak Liverpool di Anfield.
 Sumber: The Ghost In My Machine


Seterusnya, jika diteliti ratio panjang terhadap lebar (L/B ratio) bagi SS Great Eastern (1858), ianya adalah pada kadar yang tinggi iaitu 8.44.  Manakala kapal-kapal besar rekaan Isambard Kingdom Brunel sebelum rombakan rekebentuk dibuat adalah pada kadar L/B ratio yang lebih rendah. Contohnya SS Great Britain (1843) mempunyai L/B ratio 6.38, manakala SS Great Western (1838) hanya mempunyai L/B ratio 4.05.

Sekiranya dikaji, pihak Amerika Syarikat telah membuat rombakan rekabentuk kapal layar yang lebih awal di mana mereka berjaya menghasilkan kapal-kapal layar pantas seperti 'America' (1851) berdasarkan kajian mereka terhadap rekabentuk perahu layar Melayu bermula pada awal kurun ke-19. Ini terbukti apabila wujudnya kekaguman peminat kapal layar Amerika Syarikat tentang sosok pelayar Melayu dan khususnya teknologi dan rekabentuk perahu layar Melayu sehingga tertubuhnya kelab seperti Malay Boat Club of New York dan Boston Boat Club se-awal tahun 1830-an lagi. Kelab-kelab pelayaran ini menjadi pelopor bagi kajian untuk mencapai rekabentuk paling optimal bagi struktur sesebuah perahu dayung laju dan kapal layar. Lihat keratan akhbar The New York Mirror di Gambar 6 (Juga lihat: Malay Boat Song).

Gambar 6. The New-York Mirror, 16.6.1838.


Rujukan:

1. London Illustrated News, 13.9.1851.

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/John_Scott_Russell





Friday 30 September 2022

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes.


Singapura adalah destinasi terakhir yang dilawati Charles Wilkes (1798-1877) semasa menjalankan ekspedisi dari tahun 1838 sehingga 1842. 'Ekspedisi Wilkes' ini adalah bertujuan komersial dan kajian saintifik; dan juga untuk mengembangkan pengaruh dan kepentingan Amerika ke rantau barat laut Pasifik.  

Charles Wilkes (1798-1877).

Antara lakaran yang dihasilkan semasa di Singapura adalah lakaran bertajuk 'Chinese Temple, Singapore'. Ia diukir-cetak oleh J.A. Rolph berdasarkan lukisan Alfred T. Agate yang dibuat pada 21 Februari 1842. Ia adalah lakaran kuil Thian Hock Keng di Chinatown, Singapura. Kuil di Jalan Teluk Ayer ini adalah kuil Hokkien tertua di Singapura yang dibina pada tahun 1839. 

'Chinese Temple, Singapore' (1842).


Ekspedisi 6 buah kapal ini berjaya meninjau 280 buah pulau di Pasifik, dan menghasilkan 180 carta navigasi. Ini termasuk pemetaan 1,287 km kawasan pantai barat lautan Pasifik, dan 2,414 km kawasan pantai benua Antartika di Kutub Selatan.

Apa yang menarik, ekspedisi ini juga membawa pulang 40 tan koleksi artifak dari negeri-negeri yang dilawati. Ini termasuk penulisan dan manuskrip Melayu dan Bugis yang diperoleh dari Singapura.  Dengan bantuan mubaligh Amerika bernama Alfred North, kuota muatan artifak ini dipenuhi pada saat-saat akhir di Singapura. Selain artifak persenjataan dan replika kapal Melayu, antara yang diperoleh Wilkes adalah 3 pucuk warkah Sultan Terengganu iaitu Sultan Ahmad Muazzam Shah I ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Shah II kepada William Farquhar.


Warkah Sultan Terengganu iaitu Sultan Ahmad Muazzam Shah I ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Shah II kepada William Farquhar, 19 Muharram 1234 (18 November 1818).



Selain itu, koleksi warkah yang ditujukan kepada William Farquhar adalah 7 pucuk warkah dari Tun Ali, Raja Bendahara Johor-Pahang (1819–22), 3 pucuk warkah dari Pangeran Dipati Palembang (1819–22), warkah dari Sultanah Siti Fatimah binti Jamaluddin Abdul Rahman dari Pamanah (1822), warkah dari Sultan Hussein Muhammad Shah dari Singapura, warkah dari Yang DiPertuan Kelantan dan Tengku Syed Abdul Rahman bin al-Habib Hussein Aidid (1822), dan warkah Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei (1822). Juga terdapat warkah dari Kesultanan, pembesar dan pemerintah dari Siak, Riau, Lingga, Naning, Kampar Pulau Daun, dan juga Kemboja. 

Warkah Raja Bendahara Johor-Pahang kepada William Farquhar, 1 Zulkaedah 1234 (22 Ogos 1819).

Warkah Pangeran Dipati Palembang kepada William Farquhar, 7 Jamadilakhir 1234 (3 April 1819).


Warkah dari Sultanah Siti Fatimah binti Jamaluddin Abdul Rahman dari Pamanah kepada William Farquhar (1822).


Warkah dari Sultan Hussein Muhammad Shah dari Singapura kepada William Farquhar (tarikh tidak dapat dipastikan).


Warkah Yang DiPertuan Kelantan dan Tengku Syed Abdul Rahman bin al-Habib Hussein Aidid kepada William Farquhar, 3 Syaaban 1237 (25 April 1822).


Warkah Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei kepada William Farquhar, 6 Syaaban 1237 (28 April 1822).


Antara manuskrip dalam koleksi Wilkes pula adalah Sejarah Melayu oleh Munshi Abdullah (cetakan jawi 1840), Hikayat Abdullah (1843), Hikayat Amir Hamzah (1838), Hikayat Johor (1838), Hikayat Panca Tanderan (1835), Hikayat Patani (1839), Hikayat Syah Mardan (1837), Hikayat Isma Yatim (1837), [4 Hikayat] Singapura (1837), Kitab Adat segala Raja-Raja Melayu dalam segala Negeri (1837), 7 buah Kitab Injil (1820-1831), dan Kitab Tib tulisan tangan Munshi Abdullah (1837).


Sejarah Melayu oleh Munshi Abdullah dalam cetakan Jawi (1840).


Koleksi persuratan dan manuskrip ini dikatakan koleksi manuskrip Nusantara terbesar dan setanding koleksi manuskrip Stamford Raffles yang musnah dalam kebakaran kapal Fame pada tahun 1824. Koleksi ini pada mulanya di simpan di National Institute for the Promotion of Science, USA. Ia kemudian menjadi koleksi pertama Smithsonian Institution, USA apabila dipindahkan ke sana pada tahun 1858. Khazanah Nusantara yang menjadi sebahagian dari "Smithsonian Deposit" ini juga telah melalui proses digitasi dan boleh dimuat turun dari laman sesawang Library of Congress, USA.

Smithsonian Institution c. 1860.


Kontroversi melanda Wilkes setibanya beliau di New York. Atas aduan anak kapalnya, Wilkes telah dibicarakan di Mahkamah Tentera atas insiden kematian 40 orang anak kapal, dan juga 2 buah kapal yang karam semasa ekspedisi tersebut. Walau bagaimanapun, Wilkes hanya didapati bersalah atas pertuduhan ringan iaitu mengenakan tindakan disiplin yang keterlaluan dan hanya diberi amaran atas kesalahan tersebut. Wilkes kemudian meneruskan kerja-kerja merekod dan menyimpan segala artifak yang diperoleh.

Kewujudan persuratan dan manuskrip Nusantara ini hanya dibawa ke perhatian umum pada tahun 1966 oleh Profesor A. Teeuw. Ia juga pernah diketengahkan oleh Dr. Harun Mat Piah pada tahun 1987. Manakala katalog terperinci diperoleh hasil kajian Puan Asma Ahmat dari Perpustakaan Negara Malaysia ketika menjalani latihan amali di Library of Congress dari tahun 1989 hingga 1990.



Selain penulisan tentang Ekspedisi Wilkes ini, tingkah laku obsesif dan sikap berdisiplin yang keterlaluan pada sosok Charles Wilkes diabadikan dalam karekter fiksyen Captain Ahab dalam novel Moby-Dick (1851) hasil karya Herman Melville. Ia juga dikisahkan dalam pelbagai filem termasuk In the Heart of The Sea (2015).


Sumber:

  1. A. Kohar Rony (1991). Malay Manuscripts and Early Printed Books at the Library of Congress. Indonesia. No. 52 (Oct., 1991), pp. 123-134.
  2. A. Teeuw (1967). Korte Mededelingen: Malay Manuscripts in the Library of Congress. Bijdragen tot de taal-, land-, en volkenkunde 123,4 (1967): 517-20.
  3. Asma Ahmat (1993). Katalog Manuskrip Melayu di Library of Congress, USA. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Melaysia.
  4. Harun Mat Piah (1987). Manuskrip-Manuskrip Melayu dalam Koleksi Library of Congress Amerika Syarikat. Sari 5 (1987).
  5. Narrative of the United States exploring expedition during the years 1838, 1839, 1840, 1841, 1842. Vol. 5, Philadelphia : Lea & Blanchard, 1845.
  6. US Ex Ex: An Expedition for the Ages. 31 July 2019. Biblioasia Jul-Sep 2019. Singapore National Library.




Sunday 1 March 2020

Malay Boat Song



Adela Florence Nicolson (1865-1904) (Gambar 1) adalah seorang penyair Inggeris yang menulis dibawah nama pena Laurence Hope. Beliau menetap di Madras dan bekerja sebagai penolong editor di syarikat akhbar Sind Gazette milik bapanya. Pada tahun 1889, beliau berkahwin dengan Malcolm Hassels Nicolson iaitu seorang General tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Gambar 1 : Adela Florence Nicholson (Laurence Hope).

Karya-karya Laurence Hope menceritakan kisah cinta tidak dibalas, cinta terhalang, dan juga cinta antara kaum, yang kesemuanya agak radikal ketika itu sehingga suaminya tidak membenarkan nama keluarga mereka digunakan sebagai nama penulis dalam buku-buku yang diterbitkannya. Pada tahun 1904 beliau membunuh diri akibat kemurungan dua bulan selepas kematian suaminya. 

Pada tahun 1915, seorang komposer Amerika bernama H.T. Burleigh dari New York menggubah 5 buah lagu berdasarkan puisi karangan Laurence Hope. Kompilasi lagu yang dinamakan "Five songs of Laurence Hope" tersebut terdiri dari senikata dari puisi-puisi berikut:

1. Worth While
2. The Jungle Flower
3. Kashmiri Song
4. Among the Fuchsias
5. Till I Wake

Kesemua lagu-lagu ini mengandungi puisi berlatar-belakangkan kisah pelayaran, keindahan bunga champa, dan cinta terhalang.

Dalam koleksi Library of Congress, USA, terdapat sebuah lagi puisi Laurence Hope yang lebih awal dijadikan lirik lagu oleh HT Burleigh iaitu pada sekitar 1906. Akan tetapi puisi dan lagu yang diberi nama "Malay Boat Song" ini tidak dimasukkan kedalam kompilasi 5 lagu di atas pada tahun 1915. Tidak diketahui tentang motif H.T. Burleigh mengeluarkan lagu ini dari kompilasi lagu yang digubah olehnya. Saya petik lirik "Malay Boat Song" disini:

The Stars await, serene and white,
  The unarisen moon;
Oh, come and stay with me to-night,
  Beside the salt Lagoon!
My hut is small, but as you lie,
  You see the lighted shore,
And hear the rippling water sigh
  Beneath the pile-raised floor. 
No gift have I of jewels or flowers,
  My room is poor and bare:
But all the silver sea is ours,
  And all the scented air
Blown from the mainland, where there grows
  Th' "Intriguer of the Night,"
The flower that you have named Tube rose,
  Sweet scented, slim, and white.
The flower that, when the air is still
  And no land breezes blow,
From its pale petals can distil
  A phosphorescent glow.
I see your ship at anchor ride;
  Her "captive lightning" shine.
Before she takes to-morrow's tide,
  Let this one night be mine!
Though in the language of your land
  My words are poor and few,
Oh, read my eyes, and understand,
  I give my youth to you!

Lihat skor muzik "Malay Boat Song" di gambar 2 - 6. Mungkinkah lagu ini dapat melengkapkan jalan cerita cinta terhalang karya Laurence Hope?

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4

Gambar 5

Gambar 6


Sekiranya dikaji, kekaguman barat tentang ketangkasan, keberanian, dan simbol adiwira pelayar Melayu bermula lebih awal lagi. Akhbar The New York Mirror pada tahun 1838 mencatat kewujudan sebuah lagu dengan tajuk yang sama iaitu "The Malay Boat Song".  Ianya digubah oleh Samuel Woodworth Esq. untuk Malay Boat Club of New York. Lihat keratan akhbar The New York Mirror di gambar 7 & 8.

Gambar 7 : The New York Mirror, 1838


Gambar 8 : The New York Mirror, 1838.


Pelayar Melayu dicatat akhbar The New York Mirror sebagai "those Malays are, we assure you, a very gentlemanly and fine-looking set of savages, and, as you will see by the song, not any means deficient in gallantry". Kemungkinan nama "Malay" diguna-pakai sebagai suatu penghormatan (hommage) oleh ahli kelab tersebut terhadap warisan pelayar Melayu sama seperti penggunaan nama 'Washington Redskins' bagi kelab bola sepak Amerika, dan 'Cleaveland Indians' bagi sukan besbol mereka. Atau mungkinkah terdapat sesuatu yang lebih berharga telah dipelajari dari warisan dan tradisi pelayar Melayu tersebut?

Rujukan:

1. Library of Congress, USA.

2. Library of Prinston University.

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Adela_Florence_Nicolson

4. https://salute.co.in/fascinating-life-and-times-of-an-army-wife-in-india/

5. https://songofamerica.net/song/five-songs-of-laurence-hope/



Monday 22 June 2020

HMS Malaya

Gambar 1: HMS Malaya sekitar Feb-Apr 1916 di Scapa Flow, Scotland (Sumber: Francis Cruzon, National Maritime Museum, Greenwich)

Beberapa klip filem Perang Dunia Pertama dapat saya teliti seminggu yang lalu. Kebanyakan subjek di dalamnya adalah kapal-kapal yang dibina se-zaman dengan RMS Titanic. Agak teruja juga apabila didapati salah satu darinya adalah HMS Malaya iaitu kapal yang dibiayai hasil mahsul Tanah Melayu.  Ini adalah kerana tidak banyak rekod tentang HMS Malaya sekitar tahun ia dibina, apatah lagi dalam bentuk filem.  Jadi saya rasa klip filem ini boleh dijadikan tatapan dan rujukan bersama.



Ianya adalah sebuah klip filem bisu yang saya edit dengan selingan muzik iaitu Lagu Kebesaran Negeri Perak iaitu 'Allah Lanjutkan Usia Sultan' yang dimainkan oleh Pancaragam Akedemi Tentera Udara Diraja Malaysia, dan juga Lagu Kebangsaan British dan jajahannya iaitu 'God Save The Queen'.

Sejarah HMS Malaya bermula semasa berlangsungnya Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada tahun 1912, di mana Sultan Perak iaitu Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar (1849-1916) mengusulkan agar Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) membantu usaha British dalam mempertingkat kelengkapan perang. Secara khusus ianya adalah suatu usul untuk membiayai kos pembinaan salah satu dari lima buah kapal perang utama kategori 'Queen Elizabeth-Class' bagi pihak British. Usul tersebut telah disokong oleh Sultan Selangor iaitu Sultan Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (1863-1938), dan dipersetujui oleh Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah (1865-1933), dan Sultan Pahang iaitu Sultan Mahmud Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah (1868-1917).

Kapal perang utama tersebut mula dibina pada tahun 1913 oleh Whitworth & Company di Newcastle-upon-Tyne, England. Menurut rekod, penduduk FMS dimaklumkan tentang status pembinaan melalui laporan akhbar yang dikeluarkan selang 3 bulan dari tahun 1913 hingga 1915. Pemilihan nama kapal perang utama tersebut juga menjadi isu perbincangan penduduk FMS semenjak tahun 1912.  Antara nama yang mula-mula dicadangkan adalah "HMS Malacca", "HMS Malaysia", "HMS Sri Malaya" dan "HMS Malaya". Dari pandangan umum, nama "HMS Malaya" adalah nama yang paling mendapat sambutan (The Singapore Free Press And Mercantile Advertiser, 16.12.1912).

Kapal biayaan FMS tersebut dilancarkan pada 18.3.1915, dan  ditauliahkan dengan nama HMS Malaya pada 1.2.1916 (Gambar 1).  Ia membentuk sebahagian dari kelengkapan 5th Battle Squadron, Grand Fleet yang diketuai Rear Admiral Hugh Evan-Thomas.  Dari segi kos, ianya menelan belanja sebanyak £2,945,709 iaitu bersamaan 25 juta dolar selat. Jika dibanding dalam nilai semasa, ianya berjumlah £305 juta atau RM1.6 billion. Ketika itu penyumbang terbesar kepada ekonomi FMS, yang menjadi sumber utama dana pembinaan HMS Malaya, adalah negeri Perak.

Untuk menghargai sumbangan FMS, HMS Malaya diberikan jata lambang harimau berwarna emas yang menghunus sebilah keris Melayu berwarna perak (Gambar 2). Kapal tersebut mengibarkan bendera FMS dan juga mempamir jata FMS yang mengandungi tulisan Jawi 'Di Pelihara Allah'. (Gambar 3).

Gambar 2: Jata HMS Malaya (1915) (Sumber: National Maritime Museum, Greenwich)

Gambar 3: Jata FMS yang diletakkan di bahaian 'forecastle deck' HMS Malaya (Sumber: OrangPerak.com) 

Dari segi dimensi, HMS Malaya berukuran 196.82 meter panjang dan 27.58 meter lebar dan mempunyai berat 33,020 tan. Ianya dilengkapi 8 meriam 15 inci yang diletakkan di 4 landasan meriam berputar. Ia mempunyai enjin wap yang menjana 56,600 kuasa kuda dan memberi kelajuan maksimum 25 knot (46 km/h; 29 mph). Ianya adalah antara kapal perang utama yang tercanggih dan terpantas ketika itu, dan boleh memuatkan 1,217 anak kapal.

Dalam klip filem simpanan Imperial War Museums (IWM) tersebut, kita dapat melihat HMS Malaya semasa ianya sedang bertugas di perairan North Sea iaitu sebelum Pertempuran Jutland sekitar penghujung bulan Mei 1916. Kemungkinan besar filem tersebut di ambil dari kapal HMS Barham iaitu kapal utama dalam 5th Battle Squadron. Dalam pertempuran tersebut HMS Malaya mengalami kerosakan teruk akibat terkena 8 bedilan pihak Jerman, di mana 63 dari anak kapalnya telah terkorban. Serpihan peluru meriam Jerman yang menembusi HMS Malaya telah dihadiahkan kepada FMS pada tahun 1916. Lihat Gambar 4 yang menunjukkan serpihan dari bedilan pihak Jerman tersebut.


Gambar 4: Serpihan peluru 12-inci pihak Jerman yang menembusi HMS Malaya semasa Pertempuran Jutland, 31.5.1916 (Sumber: BattleshipCrusiers.co.uk)

Pada tahun 1922, HMS Malaya membawa Sultan Mehmed VI (1861-1926), iaitu Sultan terakhir Empayar Uthmaniah yang dibuang negara ke Malta oleh Mustapha Kamal Attaturk. Pada tahun 1936 HMS Malaya ditugaskan ke Palestin bagi menentang kebangkitan warga Arab yang tidak bersetuju dengan kebanjiran bangsa Yahudi yang dibawa masuk oleh Britain. Beberapa periuk api yang dibawa oleh HMS Malaya digunakan bagi meletupkan rumah milik penentang Arab.

Semasa Perang Dunia Kedua pula, HMS Malaya ditugaskan sebagai pengiring konvoi di sekitar laut Mediterranean dan telah rosak dibedil torpedo kapal selam Jerman U-106 pada tahun 1941. Ianya telah diperbaiki di Amerika Syarikat (Gambar 5).


Gambar 5: HMS Malaya sekitar pelabuhan New York setelah selesai kerja-kerja membaik-pulih, 9.7.1941.
Sumber: Imperial War Museums.


Kemudian ianya telibat dalam beberapa operasi berikutan dari penaklukan Normandy. HMS Malaya akhirnya ditamatkan perkhidmatan dan dilucut tauliah pada Disember 1944. Pada tahun 1948, struktur kapal HMS Malaya dimusnahkan dan dileraikan di Scotland.

Apa yang menarik, selain dari sumbangan wang, FMS juga telah memberikan loceng-loceng kegunaan HMS Malaya. Peristiwa ini berlaku sekitar Ogos 1916 di mana beberapa buah loceng yang dibiayai dana kutipan derma dari pegawai kerajaan dan penduduk FMS telah dihadiahkan kepada HMS Malaya. Upacara penyerahan loceng dihadiri oleh Sir Woodford Ernest Birch, Admiral Sir John Jellicoe dan Rear Admiral Hugh Evan-Thomas. Dari laporan akhbar 'Malaya Tribune' bertarikh 24.7.1916, logam bagi membentuk loceng dicairkan kedalam acuan pada 15.5.1916 oleh Mears & Stainback dari Whitechapel Road, London. Loceng utama seberat 192 lbs (87.1 kg) diperbuat dari campuran tembaga (16 bahagian) dan timah (4 1/2 bahagian), manakala bahagian dalam iaitu pemukul loceng (bell clapper) diperbuat dari besi dan mempunyai berat 8 lbs (3.6 kg). Berat keseluruhan loceng utama adalah 200 lbs (90.7 kg). Menurut laporan akhbar yang sama, loceng utama tersebut tertera dengan perkataan berikut:

H.M.S. MALAYA.
TO MALAYA, FROM MALAYAN FRIENDS.

Melalui acuan yang disediakan, jata FMS dibentuk di bahagian belakang loceng dengan slogan dalam tulisan Jawi iaitu 'Di Pelihara Allah'.  Di bawahnya pula tertera slogan yang digubah Sir Frank Swettenham seperti berikut:-

BUNYI GENTA KAPAL INI BESARKAN HATI ORANG BERANI.

Empat genta atau loceng yang lebih kecil disaluti logam perak juga dihadiahkan pegawai dan penduduk FMS pada Ogos 1916. Ianya bertujuan untuk diletakkan di bahagian-bahagian lain kapal tersebut. Keempat-empat loceng kecil ini mempunyai inskripsi berikut:-

H.M.S. MALAYA.
1916.

Di bahagian belakangnya tertera slogan yang digubah Sir Frank Swettenham iaitu "Bunyi Genta Kapal Ini Besarkan Hati Orang Berani" bersama terjemahan di dalam Bahasa Inggeris iaitu "The Sound Of This Ship's Bell Fires The Hearts Of Brave Men".

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, salah sebuah dari loceng HMS Malaya telah dipulangkan oleh British ke Tanah Melayu (Gambar 6). Dari inskripsi yang tertera, saya berpendapat ia mungkin salah satu dari loceng kecil yang bersalut perak dan bukannya loceng utama HMS Malaya.


Gambar 6: Salah satu dari 5 loceng HMS Malaya yang dihadiahkan oleh pegawai & penduduk FMS (Sumber: NST Press)

Menurut rekod upacara yang diadakan pada 12.9.1947, sekolah menengah Victoria Institution telah dipilih untuk menerima loceng HMS Malaya tersebut.  Ianya kemudian dipindahkan ke Pusat Hidrografi Nasional di Pulau Indah pada bulan Ogos 2007 untuk disatukan dengan bendera FMS asal yang dikibarkan di atas HMS Malaya.  Bendera asal HMS Malaya tersebut telah dijumpai oleh Sultan Selangor, iaitu Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semasa ekspedisi pelayaran solo baginda mengelilingi dunia.

Walaupun bernama Malaya, hanya sekali sahaja kapal ini tiba di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1921. Ini berlaku semasa ia membawa rombongan Duke of Connaught untuk melawat jajahan takluk dan sekutu British termasuk FMS di mana ia telah singgah selama satu bulan iaitu dari 17.1.1921 hingga 17.2.1921. Pelabuhan-pelabuhan yang dilawati adalah Port Swettenham, Singapura, Melaka, Port Dickson dan Pulau Pinang. Walaupun singkat, lawatan HMS Malaya ke FMS dan Negeri-Negeri Selat tersebut menjadi pemangkin kepada dua acara perlawanan sukan tahunan yang masih berterusan sehingga kini iaitu dalam acara bolasepak dan ragbi. Piala "HMS Malaya Cup" bagi sukan bolasepak yang bermula pada tahun 1921 kini dikenali sebagai Malaysia Cup atau Piala Malaysia. Manakala piala acara sukan ragbi masih dikenali dengan nama "HMS Malaya Cup". 


Rujukan:

1. Imperial War Museums, London.

2. National Maritime Museum, Greenwich, London.

3. HMS Malaya, Wikipedia. Diakses dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/HMS_Malaya

4. https://www.battleships-cruisers.co.uk/malaya.htm

5. HMS Malaya (1915), Wikipedia. Diakses dari http://dreadnoughtproject.org/tfs/index.php/H.M.S._Malaya_(1915)

6. Chua, A., Malaysia Cup Football, diakses dari https://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_1837_2011-09-06.html

7. http://viweb.school/HMSMalaya.htm

8. https://www.orangperak.com/kapal-perang-hms-malaya-kurniaan-dari-sultan-perak.html

9. The Singapore Free Press And Mercantile Advertiser, 16.12.1912, diakses dari https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/maltribune19160724-1.2.75?S

10. Malaya Tribune, 27.7.1916, diakses dari https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/maltribune19160724-1.2.75?S

Advertisement

Advertisement

Advertisement


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...